Utusan Online - Utara |
- PPK minta naikkan harga padi
- Pasar borong baru di Jejawi Sematang
- Anggota Rela menyamar polis dicekup
Posted: PPK minta naikkan harga padiOleh A. MALIK ASLIE
PARIT BUNTAR 8 Mac - Kerajaan digesa menaikkan harga padi kepada RM1,000 setan metrik berbanding RM750 bagi membolehkan petani mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini. Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Piandang, Abdul Latiff Mat Ali berkata, saranan tersebut wajar diberikan perhatian kerana kadar yang dinikmati hari ini tidak pernah dinaikkan sejak beberapa tahun lalu. "Kalau nelayan atau peneroka Felda, kerajaan ada memberikan bantuan sara hidup secara bulanan tetapi kami penanam padi tidak mendapat apa-apa bantuan sara hidup. "Sedangkan kerja kami ini dari segi pendapatannya hanya dua kali setahun. Itu belum ditolak masalah hasil padi tidak memuaskan, serangan serangga perosak dan bencana alam," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah skim galakan dan cabutan bertuah anjuran PPK Tanjung Piandang di sini semalam. Bagi kategori pemasaran, tempat pertama dimenangi Shaharudin Kasim dari Sungai Betul Atas; Hanafi Othman dari unit Sungai Baru di tempat kedua dan Mat Said Abdul Rahman dari unit Sungai Labu Atas di tempat ketiga. Pemenang tempat pertama memenangi hadiah wang tunai RM500, kedua RM300 dan ketiga RM150. Bagi kategori pemasaran padi musim kedua dimenangi Mohd. Saad Abu Bakar, Ishak Yusuf (kedua) dan Roslee Aziz ketiga. Bagi kategori unit jualan terbanyak dimenangi unit Sungai Betul Atas; Jalan Pantai, kedua dan Sungai Labu Atas ditempat ketiga. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Penolong Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Wilayah Utara, Meor Razali Yusof. Abdul Latif berkata, sebanyak 3,000 keluarga pesawah bernaung di bawah PPK Tanjong Piandang dan 60 peratus daripada jumlah itu mengerjakan tanah sewa manakala baki tanah sendiri. Katanya, pendapatan pada musim kedua tahun lalu sangat sedikit sehinggakan petani sukar untuk menghasilkan tiga tan metrik padi bagi 0.4 hektar sawah. "Ada petani yang hanya mendapat setengah tan sahaja. Ini berpunca daripada musim hujan, serangan bena perang, tikus dan padi angin sehingga menyukarkan jentuai padi masuk ke petak sawah," katanya. Sementara itu, Meor Razali berkata, petani digesa memanfaatkan teknologi moden bagi meningkatkan hasil padi setiap tahun. "Kerajaan melalui Jabatan Pertanian akan terus memberikan bantuan dan petani perlu bijak menggunakan segala bantuan tersebut bagi menghasilkan padi yang bermutu dan mencapai jumlah disasarkan," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Pasar borong baru di Jejawi Sematang Posted: Pasar borong baru di Jejawi SematangKANGAR 8 Mac - Semua pemborong di Pasar Borong Kangar di sini akan dipindahkan ke sebuah pasar borong baru bernilai RM5 juta yang akan dibina di Jejawi Sematang, kira-kira empat kilometer dari bandar ini. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, pasar seluas 11.6 hektar itu kini dalam proses pengambilan tanah yang dianggarkan bernilai RM1 juta. Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan pasar baru itu akan bermula tidak lama lagi dan dijangka siap dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). "Pembinaan pasar baru bertujuan menggantikan pasar sekarang yang lokasinya tidak lagi sesuai di samping adanya permintaan daripada para pemborong sendiri yang mahu lokasi yang lebih strategik," katanya. Md. Isa berkata demikian kepada para pemberita selepas lawatan lebih sejam ke pasar berkenaan bermula pukul 7.30 pagi dengan diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rosley Mat di sini hari ini. Baru-baru ini, MPK pernah berura-ura untuk memindahkan kesemua 25 pemborong di pasar berkenaan ke Pasar Besar Kangar yang terletak kira-kira 500 meter dari pasar borong tersebut. Difahamkan kesemua pemborong itu akan dipindahkan secara berperingkat-peringkat manakala tapak pasar yang telah berusia 21 tahun itu akan dijadikan Arked Niaga. Namun, Md. Isa hari ini memberitahu, para pemborong di pasar berkenaan akan kekal menjalankan urus niaga seperti biasa di pasar itu sehingga pasar baru siap sepenuhnya. "Persetujuan telah kita peroleh daripada ahli-ahli Persatuan Pemborong-Pemborong Perpaduan Perlis yang berurus niaga di pasar berkenaan yang juga bersetuju sebuah pasar baru dibina di pinggir bandar bagi mengelak kesesakan," katanya. Dalam pada itu, Md. Isa turut menegur sikap para pemborong dan pelanggan di pasar berkenaan yang tidak prihatin terhadap tahap kebersihan di pasar itu. Beliau mengarahkan, semua pihak meningkatkan kualiti kebersihan terutama pembuangan sampah dan longkang-longkang yang tersumbat. "Saya berharap sikap ini dipupuk dan dikekalkan sepanjang masa sehingga mereka berpindah ke pasar baru," katanya. Sementara itu, Rosley menegaskan, MPK akan mengambil tindakan serta-merta terhadap masalah kebersihan di pasar berkenaan dengan memastikan para pemborong mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Selain itu, beliau berkata, MPK akan turut menurap semula kawasan dan jalan yang terdapat dalam pasar itu untuk keselesaan para pelanggan pasar tersebut. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Anggota Rela menyamar polis dicekup Posted: Anggota Rela menyamar polis dicekupKEPALA BATAS 8 Mac - Kegiatan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang menyamar sebagai polis untuk menjalankan kegiatan jenayah ugut sejak beberapa bulan lalu akhirnya terbongkar apabila dia ditahan polis di hadapan sebuah pusat hiburan di Butterworth, kelmarin. Suspek berusia 44 tahun itu dipercayai menyalahgunakan sepasang gari dan pistol palsu selain memakai jaket tertera lambang polis dengan menjadikan pengunjung pusat hiburan sekitar bandar ini sebagai mangsa. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, suspek ditahan sepasukan anggota dari Unit Cegah Jenayah di hadapan sebuah pub di Jalan Bagan Luar kira-kira pukul 1 pagi. Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas badan suspek, polis menemui sepucuk pistol mainan di pinggangnya serta sepasang gari. "Polis turut memeriksa kereta jenis Perodua MyVi milik suspek dan menemui sehelai jaket tertera lambang polis, tiga telefon bimbit, kad Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta wang tunai berjumlah RM1,735. "Kita percaya wang tersebut adalah hasil kegiatan peras ugut ke atas mangsa yang terdiri daripada pengunjung pusat-pusat hiburan," katanya di sini hari ini. Zulkifli memberitahu, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai bergerak secara bersendirian dan bertindak menahan pengunjung pusat-pusat hiburan dengan alasan kononnya mereka telah melakukan kesalahan jenayah. "Suspek kemudiannya akan menyelak bajunya untuk menunjukkan pistol mainan itu dan gari yang diselitkan dipinggangnya dalam usaha menakut-nakutkan mangsa. "Mangsa pula diberi pilihan untuk dibebaskan dengan syarat menyediakan sejumlah wang dan diugut supaya tidak memberitahu mengenai kejadian itu kepada sesiapa," tambahnya. Beliau berkata, suspek kini direman selama dua minggu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376, Seksyen 170 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan. Sehubungan itu, beliau menyeru kepada mangsa yang pernah ditipu oleh suspek supaya tampil membuat laporan di mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan. Zulkifli juga menasihatkan orang ramai supaya meminta ditunjukkan kad kuasa apabila ditahan oleh individu atau kumpulan berpakaian preman yang mengaku polis bagi mengelak ditipu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan