Utusan Online - Timur |
KIST bantu mangsa banjir Pakistan Posted: KIST bantu mangsa banjir PakistanOleh ASMA HANIM MAHMOOD Muhamad Haris Hussain (kiri) menyampaikan mock-cheque RM10,000 kepada Jamuliddin Elias untuk mangsa banjir Pakistan di Bachok, baru-baru ini. BACHOK 26 Dis. – Malapetaka yang menimpa jutaan penduduk di selatan Pakistan yang dilanda banjir akhir Julai lalu terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang prihatin nasib mereka. Antaranya Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di sini yang menyumbang wang tunai sebanyak RM10,000 untuk diserahkan kepada mangsa melalui kerjasama mereka dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ketua Pegawai Eksekutif KIST, Muhamad Haris Hussain berkata, sumbangan hasil potongan gaji kakitangan dan kutipan derma pelajar itu merupakan salah satu kerja bakti warga kolej yang sentiasa peka dengan bencana menimpa umat Islam tidak kira di mana sahaja. "Walaupun sudah berbulan-bulan berlalu, mangsa banjir Pakistan masih lagi menderita dan memerlukan sokongan daripada masyarakat antarabangsa. "Inilah ruang untuk kami berbakti di samping menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan seperti Yayasan Amal Malaysia (YAM) yang mempunyai banyak pengalaman membantu mangsa bencana di luar negara," katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir Pakistan yang diadakan di Dewan Peperiksaan KIST, di sini baru-baru ini. Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden YAM, Jamuliddin Elias dan Ketua Jabatan Psikologi KIST, Che Hasnah Che Musa. Muhamad Haris berkata, selain bantuan material seperti wang dan pakaian terpakai, pihak KIST juga mungkin menghantar tenaga sukarelawan mereka ke Pakistan. Katanya, perbincangan dan perancangan rapi akan dilakukan bagi membolehkan warga KIST yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan untuk menyertai misi YAM ke negara itu yang dijadualkan pada Januari atau Mac tahun hadapan. Sementara itu, Jamuliddin berkata, skala bencana yang menimpa rakyat Pakistan adalah amat besar kerana ia membabitkan satu per lima dari keluasan negara itu yang hampir tiga kali ganda lebih besar daripada keluasan Malaysia. Katanya, sebarang sumbangan yang disampaikan akan disalurkan kepada mangsa melalui program pembangunan dan pendidikan dan bukannya diserahkan bulat-bulat kepada orang tengah. "Sepanjang tiga kali misi awal ke selatan Pakistan sejak Julai lalu, kami membeli bahan binaan asas untuk membuat batu-batu blok bagi mendirikan semula kediaman dan sekolah yang telah musnah selain menggali telaga untuk bekalan air bersih dan sistem kumbahan. "Kami mendapat iktibar daripada pengalaman NGO lain di peringkat antarabangsa untuk memberi 'kail' kepada mangsa meneruskan kehidupan dan bukan semata-mata memberi mereka 'ikan'. "Proses mendidik seperti mengajar cara membina batu blok bangunan adalah penting kerana ia dapat membantu mangsa yang rata-ratanya golongan miskin mempunyai pendapatan sendiri," katanya. Beliau berkata, yayasan yang ditubuhkan pada 2001 itu mempunyai 3,000 sukarelawan dan berpengalaman menyertai pelbagai misi kemanusiaan di serata dunia termasuk di Indonesia, China dan Sudan selain memberi bantuan semasa bencana di dalam negara sendiri contohnya di Kedah dan Perlis, baru-baru ini. Salah seorang pelajar yang ditemui, Wan Athirah Wan Omar, 19, pula berkata, dia bersedia menyertai misi ke Pakistan untuk membantu saudara seagama yang ditimpa kesusahan. Pelajar tahun dua Diploma Kejururawatan ini berkata, pengetahuannya dalam bidang antenatal atau penjagaan semasa ibu mengandung akan digunakan dengan sebaiknya jika diminta pergi ke negara itu. |
MAIK jangka kutipan zakat naik RM70 juta Posted: MAIK jangka kutipan zakat naik RM70 jutaKOTA BHARU 26 Dis. - Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menjangka jumlah kutipan zakat sehingga minggu terakhir tahun ini berupaya melebihi RM70 juta. Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd. Zin berkata, jumlah zakat yang dikutip sehingga 23 Disember lalu sudah melebihi RM65 juta. Katanya, berdasarkan trend sebelumnya, sasaran mengutip RM5 juta zakat dalam tempoh seminggu dijangka tidak sukar dicapai. "Sudah menjadi satu trend apabila semakin rapat ke hujung tahun maka makin ramai orang akan tampil menunaikan zakat pada hari-hari terakhir. Malah kami mendapat makluman ramai yang bermastautin dan bekerja di luar Kelantan lebih berminat untuk melunaskan kewajipan zakat di sini. "Sejak dari 2007 lagi, jumlah kutipan zakat tahunan meningkat dengan amat memberangsangkan tanpa mengira kemelut ekonomi yang berlaku dan kita yakin situasi tidak akan berbeza tahun ini," katanya selepas majlis penyembelihan lembu untuk golongan miskin sempena Hari MAIK di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, di sini semalam. Pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra yang juga Yang Dipertua MAIK berkenan hadir menyaksikan proses penyembelihan 25 ekor lembu yang dilaksanakan petugas-petugas. Hadir sama Penasihat Khas kepada Yang Dipertua MAIK, Datuk Wan Mohamad Wan Konok; Ahli-ahli Majlis MAIK dan ketua-ketua jajahan serta pegawai jabatan kerajaan. Sebanyak 1,500 keluarga miskin dari seluruh daerah negeri ini termasuk Jajahan Kecil Lojing akan menerima bungkusan daging sempena sambutan Hari MAIK itu yang diagihkan melalui ketua jajahan masing-masing. Kamaruddin berkata, pihaknya amat menghargai kesedaran tinggi menunaikan zakat sama ada zakat pendapatan, harta atau fitrah di kalangan individu dan syarikat perniagaan di negeri ini. Katanya, pada tahun lalu sahaja jumlah keseluruhan kutipan zakat adalah sebanyak RM66.7 juta dan pada 2008 lebih RM58 juta telah dipungut. "Masyarakat tidak perlu sangsi membayar zakat kepada pihak majlis kerana kita akan pastikan ia sampai kepada asnaf yang memerlukan. "Contohnya pada tahun ini sahaja kita sudah membelanjakan lebih RM3.7 juta untuk pembinaan 116 buah rumah bagi golongan miskin di seluruh negeri. "Ini tidak termasuk bantuan kepada pelajar miskin yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi sebanyak RM15.6 juta dan agihan tetap kepada lebih 8,000 warga emas sebanyak RM130 sebulan seorang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan