Harian Metro: BeritaUtama |
Posted: 29 Dec 2010 10:24 AM PST CEKAP...penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan kubunya daripada ditembusi penyerang Indonesia, semalam. MALAYSIA mengesahkan status sebagai 'Raja Asia Tenggara' apabila dinobatkan juara baru Piala Suzuki AFF edisi kelapan apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam. Kejayaan ini membolehkan Malaysia mencipta sejarah meraih kejuaraan kali pertama Piala AFF Suzuki sepanjang 14 tahun kejohanan ini mula dilangsungkan serta menjadi pasukan keempat bergelar juara selepas Thailand, Singapura dan Vietnam. Skuad Harimau Malaya yang turun dengan bekalan tiga gol pada aksi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno nyata tidak gentar dengan sorakan kira-kira 95,000 penyokong Sang Garuda di dalam stadium. Mereka sebaliknya turun dengan penuh bersemangat dan bijak mengawal permainan bagi mengekalkan kelebihan tiga gol yang dimiliki hasil kemenangan di perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Ahad lalu.
Serangan bertali arus Indonesia itu akhirnya membuahkan hasil dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Australia, Peter Daniel Green selepas pemain pertahanan kanan, Mohd Sabre Mat Abu tersentuh bola di dalam kotak penalti. Malah penjaga gol dari Kelantan itu berjaya menggagalkan beberapa percubaan lawan di separuh masa kedua walaupun 'diserang dengan laser' oleh penyokong Indonesia ketika bersedia untuk menghadapi sepakan sudut dan percuma pada 10 minit pertama. Malaysia, turun dengan jersi biru dan berseluar hitam bagaimanapun berjaya bertahan sepanjang 45 minit pertama walaupun hampir keseluruhan permainan dikuasai lawan yang tidak mengenal erti putus asa menyerang Malaysia dengan sekurang-kurang 10 percubaan berbahaya dilancarkan ke kubu negara. Ia bagaimanapun dinafikan dengan kecekapan Khairul Fahmi serta persefahaman yang tinggi dikalangan pemain pertahanan yang diketuai oleh dua pemain muda, Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas. Bersambung babak kedua, anak-anak buah Alfred Riedl terus mengasak namun usaha mereka itu memakan diri apabila melalui satu serangan balas Malaysia menjaringkan gol melalui rembatan kencang Mohd Safee Sali pada minit ke-53 untuk gol kelimanya pada kejohanan ini untuk menceriakan kira-kira 500 penyokong Harimau Malaya yang hadir di Jakarta. Gol itu juga mengesahkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol meninggalkan ayam tambatan Indonesia Gonzales yang hanya mampu menjaringkan tiga gol. Semakin terdesak untuk menjaringkan gol, Indonesia melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan pemain berdarah kacukan Indonesia-Belanda, Irfan Haarys Bachdim dengan memasukkan bekas penyerang Selangor, Bambang Pamungkas dan Eka Ramdani yang menggantikan kapten pasukan, Firman Utina. Ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal bertindak balas dengan segera apabila mengeluarkan pemain tengah, Amar Rohidan untuk digantikan dengan pemain pertahanan, Mohd Razman Roslan. untuk menambahkan kesukaran Sang Garuda yang perlu mencari sekurang-kurangnya lima gol. Namun usaha tidak mengenal putus asa akhirnya membuahkan hasil apabila percubaan pemain pertahanan, Mohammad Nasuha pada minit ke-71 menewaskan Khairul Fahmi untuk menggamatkan stadium. dengan sorakan penyokong Sang Garuda serta letusan bom asap. Muhammad Ridwan menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-87 untuk keputusan 2-1 itu dan kekal sehingga wisel penamat ditiup bagi menobatkan Malaysia sebagai juara baru Piala AFF Suzuki 2010. |
Posted: 29 Dec 2010 09:38 AM PST JOHOR BAHRU: Seorang bapa tergamak menyalahgunakan bantuan persekolahan RM100 untuk anaknya dengan berjudi dan membiarkan zuriatnya itu memakai seragam sekolah lusuh pada sesi persekolahan 2011 yang bakal bermula beberapa hari lagi. Sikap tidak bermaruah bapa itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian yang membuat tinjauan ke tapak perjudian di bandar raya ini, baru-baru ini.
Beliau berkata, lelaki berusia 40-an terbabit leka berjudi di tapak perjudian itu di sebuah pesta ria di bandar raya ini dipercayai menggunakan wang bantuan persekolahan diterima untuk anaknya. Lebih mengejutkan, kata Aziz, dia difahamkan penyelewengan wang bantuan itu sudah menjadi kebiasaan lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh kasar setiap kali ada pihak termasuk syarikat korporat mahupun swasta menghulurkan bantuan kepada anak atau ahli keluarganya.
Aziz berkata, menyedari kehadirannya, bapa kanak-kanak yang bersekolah rendah itu cuba melarikan diri dari tempat perjudian itu, namun dia ditahan dan dinasihatkan tidak mengulangi perbuatan terbabit. Menurutnya, kejadian itu perlu menjadi pengajaran kepada lelaki terbabit supaya bersyukur dengan bantuan disumbangkan dan menggunakan wang amanah masyarakat untuk tujuan sepatutnya. "Sering kali saya menerima aduan masyarakat yang mendakwa masih ada murid atau pelajar tidak mampu membeli keperluan persekolahan biarpun bantuan sudah dihulurkan kepada ibu bapa mereka. "Saya menasihatkan ibu bapa lebih berdisiplin dan amanah menggunakan bantuan itu untuk menampung perbelanjaan pembelian keperluan persekolahan anak, bukan untuk tujuan lain," katanya ketika menyampaikan bantuan makanan nutrisi, beg dan pakaian sekolah bernilai RM180,000 kepada 161 murid sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah di Dewan Raya, Taman Universiti, di sini, semalam. Program itu anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima kerjasama Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Hadir sama Pegawai JKM Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar. Beliau berkata, sumbangan itu disampaikan di lima lokasi berbeza termasuk Kempas, Kampung Melayu Majidee, Taman Pelangi Indah dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Johor Jaya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: BeritaUtama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan