Selasa, 28 Disember 2010

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Ketua baru tiga negeri

Posted: 27 Dec 2010 10:50 AM PST

MukaDepan

UMNO umum senarai rombakan pengerusi, timbalan

KUALA LUMPUR: Tiga Badan Perhubungan UMNO negeri akan diterajui pengerusi baru daripada kalangan pemimpin tempatan, berkuat kuasa 1 Januari ini, manakala Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak serta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing kekal mengetuai UMNO Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Seperti dijangka, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik Pengerusi UMNO Kedah, menggantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, manakala Datuk Zainal Abidin Osman memimpin Pulau Pinang menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pula menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di Terengganu. Datuk Mukhriz Mahathir yang tewas dalam perebutan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan lalu dilantik Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, manakala Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir di Pulau Pinang dan Exco Kerajaan Negeri, Yahya Khatib Mohamad di Terengganu,

Kepemimpinan tertinggi sembilan Badan Perhubungan UMNO negeri lain kekal, sementara di Perlis menyaksikan jawatan timbalan pengerusi diberikan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim, menggantikan Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketika mengumumkan pelantikan itu semalam, berkata pemilihan kepemimpinan membabitkan 13 negeri itu dipersetujui Najib dengan matlamat utama untuk memperkasakan parti menghadapi cabaran mendatang.

Katanya, presiden boleh membuat perubahan kepemimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri pada bila-bila masa dan berikutan itu terpulang kepada Najib sama ada mengekalkan pelantikan terbaru itu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Beliau berkata, pelantikan Ahmad Bashah, Zainal Abidin serta Ahmad yang menyandang jawatan Timbalan Pengerusi sebelum ini, bertujuan membolehkan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO terbabit memberi tumpuan kepada tugasan masing-masing dalam parti yang diberikan Najib.

"(Datuk Seri) Ahmad Zahid ada peranan lebih besar, iaitu menjadi Pengerusi Biro Latihan dan ada program latihan yang akan dilaksanakan mulai tahun depan. Kita berkeyakinan Zainal Abidin dan Musa dapat memberi tumpuan lebih kerap di Pulau Pinang kerana apa yang dimaklumkan akar umbi adalah mereka hendakkan pemimpin negeri memimpin UMNO negeri berkenaan.

"Begitu juga (Datuk Seri) Mohd Shafie sebagai Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pengundi, manakala (Datuk Seri) Hishammuddin, Pengerusi Tatatertib dan Biro Perlembagaan.

"Kita sedang lakukan banyak perubahan dan penambahbaikan. Justeru, kita minta supaya naib presiden menumpukan kepada tugasan yang sudah diberikan kepada mereka oleh Presiden parti," katanya.

Mengenai kedudukan Najib serta Muhyiddin, beliau berkata, kepemimpinan dua pemimpin utama UMNO itu diperlukan untuk membuat perancangan memastikan penguasaan kedua-dua negeri terbabit kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Ditanya mengenai pelantikan Mukhriz yang dianggap masih terlalu muda, Tengku Adnan katanya, UMNO ada perhitungan di Kedah serta yakin beliau sebagai muka baru dan anak muda yang memiliki pengaruh tertentu, boleh memberi impak dengan menarik ramai, khususnya pengundi muda di Kedah kembali menyokong BN.

Sambil menafikan wujud masalah dalam Badan Perhubungan UMNO Terengganu sebelum ini yang disifatkannya sekadar desas-desus, beliau berkata, UMNO yakin keseluruhan pelantikan kali ini akan menyaksikan semua pihak bekerjasama serta percaya mereka memikul amanah Presiden, sekali gus memberi kesan baik pada PRU Ke-13.

"Surat pelantikan akan menyusul dan mereka akan diminta memberi laporan kepada presiden. Setiap Badan Perhubungan UMNO negeri juga diarah mengadakan mesyuarat sekurang-kurang dua bulan sekali.

"Saya juga diminta menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk pelantikan setiausaha, ketua penerangan serta bendahari negeri masing-masing bagi membolehkan mereka berbincang dengan ibu pejabat supaya kita dapat memberikan pandangan, terutama negeri tertentu yang kita mahukan perubahan.

"Kita akan memberi input kepada mereka supaya orang yang dilantik adalah berwibawa, boleh bekerja demi parti dan untuk menghadapi cabaran mendatang," katanya sambil menjelaskan Setiausaha Agung boleh diamanahkan membuat pengumuman pelantikan itu kerana Najib sedang bercuti.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan