Berita Harian: Wilayah |
Posted: 26 Dec 2010 08:16 AM PST Wilayah BANYAK kafe siber buka laluan sulit untuk kaut keuntungan lebih pada awal pagi. KUANTAN: Bimbang dikenakan tindakan jika beroperasi lebih daripada had masa ditetapkan, beberapa kafe siber di bandar ini dikesan membuka pintu belakang untuk pelanggan bagi mengaut lebih banyak keuntungan. Beberapa pemilik premis di sini dikesan cuba mengaburi mata pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menutup premis sebaik jam 12 tengah malam. Namun, kerana permintaan pelanggan terutama remaja yang mahu melayari internet serta bermain permainan komputer, mereka dikatakan membuka pintu belakang premis kepada pelanggan.Tinjauan Berita Harian di sebuah premis kafe siber di bandar ini sempat merakamkan keadaan premis terbabit ketika masih dibuka dan ditutup serta pintu belakang yang terbuka untuk pelanggan keluar dan masuk. Difahamkan, premis terbabit turut menjadi tumpuan remaja termasuk pelajar sekolah pada hujung minggu dengan menghabiskan masa bermain permainan online. Seorang penjaga premis itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, berkata kafe siber berkenaan dibuka sejak tiga tahun lalu dan sepanjang pengetahuannya belum pernah dikenakan tindakan pihak berkuasa kerana beroperasi lebih masa.
"Biasanya premis ditutup bergantung kepada pelanggan yang ada...paling lewat pun antara jam 4 atau 5 pagi. "Setakat ini tidak berlaku kejadian tak diingini termasuk diserbu pihak berkuasa dan sesiapa saja boleh masuk melalui pintu belakang yang dibuka dan tidak berkunci," katanya. Lan berkata, kebanyakan pelanggan yang datang kerana mahu bermain permainan komputer dan hanya segelintir yang melayari internet. Sementara itu, seorang pengusaha restoran berhampiran premis, Johari Azman, 45, berkata beliau langsung tidak mengetahui kafe siber berkenaan masih beroperasi selepas jam 12 tengah malam. "Biasanya nampak premis tutup seperti biasa tapi ada pintu rahsia untuk pelanggan sebenarnya. "Apapun saya harap pihak berkuasa memantau keadaan ini, kerana bimbang ramai remaja bawah umur yang datang melepak hingga ke awal pagi gara-gara kerana ketagih permainan komputer," katanya. |
Posted: 25 Dec 2010 10:44 PM PST Wilayah APARTMEN Seroja 3 turut menempatkan pekerja asing. SENAWANG: Tindakan pihak tertentu menjadikan sebahagian Apartmen Seroja di Taman Tasik Jaya di sini sebagai asrama pekerja asing menyebabkan penduduk tempatan hidup dalam keadaan tertekan berikutan sikap kurang sopan sesetengah warga asing terbabit. Kira-kira 700 penduduk tempatan yang mendiami Apartmen Seroja 1 hingga 4 kini terpaksa hidup berjiran dengan kira-kira 250 pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Nepal dan Myanmar, yang bekerja di kilang sekitar Kawasan Perindustrian Taman Tasik Jaya sejak tiga tahun lalu. Bagaimanapun, kehadiran pekerja asing yang tidak memahami dan menghormati budaya tempatan menyebabkan ketenteraman penduduk tempatan terjejas.Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Seroja, Mohd Nor Jamaluddin, 41, berkata penduduk tempatan semakin hilang sabar dengan sikap warga asing yang turut mencemar imej kawasan perumahan itu dengan kelakuan kurang sopan. Katanya, gelagat kurang disenangi itu termasuk cara berpakaian menjolok mata dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan secara terang-terangan. "Kelakuan mereka menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan yang bimbang gelagat negatif itu boleh mempengaruhi anak remaja masing-masing serta memberi imej negatif kawasan ini kepada orang luar," katanya kepada Berita Harian. "Kami juga pernah mengemukakan masalah ini kepada majikan pekerja warga asing terbabit, tetapi tiada tindakan proaktif diambil. Apa yang berlaku ialah seorang warden ditempatkan di sini untuk mengawasi pekerja asing terbabit, tetapi tindakan ini masih kurang berkesan," katanya. Penduduk, Ishak Ali, 50, berkata masalah itu yang sudah lama berlaku menyebabkan penduduk tempatan tidak tahan lagi dengan gelagat mereka. Beliau yang tinggal di situ sejak 10 tahun lalu berkata, pekerja warga Nepal pernah bergaduh sesama sendiri hingga membimbangkan jiran bersebelahan, tetapi mujur dapat dikawal dengan bantuan penduduk tempatan. Rakannya, Rashid Abdullah, 47, berkata sejak apartmen itu dijadikan asrama, pelbagai masalah sosial berlaku di situ termasuk kes khalwat membabitkan pekerja asing dan rakyat tempatan serta perlakuan maksiat antara penyewa rakyat tempatan dan warga asing. "Apartmen ini pernah digelar lubuk maksiat, suatu gelaran yang cukup memalukan penduduk tempatan yang hampir 100 peratus adalah orang Islam," katanya. Salmah Razali, 48, pula kesal dengan sikap kebanyakan warga asing yang pengotor dengan membuang sampah sesuka hati dan tidak mempedulikan perasaan penduduk tempatan. "Saya memang membantah kediaman kami ini dijadikan asrama pekerja asing kerana keadaan sekarang menimbulkan masalah yang menjejaskan keharmonian hidup penduduk di sini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan