Selasa, 28 Disember 2010

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Tugas rela semakin penting

Posted:

Tugas rela semakin penting

Tugas rela semakin penting


Zaidon Asmuni



TUGAS dan peranan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) amat sinonim sebagai penjaga musuh tanaman, senjata yang dibekalkan kepada anggotanya sering digunakan untuk membantu para pekebun menembak babi hutan atau tupai semasa musim buah-buahan.

Walaupun tugas tersebut masih tetap dijalankan termasuk membantu pihak berkuasa tempatan menembak gagak atau anjing liar, melakukan aktiviti gotong royong dan mengawal lalu lintas, namun fungsi dan tanggungjawab anggota Rela kini dilihat semakin penting kepada isu keselamatan negara.

''Selain menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Imigresen, anggota Rela turut diberi tanggungjawab oleh Malaysia Airport Berhad (MAB) menjaga Short Take Off Landing Airport atau STOL Port di Sabah dan Sarawak," kata Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni kepada wartawan NORLIZA ABD. RAHMAN di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh Datuk terangkan mengenai penggunaan senjata api dalam kalangan anggota Rela?

ZAIDON: Untuk makluman, Pusat Latihan kita ada sediakan senjata api untuk kegunaan latihan seperti pump gun, M16, shot gun (senapang patah) dan pistol. Maknanya kalau hantar anggota ke Pusat Latihan, kita bagilah latihan asas guna senjata api.

Pada masa sama, kita juga ada bekalkan shot gun kepada anggota terpilih bagi tujuan menjaga musuh tanaman seperti ancaman babi hutan dan tupai. Tugas ini memang sudah lama kita lakukan.

Tetapi senjata juga digunakan untuk mengawal keselamatan kampung daripada ancaman musuh. Anggota terpilih akan diberikan lesen Carry & Use (C&U) di mana lesen senjata api dikeluarkan oleh polis.

Kalau nak ikutkan orang mengenali Rela sebagai penembak tupai terutamanya semasa musim buah, tetapi itu cuma kerja sampingan saja, sebenarnya tugas kita lebih kepada menjaga keselamatan kampung.

Sejauh mana pakaian seragam anggota Rela mampu menaikkan imej pasukan ini?

ZAIDON: Kita sebenarnya sebuah pasukan sukarela beruniform yang berlatar belakangkan keselamatan. Oleh kerana Rela berada di mana-mana, kita biasanya menjalankan tugas membantu untuk bersama-sama cegah jenayah dengan polis, Jabatan Imigresen dan agensi-agensi lain yang memerlukan khidmat Rela.

Fokus kita adalah menjaga keselamatan, keamanan, kesejahteraan dan keharmonian setempat. Maksud saya anggota Rela di Kuala Lumpur tidak dikerah bekerja di Sabah, Sarawak atau Pulau Pinang, mereka bekerja di Kuala Lumpur sahaja. Tidak seperti polis dan askar yang kena kerah ke Sabah, Sarawak atau ke mana-mana lokasi. Kalau mereka duduk Kajang, di situlah tempat mereka bekerja. Sebab kita ini sebahagian daripada masyarakat di sesebuah kampung, taman perumahan atau pekan.

Boleh Datuk jelas apakah maksud 'untuk mata dan telinga' pasukan keselamatan? Bagaimana anggota Rela membantu mencegah jenayah?

ZAIDON: Sebagai penduduk tempatan, biasanya kita lebih tahu kalau berlaku kegiatan jenayah atau pengedaran dadah di tempat kita. Sebagai orang tempatan, kita tahu bahawa ada orang luar masuk kampung kita selain mengenali ramai penduduk.

Justeru apabila berlaku kegiatan jenayah, penyeludupan atau kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI), maka anggota Rela akan salurkan maklumat kepada polis atau Imigresen.

Di sinilah peranan kita sebagai mata dan telinga kerajaan dalam memberi maklumat risikan untuk tujuan keselamatan. Setakat ini, polis sudah merekrut 3,663 anggota Rela menganggotai Pasukan Sukarelawan Polis untuk membantu mencegah jenayah di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor.

Semua anggota Rela yang bertugas dibayar elaun sebanyak RM4 sejam dan bekerja lapan jam sehari. Gaji mereka tidak dibayar oleh agensi kerajaan lain walaupun bertugas membantu Imigresen atau MAB.

Masih sesuaikah lagi konsep kerja Rela tembak tupai?

ZAIDON: Sebenarnya pada masa ini Rela ditugaskan menjaga semua depoh tahanan Imigresen di seluruh negara kecuali di Sabah dengan kekuatan antara 60 ke 70 anggota pada satu-satu masa di sesebuah depoh.

Kita juga telah ditugaskan menjaga rumah perlindungan mangsa anti-pemerdagangan orang di Tanjung Keling, Melaka.

MAB juga lantik kita berkawal di lapan buah STOL Port dekat Sabah dan Sarawak. Selain itu, anggota kita juga sudah ditempatkan di jeti-jeti awam di seluruh negara.

Melihat kepada pertambahan tugas dan keperluan menempatkan ramai anggota di seluruh negara, Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyasarkan penyertaan 2.6 juta anggota menjelang akhir tahun 2011 dan kita yakin dapat mencapai sasaran tersebut.

Baru-baru ini, Briged Orang Asli di Bera, Pahang dilancarkan. Bagaimana dengan penyertaan mereka?

ZAIDON: Penduduk pedalaman terutamanya Orang Asli apabila pakai pakaian seragam, semangat mereka lain. Maksud saya mereka cukup bersemangat. Sebab itu, saya minta Komander Briged Rela Orang Asli, Brigedier Jeneral Senator Mohd. Olian Abdullah meneliti anggotanya dari segi kebajikan, tugas dan sebagainya.

Kebanyakan anggota beritahu, di kawasan penempatan Orang Asli sudah banyak berlaku jenayah dan pencerobohan hutan. Jadi, dengan adanya penyertaan mereka dalam pasukan ini, keselamatan di sana akan lebih terjamin.

Walaupun terbabit secara langsung dalam menjaga keselamatan, kami masih terlibat dengan aktiviti sukarela seperti gotong royong, membantu membersihkan rumah mangsa banjir, menjaga lalu lintas semasa majlis kenduri kahwin atau di pasar malam tanpa dibayar elaun RM4 sejam kerana ia terpulang kepada penganjur.

Pasukan Rela juga boleh berfungsi sebagai agen perpaduan kerana ia turut disertai kaum Melayu, Cina dan India, sejajar dengan konsep Gagasan 1Malaysia.

Nasihat saya kepada remaja yang berusia 16 tahun ke atas, anda dialu-alukan menyertai pasukan Rela. Banyak manfaat yang boleh dinikmati selain menjaga keselamatan di tempat sendiri.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

1Malaysia paksi patriotisme

Posted:

1Malaysia paksi patriotisme

1Malaysia paksi patriotisme

Oleh Dr. Siva

1Malaysia diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengambil alih pentadbiran negara pada 3 April 2009. Konsep tersebut muncul ketika keadaan politik tidak menentu, pertumbuhan ekonomi global berada dalam krisis dan lebih daripada itu, perpaduan dalam negara dianggap rapuh. Konsep, gagasan, slogan, agenda ataupun dasar 1Malaysia, namakan apa sahaja tetapi ia mempunyai hubungan utuh sebagai jambatan kesinambungan kepimpinan lalu ke arah satu transformasi holistik.

Ia hanya akan berjaya jika anggota masyarakat memiliki iltizam yang kuat untuk memahami dan mahu memahami bagi merealisasikan matlamat asasnya. Dalam ucapan beliau sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-52 pada 2009, Najib menyatakan bahawa cabaran besar rakyat Malaysia adalah membaik pulih jambatan yang sedia ada, di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama anggota masyarakat. Apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik, malah boleh musnah jika tidak berhati-hati dengannya.

Tanpa keutuhan perpaduan dalam kalangan ahli masyarakat, Malaysia akan gagal meningkatkan kedudukan populasi negara. Dalam perutusan Hari Kebangsaan ke-53 pada tahun ini pula, Perdana Menteri menyatakan bahawa teras perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti mana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni rukun negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.

Ketika sambutan Tahun Baru Cina di Rumah Terbuka Akhbar Sin Chew Daily pada Februari 2010, Najib menyatakan 'to celebrate diversity - that is our final destination, the final apex. If we celebrate our diversity, then it means we have reached our final destination of 'Bangsa Malaysia' and 1 Malaysia. This means that we think as one people, one nation, one dream'.

Ia jelas menunjukkan bahawa 1Malaysia bertujuan membina nilai kesepaduan, keharmonian, integrasi dan perpaduan yang berakarkan kepada prinsip 'Satu Negara, Satu Matlamat', selain menjunjung tiga teras iaitu prinsip penerimaan; kenegaraan dan keadilan sosial sebagai pelengkap kepada Wawasan 2020 dan gagasan lain yang pernah dikemukakan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Selain itu, ia adalah 'penjana' untuk memastikan kestabilan tidak terganggu akibat kesempitan politik yang diwarnai dengan manipulasi, emosi, helah, pembohongan, provokasi dan spekulasi.

Apabila ada pihak mahu 'gam' di negeri pentadbiran mereka penggunaan simbol ini, maka ia dilihat politiking keterlaluan kerana mencari isu remeh untuk terus bersaing dalam fahaman politik masing-masing. Dengan menghukum penggunaan simbolnya, ia dianggap sebagai 'dasar isolasi kuasa' yang boleh memberi kesan ke atas keharmonian. Adakah sudah ketandusan isu sehingga 1Malaysia dijadikan sebagai satu 'bahan politik' tanpa menyedari bagaimana ia boleh menjerat mereka kerana seolah-olah menunjukkan ketidakupayaan mentadbir apatah lagi mengikut analisis dan kajian persepsi yang dilakukan. Salah satu elemen yang menyumbang kepada lonjakan keyakinan ke atas populariti Najib adalah gagasan 1Malaysia yang memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada nilai kemasyarakatan demografi dan geografi tanah air.

Ia mahu memperkukuhkan kemuafakatan yang memerlukan rasa tanggungjawab dan kejujuran dalam menyuburkan nilai menerima, hormat menghormati dan saling faham-memahami, menanam nilai kemanusiaan untuk bersama, serta nilai 'kepunyaan'. Adakah pemahaman yang sudah jauh meningkat menyebabkan ada pihak gusar ia akan memberi kesan dalam memobilisasi sokongan bersifat populis mereka? Ini kerana 1Malaysia percaya kepada tanggungjawab setiap individu yang bernama warga Malaysia. Untuk mempertahankan kedaulatan negara ini berpaksikan kepada nilai patriotisme dan nasionalisme serta memagari diri setiap individu daripada sifat syak wasangka serta mencurigai antara satu sama lain agar dapat mengurangkan darjah sikap berpura-pura dalam kalangan masyarakat jika ia dianggap penting untuk meningkatkan nilai kemasyarakatan.

Ia muncul ketika terhakis perasaan kekitaan ke atas tanah air dan praktis 1Malaysia bertujuan membina kekuatan bersama dalam berhadapan dengan apa sahaja krisis kenegaraan walaupun berbeza agama, keturunan, kepercayaan, gender dan ideologi politik sekalipun.

Yang membezakan 1Malaysia dengan apa sahaja agenda politik parti pemerintah adalah ia menanam perasaan 'keyakinan', 'kepercayaan' dan 'kejujuran' bahawa setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas negara kerana mereka bergelar warga Malaysia. Jelmaan nilai 'keselamatan menyeluruh' dengan memartabatkan 1 Malaysia sebagai wadah jati diri, masing-masing menunjukkan rasa bangga kepada negara yang dihuni dan pasti akan berjuang mempertahankan kedaulatan negara.

Barangkali, ada pihak khuatir dengan pengukuhan penerimaan dan penerapan nilai 1Malaysia kerana ia akan mempercepatkan proses memperkasakan perubahan. Ini kerana dalam Majlis Muhibah Perdana Menteri bersama Pemimpin Agama pada September 2010, Najib ada menyatakan bahawa tidak akan berlaku sebarang transformasi tanpa ada perpaduan dan keharmonian nasional. Kerajaan telah merangka beberapa pelan transformasi antaranya Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Yang penting bukan untuk melihat perbezaan tetapi merungkai perinciannya sebagai kekuatan dan tidak sebagai penghalang untuk menjana rasa tanggungjawab bersama kerana kejayaan membina negara-bangsa pelbagai etnik negara ini masih berkiblatkan kepada persamaan nilai kemanusiaan dan meraikan kepelbagaian tersebut. Hubungan emosi antara kesemua warga Malaysia wajar disuntik ke arah mencari titik keseimbangan kepada 'masa depan yang sama' kerana kejayaan 1Malaysia bergantung kepada kekuatan setiap individu dalam negara ini yang mahu melihat negara ini terus makmur, maju dan rukun termasuk pemimpin dari mana-mana kelompok menggembleng keazaman bersama melahirkan generasi yang mahu mencerna prinsip keamanan, kesejahteraan dan muhibah.

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan