Selasa, 28 Disember 2010

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Penduduk tanggung kerugian

Posted:

Penduduk tanggung kerugian

Penduduk tanggung kerugian

Oleh ROSLAH OTHMAN


T. Murugiah melawat rumah salah seorang mangsa banjir, Gundaramah Rajagopal di samping meninjau keadaan longkang di Kampung Baru Puchong, di Batu 14, Jalan Puchong baru-baru ini. - UTUSAN/ASMARUDDIN JAMALUDDIN


PUCHONG 28 Dis. - Sejak pembukaan Kampung Baru Puchong di Batu 14 Jalan Puchong di sini kira-kira 40 tahun lalu, belum pernah tercatat dalam sejarah kejadian banjir berlaku di kampung berkenaan biarpun hujan berterusan selama beberapa jam.

Berbeza hari ini, jika hujan berterusan selama 45 minit sudah cukup untuk membuatkan penduduk cemas dan tidak keruan.

Apabila berlaku banjir, air bukan setakat menutupi jalan, malah memasuki rumah menyebabkan penduduk terpaksa memindahkan barang-barang berharga seperti televisyen, peti ais, mesin basuh dan peralatan elektrik lain serta perabot bagi mengelakkan ia rosak.

Penduduk mendakwa, banjir yang kerap kali melanda kawasan itu bukan sahaja menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit, malah keselamatan mereka juga berisiko.

Namun itulah hakikat yang terpaksa ditanggung kira-kira 500 penduduk kampung berkenaan sejak hampir dua tahun lalu.

Kegusaran penduduk semakin ketara sekarang kerana taburan hujan akhir tahun lebih kerap berbanding masa lain menyebabkan mereka sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga setiap kali hujan.

Penduduk percaya punca banjir kilat itu disebabkan pembinaan sebuah kondominium berhampiran yang menyekat laluan air longkang di kampung mereka sehingga menyebabkan ia melimpah.

Seorang penduduk, V. Appu, 40, berkata, mereka tidak pernah menghalang sebarang pembangunan, bagaimanapun biarlah bertepatan serta mengikut perancangan yang betul tanpa mendatangkan apa-apa kesulitan kepada penduduk berhampiran.

Katanya, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak sama ada pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Jabatan Kerja Raya mahupun pemaju tetapi mengharapkan agar masalah itu dapat diselesaikan segera.

"Apa yang mengecewakan ialah pihak-pihak ini masing-masing dilihat cuba berdolak dalih dan hanya mempertahankan diri masing-masing setiap kali penduduk mengemukakan aduan," katanya ketika ditemui ketika meluahkan perasaan pada sesi turun padang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah ke kampung itu baru-baru ini.

Berkongsi perasaan sama R. Raj, 35, yang turut berharap pihak-pihak berkaitan mengambil tanggungjawab menyelesaikan perkara itu dengan kadar segera.

Katanya, apa yang berlaku membayangkan seolah-olah ada perkara yang tersembunyi sehingga masing-masing tidak dapat memberi penjelasan setiap kali perkara berkaitan dibangkitkan penduduk.

"Kami sendiri tidak tahu bagaimana atau ke mana lagi hendak mengadu setiap kali banjir berlaku di sini. Pemaju sendiri enggan bertanggungjawab, sebaliknya menuding pula kepada MPSJ dan JKR. Sebagai penduduk, situasi ini memberi tekanan perasaan kepada kami," ujarnya.

V. Anandanalaya, 43, pula mengakui sehingga kini dia masih trauma dengan kejadian banjir yang berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini.

Katanya, bukan sekali dua, tetapi dalam tempoh setahun banjir sering berulang dan memberi tekanan kepada penduduk.

"Saya berharap dengan kehadiran Datuk Murugiah ke kawasan kami, masalah ini dapat diselesaikan segera dan pihak bertanggungjawab tidak lepas tangan," ujarnya.

Sementara itu, Murugiah berkata, selepas meninjau dan mendengar penjelasan semua pihak punca banjir di kawasan terlibat disebabkan saiz longkang sedia ada tidak dapat menampung limpahan air setiap kali hujan.

Katanya, ketidakupayaan longkang menampung air itu juga tidak dinafikan akibat kerja-kerja pembangunan di kawasan berhampiran.

"Selepas meninjau dan mendengar rintihan penduduk saya memahani keadaan yang terpaksa dihadapi mereka.

"Seiring dengan gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, saya akan cuba mencari mekanisme terbaik bagi memastikan masalah yang dihadapi dapat diselesaikan segera dengan mengadakan pertemuan dengan pihak bertanggungjawab," ujarnya.

Sehubungan itu juga, kata beliau, pihaknya akan menulis surat kepada Menteri Kerja Raya dan Perdana Menteri agar tindakan segera dapat diambil bagi memastikan penduduk di kawasan terlibat dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan selamat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pulangkan tempat riadah kami

Posted:

Pulangkan tempat riadah kami

Pulangkan tempat riadah kami

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusan.com.my


Penduduk Seksyen 10, Shah Alam membuat bantahan secara aman di hadapan kawasan lapang yang kini dijadikan lot banglo.


SHAH ALAM 28 Dis. - Penduduk Seksyen 10 di sini membantah pembinaan banglo di kawasan lapang berhampiran kediaman mereka yang selama ini menjadi lokasi mereka beriadah dan melakukan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Aktiviti kemasyarakatan yang dimaksudkan seperti ibadah korban, kenduri kahwin dan mengadakan senamobik.

Yang Dipertua Persatuan Penduduk Seksyen 10, Razali Abdullah berkata, bantahan dibuat bukan kerana menghalang pembangunan, tetapi pihaknya kesal apabila permohonan mereka untuk membina dewan serbaguna di tapak tersebut sejak 20 tahun lalu tidak dipenuhi pihak berwajib namun kini terdapat cadangan untuk mendirikan banglo di situ.

"Pihak saya pernah melakukan bantahan lima tahun lepas apabila ada ura-ura kawasan ini akan didirikan enam lot rumah banglo dan selepas itu tiada pembangunan dijalankan di situ.

"Pada anggapan saya mungkin bantahan tersebut berhasil, rupa-rupanya pihak tersebut telah mendapat kelulusan untuk banglo didirikan di sini," katanya semasa sidang akhbar selepas melawat kawasan itu hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap pihak berkenaan dapat menimbangkan hasrat mereka mendirikan banglo di tapak yang dirancang untuk didirikan dewan.

Katanya lagi, komposisi penduduk pelbagai kaum seramai 400 orang melayakkan mereka untuk memohon sebuah dewan serbaguna tersebut, dan kawasan itu dilihat tapak paling sesuai.

Pandangan Razali disokong oleh Majid Rahman, 62, yang sudah 20 tahun tinggal di perumahan Seksyen 10 tersebut dan turut menyimpan hasrat untuk melihat sebuah dewan didirikan di kawasan lapang tersebut dan bukan dibangunkan banglo yang hanya memberi manfaat kepada enam keluarga.

"Pembinaan dewan di tapak banglo tersebut akan memudahkan penduduk setempat melakukan aktiviti kemasyarakatan.

"Dengan cara ini perpaduan antara kaum dapat diwujudkan, kerana selama ini bila ada majlis penduduk perlu menyewa khemah atau dewan di luar kawasan perumahan ini," katanya.

Shukri Omar, 52, turut menaruh harapan pihak yang membina rumah di kawasan lapang yang menjadi lokasi beliau beriadah setiap hari dapat menimbangkan semula hasrat mereka.

Pada pandangannya, kawasan tersebut amat sesuai untuk penduduk beriadah dan dibina dewan serbaguna dan bukannya didirikan banglo yang sudah pasti menghalang aktiviti kemasyarakatan.

"Sudah lama saya tinggal di sini, anak saya membesar dan bermain di kawasan ini. Tidak sangka ia akan menjadi kawasan banglo mewah.

"Jelas sekali pembinaan banglo ini akan menggagalkan hasrat kami untuk melihat sebuah dewan serbaguna didirikan," ujarnya.

Siti Mahiran Ayub, 52, pula menceritakan betapa beliau bersusah-payah mencari dewan untuk perkahwinan dua anaknya hanya kerana di taman perumahannya sendiri tiada dewan untuk digunakan.

"Saya berusaha hampir setahun untuk mencari dewan bagi perkahwinan anak saya, selama ini penduduk di sini sudah melihat kawasan lapang ini sebagai tempat paling baik untuk dibuat dewan.

"Namun apabila mendapat tahu tanah ini dikatakan akan dijadikan lot banglo impian tersebut dilihat semakin kabur," katanya dengan nada sedih.

Penduduk sebelum itu mengadakan demonstrasi secara aman di persimpangan jalan berhampiran taman tersebut.

Pihak polis turut hadir memantau demonstrasi aman tersebut yang berlangsung selama kira-kira 10 minit tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan