Utusan Online - Politik |
Mohd. Isa yakin peneroka tetap sokong Barisan Nasional Posted: Mohd. Isa yakin peneroka tetap sokong Barisan Nasional
LEDANG 29 Dis. - Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang akan mula memegang jawatan Pengerusi Felda mulai 1 Januari ini yakin masyarakat Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 30 Januari depan. Katanya, walaupun pelbagai usaha akan dilakukan oleh parti pembangkang bagi meraih sokongan, beliau yakin kerusi tersebut akan berjaya dipertahankan oleh BN. Menurutnya, dengan segala usaha pembangunan yang telah digerakkan selama ini, beliau percaya penduduk di tiga kawasan rancangan iaitu Felda Tenang, Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada. "Bagi saya, masyarakat Felda sudah cukup masak mengenai pembangkang, saya yakin warga Felda akan memberi sokongan dan saya berharap majoriti juga akan bertambah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Beg dan Pakaian Seragam Sekolah Murid-Murid Tahun 1 & Pra Sekolah peringkat Parlimen Bakri di Bazar Baitulmal K-Mall, Tanjung Agas di sini hari ini. Hadir sama pada majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 500 kanak-kanak itu ialah Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahari Suib serta Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong, Datuk Dr. Haris Salleh. Jelas Mohd. Isa, beliau percaya generasi muda Felda akan turut memberi sokongan kepada kerajaan kerana mereka sedar mengenai pelbagai usaha yang dijalankan kerajaan untuk memajukan masyarakat Felda. Sementara itu, Mohd. Isa berkata, UMNO sentiasa memberi penekanan dalam bidang pelajaran supaya anak bangsa dapat menjadi lebih bijak dan maju. "Dari segi sejarah, kerajaan tidak pernah mengabaikan soal pelajaran, malah dalam setiap kali bajet, peruntukan yang besar adalah dalam bidang pelajaran. "Rakyat di negara ini sepatutnya bersyukur kerana dasar pelajaran sentiasa diberikan penekanan dan sebenarnya, sebelum merdeka lagi, kerajaan sudah fikirkan mengenai soal pelajaran dengan Laporan Razak dibentangkan pada 1956," katanya. | ||
Posted: DAP perguna AnwarOleh SHOLINA OSMAN KUALA LUMPUR 29 Dis. – DAP didakwa mempergunakan situasi yang sedang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kepentingan parti itu. Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir (gambar) berkata, selagi kes liwat beliau di mahkamah tidak selesai, Anwar terpaksa akur dengan keputusan DAP dalam pelbagai perkara termasuk pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Menurut beliau, jika perkara yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong semalam bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah mendesak supaya Anwar disiasat berhubung dakwaan kes liwat adalah benar, maka tidak mustahil parti itu mahu Anwar terus kekal dalam situasi tersebut. ''Situasi yang dihadapi Anwar cuma dipergunakan oleh DAP. Secara tidak langsung situasi ini akan membuatkan Anwar terpaksa akur dengan sebarang keputusan DAP dalam pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Choo Keong bahawa Karpal akhirnya mengaku pernah mendesak Anwar disiasat kerana didakwa oleh beberapa pihak terlibat dengan perbuatan liwat. Perkara itu, menurut Choo Keong, diakui Karpal menerusi laman web www.malaysia-instinct.com pada Selasa lalu apabila menjelaskan desakan yang dibuat pada 1997 adalah atas kedudukannya sebagai wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat. Musa berkata, Anwar bernasib malang kerana tidak sedar bahawa dirinya dipermainkan oleh DAP memandangkan kesnya masih berjalan sedangkan pilihan raya umum akan menjelang tidak lama lagi. ''Pada ketika itu Anwar tidak akan dapat berbuat apa-apa sebaliknya menerima sahaja apa yang diputuskan oleh DAP,'' katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan