Utusan Online - Timur |
Posted: Kebakaran di loji PetronasKEMAMAN 25 Dis. – Satu kebakaran kecil berlaku di dalam kawasan loji penapisan minyak Petronas Penapisan Terengganu Sdn. Bhd. (PPTSB) di Kawasan Perindustrian Kerteh dekat sini malam tadi. Bagaimanapun, kebakaran kira-kira pukul 11.50 malam itu dapat dikawal daripada merebak dan berjaya dipadamkan bomba dalam tempoh 30 minit. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan daripada pengurusan loji, bergegas ke tempat kejadian dengan empat jentera bersama 30 anggota. "Anggota bomba dan penyelamat dari Bandar Kerteh, Paka dan Kompleks Petronas Kerteh telah dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain. "Kami terpaksa menunggu dan menjalankan pemeriksaan rapi sehingga pukul 3 pagi untuk memastikan api padam sepenuhnya," katanya. Menurutnya, 30 pekerja yang menganggotai pasukan tindakan kecemasan (ERT) turut membantu operasi memadamkan kebakaran itu. Khairulhasni berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada sebatang paip minyak yang mengalami kebocoran namun pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci. Sementara itu, seorang pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu dan hanya ingin dikenali sebagai Azmi berkata, dia ternampak api menjulang tinggi. "Setelah kereta saya menghampiri kawasan loji penapisan berkenaan, saya terkejut mendapati puluhan anggota bomba sedang berusaha bertungkus lumus memadamkan api yang marak," katanya. Sementara itu, operasi Kompleks Petrokimia Bersepadu Petronas di Kerteh dihentikan buat sementara waktu berikutan kejadian kebakaran tersebut. Petronas Chemicals Group Berhad dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, kebakaran itu berlaku di Unit Hydrotreater Naptha. "Sebagai langkah keselamatan, operasi di kompleks terbabit dihentikan. Bagaimanapun kawasan berhampiran kilang aromatik dalam kompleks itu tidak terjejas," jelas kenyataan itu lagi. |
Polis siasat kes bekas anggota keselamatan Pas diserang Posted: Polis siasat kes bekas anggota keselamatan Pas diserangKOTA BHARU 25 Dis. - Polis masih menyiasat motif bekas anggota bahagian keselamatan Pas Pasir Puteh, Saidi Husin yang diserang sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh dekat sini malam semalam. Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal mengesahkan menerima laporan daripada Saidi berhubung kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan. "Pihak polis masih menyiasat motif serangan ini dan belum ada pihak yang dipanggil setakat ini. "Dalam laporan polis yang dibuatnya itu, dia tidak menyebut ia bermotifkan politik," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini. Mohd. Kamal diminta mengulas kes serangan terhadap Saidi di rumahnya di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh dekat sini kelmarin. Saidi mendakwa, dalam kejadian itu dia tidak mengalami kecederaan namun bajunya terkoyak akibat dilibas tiga lelaki kira-kira pukul 11.30 malam. Saidi yang keluar daripada Pas Oktober lalu mendakwa, keretanya juga dilanggar oleh sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza ketika dia dalam perjalanan ke rumah rakannya di Jalan Dalam Rhu, Pasir Puteh Selasa lalu. Kenderaan tersebut dikatakan telah mengekorinya sebelum secara tiba-tiba melanggar keretanya ketika dia membuat pusingan U. Sebelum ini, Saidi dalam beberapa siri ceramahnya di sekitar Pasir Puteh telah mendedahkan mengenai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang ditangkap khalwat dalam koc VIP kereta api beberapa tahun lalu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan