Utusan Online - Jenayah |
Posted: Pengedar dadah parah ditembakOleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
KUALA LUMPUR 28 Dis. - Seorang pengedar dadah yang cuba menyerang anggota polis dengan mengundurkan keretanya, cedera parah selepas terkena dua das tembakan ketika cuba melarikan diri di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Intan Baiduri, Kepong hari ini. Kejadian berlaku pukul 11.15 pagi itu turut mencederakan empat orang awam termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, selepas dilanggar kenderaan yang dinaiki suspek. Insiden bermula semasa anggota terbabit yang berpangkat lans koperal sedang meronda bersama dua lagi rakannya di kawasan itu dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi. Mereka bagaimanapun terserempak dengan suspek yang berusia 26 tahun dalam keadaan mencurigakan berhampiran bulatan Batu Caves sebelum mengarahkannya berhenti. Bagaimanapun suspek memecut sejauh empat kilometer sebelum berhenti di kawasan tersebut dan melanggar anggota itu dua kali sehingga menyebabkan motosikalnya terbabas dan terjatuh. Anggota berusia 20-an itu yang cedera di kakinya kemudian melepaskan dua das tembakan dan mengenai suspek. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kenderaan suspek hilang kawalan lalu merempuh tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang kebetulan berada di gerai berdekatan. "Seorang peniaga nasi lemak berusia 40 tahun dan kanak-kanak terbabit cedera ringan. Seorang wanita berusia 55 tahun patah tangan kanan dan seorang lagi yang berusia 36 tahun melecur di kaki kiri terkena ekzos kereta suspek. "Suspek dan empat orang awam itu dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini. Dalam pada itu, Zulkifli memberitahu, polis menemui tujuh peket dadah jenis heroin di dalam poket seluar suspek selain di tempat duduk pemandu dan penumpang. "Siasatan awal mendapati suspek memiliki lima rekod lampau, empat berkaitan kes dadah dan satu kes curi di Jinjang. "Tiga saksi awam yang melihat kejadian sudah diambil keterangan manakala suspek yang sedang kritikal di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya. | ||
Isteri, penarik kereta didakwa belasah anggota polis hingga koma Posted: Isteri, penarik kereta didakwa belasah anggota polis hingga koma
SHAH ALAM 28 Dis. - Isteri seorang anggota polis dan penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membelasah suami wanita tersebut sehingga koma selama sebulan pada pertengahan November lalu. S. Kasturi, 27, dan A. Stevan, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa di hadapan Hakim Hasbi Hasan. Mereka didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Lans Koperal G. Vimal Raj dengan menggunakan kayu di tempat letak kereta Hulu Yam, Selayang dekat sini pada pukul 1 pagi, 11 November lalu. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh. Peguam Rajpal Singh yang mewakili Stevan pula memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya datang daripada keluarga yang tidak berkemampuan. Sementara peguam M. Manoharan yang mewakili Kasturi memohon agar mangsa tidak menganggu anak guamnya walaupun dia masih suami kepada tertuduh. Beliau turut mempersoalkan pertuduhan terhadap Kasturi yang didakwa mempunyai keraguan kerana mangsa adalah suami tertuduh dan berkhidmat sebagai anggota polis. ''Saya sendiri tidak boleh percaya isteri pukul suami, selalunya suami yang pukul isteri. Tambahan pula suaminya adalah anggota polis. ''Daripada keadaan fizikal tertuduh yang kecil, sukar untuk mempercayai anak guam saya memukul suaminya serta ada keraguan sebelum kes ini bermula,'' hujahnya. Rajpal dan Manoharan turut mendakwa anak guam masing-masing telah dipukul oleh anggota polis semasa dalam tahanan reman. Hasbi kemudian mengarahkan pihak pendakwaan membantu kedua-dua tertuduh sekiranya mereka ingin membuat laporan polis. Setiap tertuduh turut dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM7,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 28 Januari ini. Mengikut laporan Utusan Malaysia sebelum ini, Vimal Raj mendakwa dia dipukul oleh isterinya dan dua lelaki yang seorang daripadanya dipercayai kekasih isterinya. Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia dibawa keluar oleh Kasturi kononnya untuk mendapatkan rawatan sakit belakang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 9 November lalu. Kejadian itu hampir meragut nyawanya hingga terlantar koma selama sebulan di Hospital Ipoh, Perak. Vimal Raj yang bertugas di Balai Polis Rawang juga kini mengalami masalah hilang daya ingatan selain sukar bercakap akibat kecederaan yang dialaminya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan