Utusan Online - Kota |
Revolusi terminal bas Malaysia Posted: Revolusi terminal bas MalaysiaMOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Tarikh 01.01.2011 bakal mencipta sebuah lagi sejarah buat negara, khususnya bagi sistem pengangkutan awam apabila Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) mula beroperasi. Pada tarikh keramat itu, buat julung kalinya sebuah terminal bas yang dilengkapi kemudahan teknologi moden dan terkini akan menjadi hab yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas ekspres, teksi dan lain-lain kepada orang ramai. Yang mengagumkan ialah sistem yang diperkenalkan di terminal ini juga merupakan yang pertama di Asia Tenggara dan hanya terdapat di Malaysia buat masa ini. Terminal setinggi enam tingkat yang dibina di kawasan seluas 19.6 hektar itu menelan kos RM570 juta dan diusahakan oleh Maju Holding Sdn.Bhd. Ia dilengkapi 55 platform bas untuk 1,000 bas keluar dan masuk setiap hari, 150 perhentian teksi, 1,000 tempat letak kereta termasuk kawasan letak kereta khas untuk wanita. TBS-BTS itu nanti akan diuruskan oleh Maju Terminal Management and Services (Maju TMAS) dan berfungsi sebagai hab bagi semua perkhidmatan bas ekspres ke selatan dan utara serta mampu menampung 45,000 pengguna sehari. Apabila ia mula beroperasi, penumpang-penumpang bas dari Kuala Lumpur ke Utara dan Selatan Semenanjung bakal menikmati perkhidmatan terminal bas yang terbaik pernah disediakan. Pengarah Urusan (Maju-TMAS), Roslan Mohd. Shariff berkata, terminal tersebut bakal memberi perkhidmatan seperti yang ditawarkan di lapangan terbang. Katanya, sistem yang digunakan bagi penumpang bas hampir seperti di lapangan terbang di mana ia akan memberi satu pengalaman baru buat penumpang bas. Ujarnya, selain itu, terdapat begitu banyak kemudahan yang pasti tidak pernah dirasai di terminal-terminal bas yang lain sebelum ini. "Terdapat 21 kaunter tiket keseluruhannya, di mana para penumpang hanya perlu mengambil masa 30 saat sahaja dalam menyelesaikan urusan jual beli tiket. "Para penumpang yang ingin membeli tiket diwajibkan membawa kad pengenalan untuk setiap pembelian direkodkan," katanya. Ujarnya, terminal itu juga menyediakan kemudahan kaunter khidmat pelanggan yang beroperasi 24 jam dan kemudahan pembelian dan penempahan tiket secara dalam talian atau e-ticketing melalui laman web www.tbsbts.com.my. Katanya lagi, terminal ini juga dilengkapi dengan sistem siaran informasi pengunjung (PIDS) seperti jadual pelepasan bas diletakkan di setiap tingkat manakala balai ketibaan dan pelepasan di tingkat bawah disediakan khusus untuk penumpang sahaja. "Di bahagian lobi utama TBS-BTS pula terdapat skrin besar yang memaparkan jadual perjalanan dan ketibaan bas bagi kemudahan penumpang. "Beberapa skrin lain juga akan memaparkan jadual perjalanan dan ketibaan bas selama seminggu untuk dijadikan panduan bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket lebih awal," kata Roslan. Selain itu, katanya lagi, terdapat juga beberapa restoran dan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) disediakan selain bilik rehat VIP, surau, tandas, tempat menukar lampin bayi serta perkhidmatan WiFi. Ujarnya, kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) turut disediakan seperti lantai penunjuk arah, kaunter perkhidmatan dan tiket yang direndahkan, tandas, lif, laluan jalan istimewa serta petak letak kereta khas untuk mereka. "Bagi memudahkan lagi orang ramai, terminal ini juga dihubungkan dengan stesen transit aliran ringan (LRT), Express Rail Link (ERL) dan KTM Komuter Bandar Tasik Selatan," katanya. "Dari segi keselamatan, penumpang tidak perlu risau, kerana terminal ini dipantau oleh 500 kamera litar tertutup pintar (CCTV)," kata Roslan. Selain menggunakan perkhidmatan LRT dan KTM Komuter, terminal ini boleh dikunjungi menggunakan perkhidmatan bas bandaran dan teksi. Dalam perkembangan berkaitan, sumber dalaman operator terminal itu ketika dihubungi memberitahu, makluman yang diterima pihaknya ialah Maju TMAS akan mengadakan ujian operasi esok bersama beberapa syarikat bas yang mempunyai persefahaman dengan mereka. "Difahamkan, sebanyak lima syarikat bas akan terlibat dalaman ujian ini dan ia adalah syarikat besar iaitu mempunyai bas yang banyak," katanya. Mengenai operasi terminal itu, kata sumber itu, pihaknya menjangkakan terdapat beberapa kelemahan dalam tempoh seminggu ujian. "Kelemahan ini adalah perkara normal apabila mula beroperasi. Tetapi pihak pemaju menetapkan dalam masa dua minggu segala-galanya akan berjalan lancar," ujarnya. | ||
Posted: Kasih bantu keluarga miskinOleh RASMI ABDULLAH KUALA LANGAT 31 Dis. - Sebanyak 153 keluarga di Parlimen Kuala Langat menerima sumbangan daripada Badan Amal dan Kasih Selangor (Kasih) Program Sentuhan Kasih 1Malaysia dan Kembali Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan Methodist di sini hari ini. Antara sumbangan yang diberikan adalah barangan keperluan sekolah, barang keperluan harian, tilam dan bantal. Tiga daripada keluarga berkenaan turut menerima sumbangan kerusi roda. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Yang Dipertua Kasih, Datin Seri Dr. Aishah Salleh, Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli dan Ahli Undangan Negeri Selangor, Hasiman Sidom. Aishah berkata pihaknya berharap sumbangan itu dapat meringankan beban penerima, terutama keluarga yang mempunyai anak ramai dan masih bersekolah. "Ini juga adalah tanggungjawab sosial Kasih bagi menambah kualiti hidup mereka yang memerlukan. "Sumbangan sebegini adalah untuk menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengajak pemimpin terus merasai denyutan nadi rakyat tidak kira dalam dan luar bandar," katanya dalam ucapan perasmiannya di sini semalam. Aishah turut menasihatkan semua kanak-kanak yang menerima peralatan sekolah agar mengutamakan pelajaran kerana dengan mempunyai ilmu sahaja boleh mengubah kehidupan seseorang. Sementara itu seorang penerima sumbangan, Aminah Atan, 53, melahirkan kesyukuran kerana masih ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal sepertinya. "Sumbangan ini satu rahmat bagi saya apalagi ia diberikan tepat pada waktunya di mana ibu bapa tengah sibuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak," katanya. Bagi N. Salvi, 32, sumbangan yang diberikan itu dirasakannya cukup besar untuk meringankan beban keluarganya yang mempunyai empat anak yang bersekolah. Katanya, dia amat bersyukur dengan apa yang disumbangkan itu kerana hanya suaminya sahaja yang bekerja dan menanggung tujuh orang anak. Seorang lagi penerima, Kgoo Gee Pur, 36, pula berkata, dia amat berterima kasih kepada semua penyumbang yang prihatin dengan mereka. "Baguslah begini. Sumbangan diberikan tidak kira Melayu, India dan Cina," tambahnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan