Rabu, 29 Disember 2010

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


SPR tidak lagi diherdik

Posted:

SPR tidak lagi diherdik

SPR tidak lagi diherdik

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


WAN AHMAD WAN OMAR


APAKAH pengalaman berharga yang diperoleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila bakal mengendalikan pilihan raya kecil (PRK) ke-14 di kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang, Johor sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Mac 2008?

Menjawab soalan itu, Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar percaya proses perjalanan pilihan raya di negara ini dari semasa ke semasa kini semakin tenang.

Malah, sejak PRK pertama terpaksa diadakan bagi pertukaran kerusi Ketua Pembangkang dari Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertaruhkan kerusi Parlimen Permatang Pauh sehingga yang terakhir Batu Sapi dan Galas, kelihatan semakin menyusut kecaman pakatan pembangkang terhadap kewibawaan atau ketelusan SPR.

"Nampaknya sistem demokrasi kita kian menampakkan kemajuan berbanding sebelum PRU ke-12.

"Contohnya, polis tidak lagi mengeluarkan permit ceramah selepas pukul 12 tengah malam, pondok-pondok panas (barung) pula sudah tiada. Di PRK Parlimen Hulu Selangor tempoh hari, banyak barung yang kita roboh.

"SPR harap budaya ini akan menukar 'budaya' politik sebelum ini," kata Wan Ahmad kepada Utusan Malaysia di Putrajaya.

Ironinya, sistem pendaftaran pemilih antara tahun 1957 hingga 2002, banyak kelemahannya. Proses pendaftaran pemilih mengambil masa terlalu panjang untuk disahkan dan pendaftaran dibuat hanya dua kali setahun.

Hampir dua bulan atau 42 hari proses pendaftaran dibuat dan kemudiannya pihak SPR perlu mengutip semua kertas pendaftaran di seluruh negara yang dibuat secara manual kerana ketiadaan sistem berkomputer ketika itu.

Hanya selepas proses semua kertas pendaftaran dikumpulkan, barulah pihak SPR menetapkan satu tarikh untuk mempamerkan nama-nama daftar pemilih selama 14 hari serta membuka tempoh sekurang-kurangnya satu sehingga dua bulan untuk orang ramai membuat tuntutan atau bantahan.

Tempoh yang panjang bertujuan memberi peluang kepada orang ramai membuat bantahan kerana ia melibatkan proses penghantaran surat kepada yang membantah dan kemudiannya mereka perlu hadir untuk siasatan awam.

Disebabkan proses yang panjang itu, urusan pendaftaran pemilih tahun 1998 berasaskan pada undang-undang lama yang tidak dapat disahkan segera.

Oleh sebab itu, PRU ke-11 pada 1999 terpaksa menggunakan daftar pemilih yang disahkan sebelum Disember 1997 walaupun berduyun-duyun orang mendaftar sebagai daftar pemilih pada 1998.

Menyedari kegawatan itu, SPR sedar bahawa proses pendaftaran itu perlu ditingkatkan ke arah lebih cekap dan cepat berdasarkan sistem teknologi maklumat yang lebih memudahkan SPR mengemas kini daftar pemilih termasuk urusan pengesahan selepas pendaftaran.

Sehubungan itu, undang-undang baru diwujudkan iaitu Peraturan-Peraturan Pendaftar Pilihan Raya 2002 merangkumi seluruh negara yang dikuat kuasakan pada 16 Julai 2002 sekali gus memenuhi tuntutan undang-undang Perlembagaan bagi membolehkan mereka yang berumur 21 tahun lebih cepat melepasi kelayakan mengundi.

Mengikut undang-undang baru itu, proses pendaftaran dibuat empat kali setahun berbanding dua kali setahun sebelum ini. Sebagai contoh jika proses pendaftaran pemilih dibuat suku pertama tahun iaitu Januari hingga Mac, urusan pengumpulan kertas pendaftaran dibuat pada April dan seterusnya dapat disahkan pada Mei tahun itu. Proses mempamerkan nama daftar pemilih juga dibuat selama tujuh hari berbanding 14 hari mengikut undang-undang lama," ujarnya.

Hakikatnya, isu yang sering dibangkitkan setiap kali pilihan raya dan tidak pernah sunyi diperkatakan ialah pengundi hantu. Ini disebabkan selepas merdeka sehingga 1971, kita mengguna pakai peraturan-peraturan Pendaftaran Pemilih Pilihan Raya 1971 bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Berdasarkan peraturan ini, ia berkait rapat dengan susur galur kewujudan pengundi hantu.

Pada ketika itu, pendaftaran pemilihan PRU pertama tahun 1959 dikawal berpandukan kepada Ordinan Pilihan Raya 1955 iaitu yang dibuat kali pertama pada Ogos 1954 seperti mana kerajaan British menggunakan peraturan itu untuk Pilihan Raya Majlis Persekutuan Tanah Melayu pada Julai 1955. Pada waktu itu, tidak ada undang-undang khas untuk daftar pemilih.

Namun, selepas 1971 sehingga 2002, undang-undang tersebut dimansuhkan sebelum diwujudkan peraturan baru iaitu Peraturan-Peraturan Pendaftar Pilihan Raya 2002.

Di bawah undang-undang baru itu, dua kategori diwujudkan bagi daftar pemilih iaitu daftar pemilih induk (DPI) dan daftar pemilih tambahan.

DPI ialah mereka yang mendaftar sebelum tahun 2002 berpandukan kepada undang-undang lama. SPR tidak boleh sentuh mereka atau memadamkan nama-nama mereka sesuka hati kerana telah diwartakan. Sesiapa yang mendaftar selepas 2002 pula diletakkan di bawah kategori daftar pemilih tambahan.

Di bawah sistem lama inilah, diakui wujudnya pengundi hantu disebabkan tatacara dan peraturan tidak ketat sebagaimana peraturan baru sekarang.

Mengikut sistem lama, orang ramai boleh mendaftar mengikut apa sahaja alamat walaupun tidak mengikut alamat di dalam kad pengenalan kerana tidak wajib ke atasnya untuk membawa kad pengenalan.

Mereka juga boleh mendaftar bagi pihak lain seperti anak boleh daftar untuk ibu dia, bapa saudara boleh daftar untuk anak saudara dia. Disebabkan kelonggaran sistem lama ini, maka berlakulah usaha pihak-pihak tidak bertanggungjawab dalam mengatur pendaftaran mengikut kepentingan dia dan partinya atau mungkin hendak menaikkan seseorang.

Pada masa sama, keputusan kerajaan juga menetapkan bahawa dilarang sama sekali memansuhkan nama mereka yang diwartakan sebagai DPI yang berjumlah sembilan juta orang sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan, melainkan dia disahkan meninggal dunia oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Bagaimanapun, pewartaan dalam DPI tidak dianggap sebagai satu kelemahan kerana ia bertujuan mengelak berlakunya penyelewengan, sekali gus bertindak sebagai benteng mengelak tindakan pihak tertentu mewujudkan peraturan lain di belakang SPR.

Dalam mengatasi permasalahan ini, SPR melalui pegawainya di setiap negeri kini mengambil tindakan pembersihan daftar pemilih secara berterusan dengan menjejaki mereka yang berusia lebih 100 tahun di rumah mereka dengan merujuk alamat yang didaftarkan sekiranya tidak ada rekod di dalam JPN atau salinan permit kubur yang diberikan oleh polis setiap tiga bulan yang membuktikan dia telah meninggal dunia.

Dalam memperkatakan pilihan raya kecil DUN Tenang, Wan Ahmad memberitahu, SPR memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk mengendalikannya.

"Dengan kedudukan DUN Tenang yang semi-urban, itulah jumlah peruntukan yang sesuai.

"SPR juga menetapkan sebanyak 12 pusat mengundi dan percaya PRK yang akan diumumkan tarikhnya pada Jumaat ini akan berlangsung dengan lancar," katanya.

Menurut Wan Ahmad, jumlah 13 PRK yang diharungi SPR sebelum ini dan ke-14 di Tenang nanti merupakan medan terbaik kepada para pegawai dan urus setia SPR di peringkat negeri untuk mengukuhkan lagi latihan praktikal mereka menjelang PRU ke-13 nanti.

"PRK-PRK sebelum ini adalah lapangan terbaik kepada mereka. Apabila ia terlalu kerap diadakan, maka latihan praktikal yang ditempuh mereka semakin hari semakin baik," katanya.

Pada PRU lepas, Sulaiman, 59, menewaskan pencabarnya yang pernah ditewaskannya pada 2004, Mohd. Saim Siran dari Pas dengan majoriti 2,492 undi.

Setelah sebahagian besar negeri 'merasai' PRK di negeri masing-masing sejak PRU ke-12, Wan Ahmad percaya pilihan raya kecil DUN Tenang akan berjalan dengan baik tanpa timbul kekecohan seperti mana PRK yang sebelumnya.

"Saya harap PRK di kawasan itu akan tenang... setenang namanya.

"Dengan tiada lagi kecaman dan dakyah yang bukan-bukan dilemparkan terhadap SPR, kami percaya sistem demokrasi negara akan bertambah matang apabila kita menghadapi PRU-13 nanti," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Falsafah pembinaan rumah SPNB

Posted:

Falsafah pembinaan rumah SPNB

Falsafah pembinaan rumah SPNB

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


IDRIS HARON Pengerusi SPNB


HARGA rumah di pasaran sekarang dikatakan melambung tinggi kerana harganya ditentukan oleh pihak pemaju sehingga di luar kemampuan kebanyakan rakyat untuk membelinya.

"Oleh itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) perlu menjadi faktor pengimbang dengan menyediakan rumah yang sama kualiti tetapi pada harga yang lebih rendah di lokasi yang sama," begitulah tekad Pengerusi SPNB Datuk Idris Haron untuk membantu rakyat golongan miskin memiliki rumah.

Bukan itu sahaja, Ahli Parlimen Tangga Batu, Melaka yang juga bekas TimbalanMenteri Pengajian Tinggi itu mempunyai gagasan untuk dicapai oleh agensi perumahan kerajaan itu. Gagasan SPNB di bawah teraju Idris ialah merealisasikan hasrat kerajaan di samping menjadi pengimbang kemajuan negara.

Mengimbas kembali hasrat asal kerajaan menubuhkan SPNB pada 1997, ia adalah untuk memberi keyakinan kepada bakal-bakal pemilik rumah bahawa rumah yang dibina siap sempurna dan mendiami rumah tersebut dengan kehidupan yang berkualiti. Pada ketika itu, kebanyakan pemaju perumahan mengalami ketandusan dana untuk menyempurnakan projek mereka sehingga menyebabkan krisis keyakinan kepada kemajuan perumahan negara.

Jadi, kerajaan mengambil langkah yang besar menubuhkan SPNB untuk membina semula keyakinan rakyat kepada kerajaan dengan meletakkan syarat SPNB sebagai pusat pasar raya rumah.

Hari ini, kita dapat lihat hasrat itu telah menjadi kenyataan. Bakal-bakal pembeli rumah boleh melihat rumah di tapak-tapak projek yang siap dibina dan boleh memilih rumah mana yang mereka ingini.

Berbeza dengan konsep penjualan rumah oleh pemaju swasta, pendekatan SPNB ialah membina dahulu, jual kemudian. Jadi, pembeli boleh membelinya dengan penuh yakin. Tidak perlu lagi fikir projek rumah terbengkalai atau terus dibebani bayaran ansuran kemajuan projek kepada bank.

Sekarang berlaku lambakan rumah di pasaran hingga mencecah angka hampir 14,000 unit. Idris melihat perlunya pemasaran yang lebih kreatif yang mana kita boleh menggalakkan pembeli yang hari ini tertanya-tanya mengenai lokasi, kemudahan awam dan kualiti. Memang lumrah, ada rungutan tentang lokasi jauh, tiada khidmat bas dan kualiti rumah tidak baik.

Berbanding dengan melihat proses kemajuan rumah dilaksanakan oleh pemaju swasta daripada satu tahap ke satu tahap, pembeli dapat lihat kawalan mutu. Tetapi yang ditawarkan oleh SPNB ialah rumah yang sudah siap dibina sepenuhnya. Hasilnya kita dapati, timbul juga krisis keyakinan terhadap rumah yang siap dibina kerana pembeli tidak nampak proses pembinaannya.

Jadi kata Idris, SPNB selaku pembina rumah kena tampil dengan satu kaedah yang lebih kreatif, bagaimana melariskan jualan rumah ini dengan memberi kepada bakal pembeli satu idea dan harapan. Masalah lokasi bukan isu kerana Bukit Serdang 20 tahun dahulu misalnya, merupakan tempat terpencil dan tiada siapa minat membelirumah di kawasan itu. Tetapi hari ini, Bukit Serdang sudah menjadi kawasan perumahan yang mewah.

Begitu juga tempat yang dikatakan salah lokasi, mungkin 10 tahun lagi akan menjadi tempat berpotensi tinggi kepada pembeli.

Dari segi infrastrukturnya, Idris ibaratkan masalah ini umpama antara telur dan ayam. Kalau kita tidak duduk di sana, infrastrukturnya tidak akan berkembang pesat. Contohnya, SPNB sudah membina 1,000 unit rumah di satu lokasi, bayangkan satu rumah diduduki dua orang, maka sudah ada 2,000 orang penduduk.

Justeru segala infrastruktur, jalan raya, pasar raya, padang awam, kemudahan awam, rumah kedai secara automatik akan wujud di sana. Dari segi kualiti pula, dalam setiap kerja pembinaan mesti ada jaminan kualiti.

"Kini, SPNB memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran orang muda yang belum memiliki rumah. Dalam proses demikian, Idris menasihatkan orang muda supaya perlu ada satu prinsip keutamaan dalam membuat keputusan.

"Jika orang muda diberi pilihan antara memiliki rumah atau kereta pada harga yang hampir sama, selalunya mereka lebih mudah memilih kereta. Sedangkan kereta akan susut nilai berbanding dengan rumah yang semakin meningkat nilai harganya.

"Hari ini, orang muda adalah golongan yang paling kurang dalam pemilikan harta kekal. SPNB boleh bertindak sebagai pemangkin kepada pemilikan harta kekal orang muda sesuai dengan hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi, yang mana harta kekal ini akan menjadi salah satu kaedah penentu indeks individu berpendapatan tinggi," kata Idris yang mula menerajui SPNB sejak 1 April 2010.

Pengerusi SPNB ini juga mahu menerapkan falsafah bahawa golongan yang membeli rumah SPNB bukan hanya untuk membina sebuah keluarga tetapi juga membina masyarakat yang bahagia.

"Cuba bayangkan jika 1,000 orang memiliki rumah di kawasan yang bermasyarakat orang muda iaitu masyarakat masa hadapan. Sebagai satu kejiranan, ia akan membentuk satu kumpulan masyarakat mereka sendiri, dengan orang muda yang mempunyai cita rasa dan pemikiran yang sama, gaya hidup sama, dan mereka boleh membentuk persatuan mengikut kegemaran mereka.

"Sebab itu, saya melihat tidak ada mana-mana projek yang dibina oleh SPNB ini sebagai satu masalah. Baik lokasi, kemudahan awam dan kualiti, saya melihat semua masalah itu sebagai peluang, kita kena lebih kreatif," jelas Idris yang mempunyai tanggungjawab -- sebelah tangan memegang hasrat kerajaan, sebelah tangan lagi menggerakkan tindakan untuk bekerja bersama-sama dengan pesaing-pesaing pemaju swasta.

Semua pihak mengatakan SPNB bukan organisasi berunsurkan keuntungan . Tetapi itu tidak menghalang SPNB daripada bekerja secara kreatif. Kata Idris, kita bekerja seperti swasta tetapi semangat yang didokong adalah semangat kerajaan untuk memberi pembelaan kepada kumpulan sasaran yang kurang berkemampuan dalam pemilikan rumah.

Inilah cabaran SPNB. Ini juga membawa SPNB ke satu kedudukan yang akhirnya perlu memuaskan hati pemegang saham termasuk Kementerian Kewangan dan kumpulan rakyat yang memerlukan rumah.

SPNB juga perlu menggunakan segala faedah pembangunan itu untuk memberi ruang kepada masyarakat di luar kawasan pembangunan yang rancak ini untuk menikmati perumahan sempurna iaitu Rumah Mampu Milik dan Rumah Mesra Rakyat serta golongan yang amat memerlukan amal jariah. SPNB punya peranan itu, dan pada masa yang sama mengekalkan kecemerlangan kualiti.

Sebab itu, slogan SPNB kata Idris daripada "Perumahan untuk semua" ditambahnya kepada "bukan hanya kediaman tetapi kehidupan." Rumah Mampu Milik ialah rumah teres yang dijual bawah RM100,000 dan Rumah Mesra Rakyat untuk penduduk kampung yang miliki tanah tetapi terpaksa menyewa rumah.

Oleh kerana tidak mampu bina rumah sendiri, SPNB sediakan satu skim yang membenarkan mereka cagar tanah dan dibina rumah bernilai RM75,000 atas tanah tersebut. Bahkan, kerajaan memberi subsidi lagi sebanyak 30 peratus.

Menurut Idris, Rumah Mesra Rakyat yang dibina di kampung dan luar bandar sekali gus dapat menambah nilai guna tanah. "Daripada tanah atau kebun terbiar begitu saja, skim ini dapat menambah kualiti kehidupan penduduk kampung yang dahulu menyewa, kini dengan bayaran sewa yang hampir sama, mereka sudah mampu memiliki rumah sendiri.

"Inilah agenda tersirat untuk mengimbangi dan mengelak pemilik-pemilik tanah yang melihat tanah mereka mempunyai potensi tetapi tidak mengeluarkan hasil dan akhirnya melepaskan pegangan tersebut. Dengan adanya rumah dibina di tanah tersebut, mereka tidak lagi sewenang-wenang menjualnya kerana geran tanah itu sudah diletak di bawah simpanan SPNB," kata Idris.

Begitu juga dengan peranan SPNB sebagai pengimbang harga rumah di bandar dan pinggir Bandar melalui pembinaan Rumah Mampu Milik. "Inilah semangat yang perlu ada, yang saya nampak peranan SPNB masih kekal relevan sehingga kita dapat mencapai hasrat Perdana Menteri untuk membina 78,000 unit rumah sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh. SPNB lebih daripada sanggup untuk ambil cabaran tersebut bagi membantu menjayakannya,"jelas Idris.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan