Ahad, 26 Disember 2010

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


191,262 ingkar bayar pinjaman PTPTN

Posted:

191,262 ingkar bayar pinjaman PTPTN

191,262 ingkar bayar pinjaman PTPTN

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUALA KRAU 25 Dis. - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya menerima bayaran balik pinjaman RM2.1 bilion berbanding RM5 bilion yang sepatutnya diterima sehingga bulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, RM2.9 bilion lagi gagal dikutip daripada 191,262 peminjam yang telah tamat pengajian.

"Pembayaran secara sukarela oleh peminjam tidak berkesan apabila 191,262 daripada keseluruhan peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penganugerahan pakaian dan beg sekolah, meraikan pelajar cemerlang dan miskin peringkat Parlimen Kuala Krau di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar dan ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau kesal dengan tindakan segelintir peminjam terbabit yang liat untuk membayar balik pinjaman.

Sehubungan itu, tegasnya, mulai Jun tahun depan, semua peminjam PTPTN akan diwajibkan membayar balik pinjaman secara potongan gaji bagi menangani masalah hutang tertunggak.

"PTPTN akan membentangkan cadangan meminda Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya.

Ismail memberitahu, PTPTN telah membelanjakan RM37 bilion untuk memberi pinjaman kepada 1.7 juta pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) sejak 13 tahun lalu.

"Bagaimanapun daripada keseluruhan pelajar yang mendapat pinjaman itu hanya 77 peratus yang membayar balik selepas mereka menghabiskan pengajian di IPT," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Felda bayar bonus RM100.9 juta

Posted:

Felda bayar bonus RM100.9 juta

Felda bayar bonus RM100.9 juta

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak diiringi Rosmah Mansor bersama Murphy Packiam (kiri) beramah mesra bersama anggota Kelab Kebudayaan UCS etnik Afrika semasa majlis minum petang sambutan Hari Krismas di Bukit Nanas, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Dis. – Felda akan membayar Bonus Insentif Produktiviti berjumlah RM100,916,600 kepada para peneroka di tanah rancangan di seluruh negara mulai Januari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bonus itu sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara selain insentif kerana menghantar hasil melalui Felda.

Katanya, 94,281 peneroka yang menghantar hasil ke Felda dari Januari hingga Oktober tahun ini akan menerima bayaran RM400 (minimum) dan RM1,200 (maksimum) bergantung kepada jumlah penghantaran hasil.

"Kerajaan berharap pemberian bonus ini menjadi perangsang kepada peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing pada masa hadapan.

"Pada masa sama, saya juga ingin mengajak semua peneroka menyertai program bersama Felda selaras usaha berterusan agensi ini untuk meningkat pendapatan peneroka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas jumlah penerima bonus, Najib berkata, ia melibatkan 83.7 peratus daripada keseluruhan 112,635 peneroka manakala baki 18,354 peneroka tidak layak menerimanya kerana tidak menghantar hasil kepada Felda.

Selain itu, jelas Perdana Menteri, peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil kepada Felda serta hasil kurang daripada jumlah minimum ditetapkan, juga tidak layak menerima bonus itu.

Najib memberitahu, bagi peneroka sawit, kelayakan minimum menerima bonus ialah 8.01 tan per hektar manakala ganjaran maksimum membabitkan hasil lebih 17 tan per hektar dan ke atas.

Bagi peneroka getah, beliau berkata, kelayakan minimum ialah 600.01 kilogram per hektar dan ganjaran maksimum akan diberi kepada peneroka yang menghantar hasil melebihi 1,400 kilogram per hektar.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menjelaskan, Felda memberi pertimbangkan khas dalam bentuk wang tunai RM400 kepada 2,000 peneroka yang prestasi hasilnya tidak memuaskan atas beberapa faktor munasabah.

"Mereka yang diberi pertimbangan khas ini ialah peneroka yang sedang menunggu proses tanaman semula, kawasan kebun diambil untuk tujuan pembangunan serta tanaman rosak akibat penyakit ganoderma dan serangan kulat," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan