Utusan Online - Selatan |
MPHTJ, Adelaide jalinkan kerjasama Posted: MPHTJ, Adelaide jalinkan kerjasamaOleh NORIZAN ABDUL MUHID
MELAKA 29 Dis. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan bandar raya Adelaide, Australia dalam usaha menjadikan seluruh kawasan dalam pentadbirannya sebagai bandar teknologi hijau. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, program kerjasama mengenai perkara itu sedang dalam perancangan dan dijangka bermula menjelang suku pertama tahun depan. Menurutnya, melalui program kerjasama itu, majlis perbandaran tersebut akan melaksanakan kemudahan awam berasaskan teknologi hijau di bandar raya itu selewat-lewatnya akhir tahun depan. ''MPHTJ memilih Adelaide dalam program kerjasama ini memandangkan ia banyak menggunakan teknologi hijau dalam aktiviti pembangunan mereka dan oleh sebab itu, kerajaan negeri mahu MPHTJ menerima pakai program teknologi hijau yang mereka amalkan," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar, Yang Dipertua Serta Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Bagi Tahun 2011 di sini baru-baru ini. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang baru ialah Zainal Abu menggantikan Datuk Yusof Jantan, Sapiah Haron dilantik sebagai Yang Dipertua MPHTJ yang baru menggantikan Kamaruddin Md. Shah yang kini berpindah ke jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah. Bagi Murad Husin, beliau terus mendapat mandat dan kekal sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ). Selain itu, 24 ahli majlis MBMB, 24 ahli majlis MPHTJ, 24 ahli majlis MPAG dan 25 ahli majlis MPJ mengangkat sumpah dengan pelantikan berkuatkuasa 1 Januari ini. Menurut Ketua Menteri, antara bidang yang dikenal pasti sesuai dipraktikkan oleh MPHTJ bagi pelaksanaan teknologi hijau adalah pengurusan tenaga dan air kerana ia merupakan kegiatan popular. Beliau memberitahu, kerajaan negeri mencadangkan kepada MPHTJ agar menggunakan kawasan Gapam seluas 324 hektar bagi mempraktikkan teknologi hijau sebelum proses itu diperluaskan ke tempat lain dalam kawasan pentadbirannya. ''Saya juga tertarik dengan pengurusan sistem pengangkutan awam yang dipraktikkan di Adelaide antaranya mereka menyediakan bas percuma kepada penduduk memandangkan mempunyai pungutan hasil yang mantap," katanya. Pada masa yang sama, beliau meminta pelbagai pihak selain MPHTJ bagi menjayakan kempen bandar teknologi hijau seperti yang digariskan oleh kerajaan negeri termasuk pihak swasta dan seluruh penduduk negeri ini. Mengulas perkembangan pungutan hasil majlis perbandaran di negeri ini setakat ini, Mohd. Ali memberitahu, sehingga November lalu, empat majlis perbandaran terbabit telah mengutip hasil sebanyak RM207.967 juta. Katanya, daripada jumlah itu, MBMB mengutip hasil RM142.944 juta, MPHTJ (RM31.117 juta), MPAG (RM20.826 juta) dan MPJ sebanyak RM13.08 juta. Ujar beliau, setakat 17 Disember lalu, keempat-empat majlis perbandaran terlibat membelanjakan RM15.544 juta bagi menjalankan projek kemudahan rakyat antaranya kawalan vektor (pembawa penyakit), keselamatan awam dan projek naik taraf kemudahan di kampung. | ||
Tidak letak tanda harga untuk jimat masa - Peniaga Posted: Tidak letak tanda harga untuk jimat masa - Peniaga
JEMPOL 29 Dis. - Sikap peniaga yang masih gagal mempamerkan tanda harga menyebabkan pengguna menggaru kepala dan 'hilang pedoman' untuk membuat perkiraan sebelum membeli belah. Banyak rungutan yang diterima daripada orang ramai sejak akhir-akhir ini dan tinjauan yang dibuat di beberapa kedai di kawasan ini, mendapati memang terdapat kedai yang tidak mempamerkan tanda harga bagi setiap barangan yang hendak dijual. Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 40-an berkata, dia tidak mempamerkan tanda harga kerana mahu menjimatkan masa. ''Banyak lagi kerja mahu dilakukan daripada meletakkan tanda harga pada semua barangan yang ada dalam kedai ini. ''Kalau ada pembeli hendak membeli barangan, mereka boleh tanya di kaunter bayaran atau pembantu kedai," katanya di sini hari ini. Lagipun katanya, menulis tanda harga atau mencetaknya memerlukan kos tambahan. Dalam pada itu seorang pengguna, Haziemah Mohammad, 18, berkata, mahu atau tidak, peniaga perlu mematuhi arahan dengan mempamerkan tanda harga terhadap semua barangan yang hendak dijual bagi memudahkan pengguna. ''Hari ini, bukan kedai biasa sahaja yang gagal mempamerkan tanda harga tetapi pasar mini dan sebagainya pun tidak berbuat demikian. ''Tengoklah betapa sukarnya pengguna untuk mengetahui harga barang, terpaksa bertanya. Kalau peniaga sibuk, ada yang tidak mahu melayan," katanya. Sementara itu, Luqman Haqim, 53, dari Felda Pasoh 1 dekat sini, berharap pihak berkuasa di negeri ini dan agensi berkaitan pengguna dapat melihat keadaan tersebut dengan lebih serius. ''Kita akan masuk tahun 2011 dan nampaknya penghujung tahun 2010 ini, pemantauan agak kurang dan sebab itulah peniaga mula 'naik minyak' dan tidak mengendahkan peraturan yang ditetapkan. ''Betullah, kuasa membeli di tangan pengguna. Kalau hendak beli pun tanda harga tiada, macam mana kita mahu menentukan 'kuasa' itu benar-benar dapat dilaksanakan oleh pengguna. ''Bila kita sudah lihat tanda harga, barulah kita boleh membezakan harga itu dengan kedai lain. Itulah namanya kuasa pengguna," tegasnya. Katanya, kalau peniaga tidak meletakkan tanda harga, mereka boleh menggunakan apa sahaja cara untuk menaikkan harga dan ia boleh mengelirukan pengguna. ''Masalah tanda harga ini dilihat semakin menjadi-jadi apatah lagi apabila banyak kedai mengadakan jualan akhir tahun. Peniaga cuma pamer jualan murah, potongan harga. Mana tanda harganya," katanya. Luqman juga mendakwa, terdapat peniaga yang menjual barangan tamat tempoh dengan harga yang jauh lebih murah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan