Utusan Online - Rencana |
Posted: Berakhirnya segala spekulasiOleh Zulkiflee Bakar APABILA Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan secara rasmi keputusan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai siapa yang dipilih sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi UMNO di negeri-negeri, maka berakhirlah segala teka-teki dan spekulasi. Pengumuman yang dibuat semalam seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak kerana UMNO perlu memulakan tirai 2011 dengan melaksanakan segala agenda bagi memantapkan parti untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13. Sudah pasti apa yang akan menjadi perhatian ialah bagaimana tiga pengerusi di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu mengemudi UMNO kerana sebelum ini, di ketiga-tiga negeri tersebut jawatan pengerusi perhubungan disandang sementara oleh tiga naib presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pulau Pinang, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu) dan Datuk Seri Shafie Apdal (Kedah). Kini, jawatan berkenaan sudah diserahkan sepenuhnya kepada anak jati negeri masing-masing iaitu Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah (Kedah), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu) dan Datuk Zainal Abidin Osman (Pulau Pinang). Mereka akan dibantu oleh timbalan masing-masing iaitu Datuk Mukhriz Mahathir (Kedah), Yahya Khatib Mohamad (Terengganu) dan Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang). Perlis sedikit menarik perhatian apabila Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohd.Isa Sabu yang mengekalkan jawatan akan bekerjasama dengan Datuk Seri Shahidan Kassim. Bagi negeri-negeri lain, tidak ada perubahan termasuk Selangor dan Wilayah Persekutuan yang masing-masing kekal dipegang oleh Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun apa pun keadaannya, masa untuk membuat spekulasi dan andaian sudah berakhir. Apa yang lebih mustahak sekarang ialah kesemua pengerusi yang baru dipilih atau dikekalkan harus mengorak langkah mengatur strategi bagi memantapkan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri masing-masing. Seorang pemimpin kanan UMNO memberitahu penulis, Najib amat berhati-hati di dalam penentuan pengerusi perhubungan terutamanya di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu. Ini bagi memastikan pelantikan tersebut apabila diumumkan akan diterima secara terbuka oleh semua pihak. ''Atas sebab itulah sepanjang proses pelantikan hendak dilakukan, pertemuan demi pertemuan diadakan bagi mendapat akujanji pemimpin-pemimpin terlibat,'' kata pemimpin UMNO tersebut. Sememangnya, Najib menaruh harapan besar kepada perubahan yang dilakukan kerana matlamat utama ialah memperkukuhkan UMNO dan BN. Justeru adalah wajar jika pemimpin-pemimpin yang dilantik memahami tanggungjawab dan amanah besar yang diberikan kepada mereka. Di Kedah, Terengganu dan Perlis umpamanya, semua orang tahu masalah politik yang berlaku di negeri-negeri tersebut. Tetapi dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, seharusnya diari lama ditutup dan sekarang adalah masa untuk membuka diari baru. Janganlah berpuak-puak dan bertelingkah sesama sendiri, Kedah sudah mendapat gandingan yang cukup mantap iaitu Ahmad Bashah yang penuh pengalaman dan Mukhriz yang mampu memperkukuhkan usaha menarik sokongan generasi muda. Semua ketua-ketua bahagian di negeri itu perlu bersatu memberi sokongan dan bukannya terus dengan permainan politik yang memualkan termasuklah membuat spekulasi kononnya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid perlu dilantik bersama Ahmad Bashah memandangkan Mukhriz bukan ketua bahagian. Dalam masa yang sama, Ahmad Bashah pula perlu bersikap terbuka untuk berusaha merapatkan hubungan dengan semua pimpinan UMNO di Kedah. ''Saya percaya sebagai seorang politik yang berpengalaman, Ahmad Bashah akan mampu mengukuhkan kedudukan UMNO Kedah, apatah lagi dengan dibantu oleh Mukhriz dan ini menyaksikan gandingan orang lama dan orang muda,'' kata Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail. Di Terengganu pula, pelantikan Ahmad Said bukanlah satu kejutan kerana beliau sememangnya berhak kembali menduduki jawatan itu. Namun begitu menurut seorang pemimpin UMNO negeri berkenaan, Ahmad perlu lebih berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan mainan politik 'orang sekelilingnya'. ''Ahmad adalah pemimpin yang baik dan layak menduduki jawatan itu, cuma kita berharap beliau akan berusaha merapatkan barisan serta memulihkan hubungan dengan mereka yang dilihat 'tidak sebulu' dengan beliau. ''Kita percaya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh akan berjiwa besar menerima pelantikan Ahmad dan akan bersama-sama memperkukuhkan UMNO Terengganu,'' kata pemimpin UMNO tersebut. Di Pulau Pinang pula, UMNO boleh dikatakan mendapat gandingan yang mantap berdasarkan kombinasi antara Zainal Abidin dan Musa. Kedua-dua mereka adalah 'pejuang' yang selama ini sentiasa mengetengahkan pelbagai isu melibatkan kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang. Gabungan mereka sudah pastilah akan membolehkan UMNO mengatur gerak kerja yang lebih jitu dengan kerjasama MCA, MIC dan Gerakan bagi merampas kembali negeri itu daripada pakatan pembangkang. Di Perlis pula, janganlah terlalu ramai cuba menjadi 'pencucuk sate'. Mohd.Isa dan Shahidan harus diberi peluang untuk mewujudkan kerjasama erat bagi memantapkan UMNO negeri itu. Kedua-dua mereka perlu faham sudah ada khabar bahawa pakatan pembangkang menjadikan Perlis sebagai sasaran mereka seterusnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Apa gunanya jika mereka bertelingkah sesama sendiri yang kesudahannya 'yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu'. Namun ramai yang percaya, Mohd.Isa dan Shahidan adalah pemimpin UMNO tulen, demi kepentingan parti, mereka pasti boleh berjiwa besar untuk bersatu. Bagi pengerusi dan timbalan pengerusi perhubungan di negeri-negeri lain pula, mereka janganlah berada dalam zon selesa. Cabaran tahun 2011 dalam memastikan kejayaan BN dalam pilihan raya cukup getir. Atas sebab itulah kepercayaan yang diberikan oleh Najib dan Muhyiddin kepada mereka perlu dihargai serta dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Misi utama kesemua pengerusi perhubungan UMNO ialah memastikan BN terus meraih sokongan rakyat. Semua itu hanya boleh dilakukan jika mereka menentukan UMNO pimpinan mereka berada dalam keadaan mantap dan segala proses transformasi yang dilakukan oleh kerajaan dan parti melalui kepimpinan Najib disampaikan serta difahami oleh rakyat dan ahli-ahli di akar umbi. Berdasarkan hakikat itu, jadikanlah pengumuman barisan kepimpinan UMNO negeri ini sebagai pembuka tirai ke arah mengorak langkah untuk memastikan kejayaan parti itu dan BN, bukan semata-mata kerana kuasa tetapi demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. |
Posted: Beza 1Malaysia dan One IsraelOleh Mohd Ayop Abd Razid Benarkah 1Malaysia sama dengan One Israel? Rencana ini cuba mengupas perbezaan kedua-dua gagasan terbabit dengan memberikan penekanan kepada aspek konsep bangsa. Konsep One Israel diperkenalkan oleh Ehud Barak, Perdana Menteri Israel pada awal tahun 1990-an. Ia bertujuan memperkukuh kedudukan kaum Yahudi di bumi Palestin. Justeru, One Israel berkaitan dengan kesinambungan perjuangan Zionis yang terus menerus berusaha memperkukuh kedudukan mereka di bumi Palestin. One Israel adalah gagasan yang bersifat rasis, egoistik, cauvinistik dan partikularistik. Ia mengamalkan dasar diskriminasi terhadap bangsa Arab Palestin. Gagasan tersebut dicipta khusus untuk bangsa Yahudi. Melaluinya, rejim Zionis Israel melaksanakan dasar pentadbiran yang mengutamakan kaum Yahudi di negara haram Israel itu. Oleh itu, segala bentuk dasar pembangunan sosioekonomi adalah untuk kepentingan kaum Yahudi semata-mata, manakala rakyat Palestin terus menerus ditindas dan dinafikan hak mereka. Pada hemat saya, tidak salah kita mengatakan bahawa One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme utama bangsa Yahudi yang menganggap kaum mereka sebagai 'Bangsa Pilihan Tuhan' (The Chosen People of God). Kaum Yahudi telah menjadikan faktor 'darah keturunan' sebagai faktor penentu Tuhan memilih mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Pilihan ini berasaskan kepada kasih sayang Tuhan 'Yahweh' kepada mereka. Menurut mereka, keistimewaan ini tidak dikurniakan kepada bangsa-bangsa lain seperti gambaran yang diberi di dalam 'Perjanjian Lama' (Old Testament) yang menyebut: "Engkau...wahai Israel adalah bangsa yang dikuduskan oleh Tuhanmu. Engkau telah dipilih oleh Tuhanmu agar engkau menjadi satu bangsa yang paling istimewa dan unik di sisi Tuhan engkau dari seluruh bangsa-bangsa lain yang menyebabkan Tuhan cinta kepada kamu dan memilih kamu tetapi pemilihan kamu adalah kerana kasih sayang Tuhan kepada kamu dan jagaan-Nya terhadap sumpah yang dibuat-Nya dengan bapa-bapa kamu, iaitu Tuhan telah membawa kamu keluar dengan tangan yang kuat dan menebus kamu daripada perhambaan Fir'aun Raja Mesir ( Deuteronomy V11:6-8). Sebelum wujudnya apa yang dinamakan pergerakan Zionis secara rasmi, telah lahir pelbagai pergerakan Yahudi yang berjuang untuk kembali dan menjadikan bumi Palestin sebagai negara mereka. Di antara pergerakan awal itu adalah pergerakan Maccabean, pergerakan Barkohhba (117-136M), pergerakan Maosisi al-Kariti, pergerakan Dapd Robin (1501-1532M), pergerakan Mansyah bin Israel (1604-1657M) dan pergerakan Syabtai Lapei (1626-1676M). Akhirnya, pergerakan Zionis yang dipelopori oleh Theodor Herzl telah berjaya membawa impian mereka untuk kembali menguasai bumi Palestin. Sejak menguasai Palestin pada tahun 1948, pemimpin Yahudi yang silih berganti itu menjalankan dasar 'penghapusan kaum' terhadap bangsa Arab Palestin sehinggalah ke hari ini. Dasar-dasar yang dilaksanakan di negara haram Israel itu semuanya mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan bangsa Yahudi. Dasar ini jugalah yang termuat di dalam gagasan One Israel. Jelas bahawa gagasan rasis Zions itu jauh berbeza konsepnya berbanding dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum. Gagasan 1Malaysia tidak memiliki elemen rasisme atau ideologi perkauman sempit seperti mana yang dipamerkan oleh One Israel. Slogan 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" adalah bukti nyata gagasan ini tidak bersifat rasis. Seperti yang pernah dihuraikan oleh Najib di dalam Dewan Rakyat bahawa 1Malaysia itu membawa maksud perpaduan dan kesepakatan, "Rakyat Didahulukan" membawa pengertian pengagihan dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman, manakala "Pencapaian Diutamakan" membawa maksud kerajinan dan penghasilan. Yang jelas kepada kita ialah, 1Malaysia menekankan konsep 'rakyat', bukannya konsep kaum atau bangsa-bangsa tertentu. 'Rakyat' bermaksud 'warganegara' yang mana kerakyatannya sah di sisi undang-undang negara. Justeru, apa juga dasar pembangunan sosioekonomi di bawah gagasan 1Malaysia adalah untuk disertai dan nikmati oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum supaya matlamat untuk mencapai perpaduan kebangsaan menjadi kenyataan. Bukannya mudah untuk memuaskan hati semua kaum kerana apabila sesuatu dasar itu disalah tanggap atau dipolitikkan, maka akan berlaku tuntutan-tuntutan ekstrem daripada kaum-kaum tertentu yang boleh menjejaskan hubungan dan keharmonian kaum di negara ini. Justeru, pernah di dalam satu majlis bersama media, Najib berkata kepada para wartawan: "Saya membawa satu perasaan keinsafan yang amat mendalam dan tawaduk bahawasanya ini bukan satu status, bukan soal kuasa tetapi soal tanggungjawab dan harapan yang diberi oleh rakyat amat besar". Kesimpulannya, gagasan 1Malaysia jauh berbeza dengan gagasan One Israel. Perbezaannya 'umpama langit dengan bumi'. One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme bangsa Yahudi yang mempercayai bangsa mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Ia adalah gagasan yang mengamalkan fahaman kuno yang mendukung konsep 'super race'. Sebaliknya, gagasan 1Malaysia mendukung konsep 'rakyat' (warganegara). Ini bermakna 1Malaysia memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum. Tegasnya, 1Malaysia adalah gagasan yang mendukung konsep kesatuan rakyat. Kita meraikan 'kepelbagaian' (kemajmukan kaum) dan mengamalkan kesederhanaan (wasatiyyah). Menurut Dr. Hassan Ahmad (2010), kesatuan rakyat yang diasaskan kepada kesatuan sosiopolitik-legalistik adalah landasan penting untuk mencapai perpaduan kebangsaan. Negara akan hancur seandainya setiap kaum cuba membentuk 'perkampungan' sendiri, sistem sosial, sistem ekonomi, sistem pendidikan dan sistem politik sendiri yang terpisah daripada dasar, institusi, dan sistem kebangsaan negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan