Utusan Online - Utara |
Agihan tanam semula padi 85% selesai Posted: Agihan tanam semula padi 85% selesaiALOR SETAR 25 Dis. - Proses pengagihan bantuan ihsan penanaman semula padi sebanyak RM876 sehektar kepada kira-kira 23,000 petani di negeri ini dan Perlis berjalan lancar dengan hampir 85 peratus diselesaikan. Pengerusi Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Radin berkata, bantuan berkenaan dijangka dapat diagihkan sepenuhnya kepada kesemua pesawah yang berdaftar dan layak menjelang awal bulan depan. Katanya, baki 15 peratus lagi yang belum menerima bantuan berkenaan merupakan para pesawah yang terlewat membuat pendaftaran akibat masalah tertentu. "Kami memerlukan sedikit masa untuk menyemak nama dan menilai kerosakan yang dialami oleh kumpulan pesawah tersebut. "Dijangkakan baki yang belum mendapat bantuan ihsan penanaman ini akan menerima dalam tempoh seminggu ini," katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini. Banjir besar yang melanda negeri ini dan Perlis awal bulan lalu mengakibatkan hampir 50,000 hektar kawasan tanaman padi terjejas. Daripada jumlah tersebut, seluas 34,488 hektar berada dalam kawasan MADA dan 15,401 hektar di luar MADA. Berikutan itu, atas dasar prihatin dengan nasib pesawah terlibat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan kenaikan bantuan ihsan penanaman semula padi kepada RM876 sehektar berbanding kadar sedia ada sebanyak RM573. Beliau memberitahu, bantuan penanaman semula padi itu mula diagihkan menerusi PPK masing-masing sejak 10 Disember lalu dan dijangka mengambil masa kurang sebulan untuk diselesaikan. Menurutnya, pengagihan dibuat berdasarkan jumlah sebenar keluasan padi yang musnah dan bukan mengikut keluasan sawah yang tenggelam. "Jumlah bantuan yang diberikan kepada pesawah berdasarkan bancian dan laporan yang dibuat oleh ketua unit PPK dan kemudian disahkan agensi-agensi kementerian berkaitan," katanya. |
Pelancong cemas rumah tumpangan terbakar Posted: Pelancong cemas rumah tumpangan terbakarPULAU PINANG 25 Dis. - Lebih 150 pelancong terpaksa melalui saat-saat cemas berasak-asak meredah laluan keluar yang sempit dan dilitupi asap tebal apabila dua buah rumah tumpangan dua tingkat yang mereka huni di Bayu Senja, Batu Feringghi di sini terbakar pagi ini. Selain dua rumah tumpangan mengandungi 37 bilik itu, turut hangus dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi di Kampung Belacan di sini ialah dua buah kediaman yang terletak di kawasan berdekatan. Dalam kejadian berkenaan, semua penghuni terdiri daripada pelancong asing dan tempatan berjaya menyelamatkan diri tetapi sebahagiannya terpaksa mengorbankan barangan termasuk dokumen seperti tiket kapal terbang, pasport dan pakaian yang gagal diselamatkan. Asap tebal kebakaran tersebut dapat dilihat dari jauh dan ia dipercayai bermula di tingkat bawah rumah berkenaan yang berdekatan dengan Masjid Batu Feringghi dan Hotel Park Royal di sini. Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) negeri, Mohd. Razam Taja Rahim ketika ditemui di tempat kejadian berkata, struktur rumah yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api merebak dengan cepat dan sukar dikawal. Jelasnya, selain faktor tiupan angin kerana kawasan tersebut terletak berdekatan pantai, faktor cuaca yang kering juga menyumbang kepada keadaan itu. Menurutnya, enam jentera bomba dari Jalan Perak, Bagan Jermal dan Teluk Bahang dengan 35 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja mendapat panggilan daripada orang awam. "Selain berjaya memadamkan api dalam masa 15 minit, tindakan pantas anggota juga berjaya menyelamatkan 10 rumah lain yang berada di kawasan berdekatan daripada turut terbakar," katanya. Jelas Mohd. Razam, pihaknya mengambil masa kira-kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran itu sepenuhnya. Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semasa kejadian kebanyakan pelancong yang menginap di rumah tumpangan itu berada di pantai Batu Feringghi dan keluar bersiar-siar di kawasan sekitar. Bagaimanapun, katanya, dua anggota bomba sukarela cedera di tangan akibat terkena api ketika cuba memadamkan kebakaran itu. Tambah beliau, pihaknya sedang menyiasat punca dan jumlah kerugian akibat kejadian itu. Kebakaran itu menyebabkan jalan menghala ke Batu Feringghi sesak teruk kira-kira 10 kilometer. Sementara itu, seorang saksi, G. Shanta, 30, berkata, selain barang berharga miliknya, 15 pasport antarabangsa milik pelancong dari India yang berada dalam simpanannya turut musnah dalam kejadian itu. Salah seorang pemilik rumah tumpangan berkenaan, Zuhana Mohd. Ali pula berkata, kebakaran itu merupakan kali kedua berlaku di premis itu. Katanya, kejadian pertama yang berlaku pada 1987 memusnahkan sebahagian kecil rumah itu sebelum ia dibangunkan semula oleh arwah ayahnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan