Rabu, 29 Disember 2010

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Bina jalan di tanah masjid?

Posted:

Bina jalan di tanah masjid?

Bina jalan di tanah masjid?

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Mat Noor Shahadan (kanan) dan Zahariman Abdul Ghani menunjukkan laluan susur keluar yang didakwa dibina di atas tanah milik Masjid Nurul Iman di Rawang, Selangor. Di belakang mereka ialah masjid Nurul Iman.


RAWANG 29 Dis. – Walaupun jejambat di Jalan Rawang - Serendah di sini telah siap dan dibuka pada Oktober lalu, namun jalan susur keluar dari arah Bandar Baru Rawang berhampiran pasar raya Mydin masih ditutup.

Isu itu memang menjadi bualan masyarakat setempat dan antara isu yang dibangkitkan ialah tuduhan terhadap pihak Masjid Nurul Iman di situ.

Mereka mendakwa pengurusan masjid itu tidak prihatin terhadap keperluan orang ramai sehingga menyebabkan laluan tersebut tidak dibuka sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, Nazir Masjid Nurul Iman, Ilham Akhbar Harun (gambar), 40 , ketika ditemui Utusan Malaysia menegaskan, pihaknya tidak akan berganjak dari pendirian yang dinyatakan sebelum ini mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, pihak masjid tetap tidak akan membenarkan laluan tersebut dibuka kerana berpendapat pihak pemaju telah menceroboh tanah milik masjid.

Beliau berkata, selagi isu tanah itu tidak diselesaikan oleh pihak pemaju, pihak masjid akan terus menghalang pembukaan susur keluar itu kepada kenderaan.

"Sekiranya dalam tempoh terdekat ini masih ada cubaan untuk membuka laluan terlibat, kami mahukan bukti siapakah yang membenarkan laluan tersebut dibuka," tegasnya.

Ilham berkata, selain mempertahankan hak milik masjid, pelbagai faktor turut diambil kira termasuk soal sensitiviti kariah di kawasan itu serta soal keselamatan.

Yakin berada di pihak benar, Ihlam berkata, dokumen daripada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak mengesahkan bahawa tanah seluas 30,000 kaki persegi yang diambil oleh pemaju terbabit adalah milik masjid.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi itu mendapati, walaupun laluan tersebut tidak dibuka secara rasmi tetapi beberapa cubaan telah dilakukan oleh pemaju untuk membuka laluan tersebut .

Ini dapat dilihat apabila sebatang besi sebesar pemeluk yang dilintangkan di atas laluan bagi menghalang kenderaan melalui jalan tersebut telah dialihkan ke tepi.

Secara kebetulan, semasa tinjauan dilakukan sebuah jentolak dilihat sedang melakukan kerja-kerja pengalihan besi di kawasan berhampiran lampu isyarat di situ.

Bagaimanapun, tindakan pantas Ilham bersama-sama ahli jawatankuasa masjid itu ke lokasi terlibat mengakibatkan kerja-kerja tersebut diberhentikan serta-merta.

Tinjuan Utusan Malaysia ke laluan jalan sepanjang lebih 200 meter itu mendapati, isu keselamatan yang dibangkitkan oleh pihak masjid terbabit ada kebenarannya.

Di jalan itu, tiada sebarang papan tanda atau lampu isyarat dipasang serta tiada jalan susur masuk ke masjid yang boleh membahayakan jemaah untuk ke masjid.

Tambah Ilham, apa yang berlaku ialah seolah-olah pihak bertanggungjawab menutup mata tentang kewujudan masjid yang berusia puluhan itu dalam merancang pembinaan jejambat dan pembangunan di kawasan berkenaan.

Timbalan Nazir masjid berkenaan, Mat Noor Shahadan, 55, pula berkata, pihak pemaju terbabit pernah menawarkan RM30,000 kepada masjid sebagai pampasan pengambilan tanah seluas 30,000 kaki persegi itu.

"Tetapi kami tidak dapat menerima tawaran itu kerana nilai yang begitu rendah yang diletakkan terhadap tanah berkenaan. RM1 setiap kaki persegi adalah tidak munasabah kerana ketika ini nilai tanah itu mencecah RM40 sekaki," ujarnya.

Berkongsi perasaan sama ialah Zahariman Abdul Ghani, 58, yang menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.

Katanya, lebih mengecewakan ialah sehingga ke hari ini pihak berkuasa termasuk Jabatan Kerja Raya Gombak hanya mendiamkan diri mengenai status laluan tersebut.

Utusan Malaysia difahamkan, JKR Gombak pernah mengaturkan pertemuan bersama pihak masjid sebelum Deepavali lalu, bagaimanapun ia dibatalkan tanpa sebarang alasan.

Beliau berkata, jemaah masjid itu bertegas akan mempertahankan rumah ibadat tersebut kerana ia adalah simbol identiti umat Islam di Bandar Rawang.

Selain itu, katanya, ia juga merupakan lokasi strategik untuk dijadikan sebagai masjid pelancongan kerana ia bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk Rawang tetapi juga menjadi tempat persinggahan di kalangan mereka yang melalui kawasan itu.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Laluan bertingkat lancarkan trafik

Posted:

Laluan bertingkat lancarkan trafik

Laluan bertingkat lancarkan trafik

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusan.com.my


LALUAN bertingkat yang merentasi pusat bandar Klang berjaya melancarkan pergerakan kenderaan di bandar tersebut sejak dibuka baru-baru ini.


KLANG 29 Dis. – Penduduk Klang kini boleh menarik nafas lega apabila laluan bertingkat yang merentasi pusat bandar ini kini dibuka kepada kenderaan.

Laluan itu merupakan sebahagian daripada projek menaik taraf Laluan Persekutuan 5 dari Kapar ke Klang yang mendapat peruntukan sebanyak RM2.2 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mislan Tugiu berkata, keadaan trafik di semua hala berjalan lancar dan hanya sesak pada waktu puncak pada sebelah pagi dan petang.

"Aliran trafik dari Pelabuhan Klang menuju ke arah Sungai Rasau masih terkawal walaupun jumlah kenderaan meningkat pada waktu pagi ketika pengguna menuju ke tempat kerja.

"Pada sebelah petang, keadaan juga terkawal walaupun kenderaan dari arah yang ibu negara meningkat secara mendadak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mislan berkata, polis trafik turut menumpukan perhatian kepada beberapa laluan utama yang kerap berlaku kesesakan pada waktu puncak bagi melancarkan lagi perjalanan kenderaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, MPK juga telah mewujudkan laluan sehala di beberapa lokasi sekitar pusat bandar yang terbukti berjaya mengurangkan kesesakan lalu-lintas.

"Jalan Batu Tiga, Jalan Pasar, Lebuh Tapah, Jalan Mantin dan sebahagian Jalan Sireh telah dijadikan laluan sehala yang memberi kelancaran kepada perjalanan pengguna.

"Jalan Nanas ke Jalan Pasar juga ditukar ke jalan sehala, antara Jalan Raja Bot dan Jalan Mantin dan Jalan Gelugor juga ditukar ke laluan sehala menghala ke Jalan Meru," jelasnya.

Jelas Mislan lagi, bagi melancarkan trafik di Jalan Meru, jalan antara Jalan Gelugor dan Jalan Sireh turut dijadikan jalan sehala.

Sementara itu, beliau menambah, pihaknya telah menerima arahan daripada kerajaan negeri untuk mencantikkan bulatan yang terletak di laluan bertingkat tersebut.

"Bulatan tersebut akan dihiasi dengan pokok kemboja, pokok-pokok renek serta bunga-bungaan yang bakal diselenggara oleh Jabatan Taman dan Rekreasi MPK bagi menceria dan mengindahkan mercu tanda itu.

"Nama bulatan di laluan bertingkat yang menjadi penghubung utama trafik dari Kapar dan Meru itu akan dikekalkan dengan nama Jambatan Kota dan akan dirasmikan dalam masa terdekat ini," tambahnya lagi.

Mengulas tentang perniagaan di pusat bandar yang didakwa merosot, Mislan berkata, laluan-laluan di pusat bandar itu kini menerima masuk kenderaan dari semua arah melalui bulatan di bawah laluan bertingkat itu.

Setelah siapnya projek menaik taraf Laluan Persekutuan 5 itu, pengguna akan lebih mudah untuk bergerak ke lokasi-lokasi tertentu di sekitar pusat bandar dan ia pasti akan memberi impak yang baik kepada perniagaan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan