Sabtu, 5 Mac 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Arowana ikan hiasan bernilai tinggi

Posted:

Arowana ikan hiasan bernilai tinggi

Arowana ikan hiasan bernilai tinggi

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my


CHEW Seng Lye melihat ikan kelisa yang dipelihara dalam akuarium di Jalan Burmah, Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini. - utusan/ Sazali Che Din


BUKIT MERTAJAM 4 Mac - Selain bentuk yang menarik, warna dan sisik yang berkilat menjadikan ikan arowana sebagai salah satu spesies ikan hiasan yang mempunyai harga tinggi di pasaran.

Ikan hiasan air tawar yang lebih dikenali sebagai ikan kelisa itu juga mendapat tempat di kalangan penggemar ikan hiasan akuarium.

Di kalangan orang Cina, ikan itu dipanggil 'dragon fish' atau 'bony-tongued dragon' yang gelaran 'dragon' (naga) diambil sempena sisik dan sesungut yang besar menyerupai naga yang menjadi legenda masyarakat Cina.

Tulang bergigi di dasar mulut ikan kelisa yang menggigit kepada gigi di lelangit mulutnya pula membawa kepada panggilan 'bony-tongued' yang bermaksud lidah bertulang.

Sementara itu di negara jiran Indonesia pula, ikan kelisa lebih dikenali dengan panggilan ikan peyang, tangkelesa, kelesa, siluk, kayangan serta beberapa nama lain.

Melihat kepada kepelbagaian namanya, tidak mustahil ikan kelisa memiliki keistimewaan tersendiri sehingga diangkat sebagai ikan hiasan yang berkualiti tinggi.

Namun, benarkah harga ikan kelisa yang tinggi dan kadang-kala tidak masuk akal itu dipengaruhi oleh kebolehannya menentukan 'tuah' pemiliknya?

Persoalan itu dijawab pemilik Chew Thean Yeang Aquarium Sdn. Bhd., Datuk Chew Seng Lye yang mengakui ikan kelisa sebenarnya memang berkebolehan untuk memberi petunjuk kepada pemiliknya sama ada individu berkenaan bakal mendapat kegembiraan atau kecelakaan.

Menurutnya, pernah berlaku satu kejadian di mana ikan kelisa peliharaan seorang individu sering melompat dalam air dan tidak berkelakuan seperti biasa sehingga menimbulkan kehairanan pemiliknya.

"Selang beberapa hari, individu terbabit ditimpa kemalangan dan ini membuktikan bahawa ikan kelisa terbabit seolah-olah mengetahui nasib yang bakal menimpa tuannya.

"Tapi kepercayaan ini hanya wujud di kalangan masyarakat Cina yang berpegang kepada feng shui," katanya yang berpengalaman lebih 40 tahun mengusahakan perniagaan itu dan memiliki perniagaan di Jalan Burmah dekat Georgetown.

Tambah Seng Lye, masyarakat Cina juga percaya jika disimpan di dalam rumah atau dipelihara di dalam premis perniagaan, ikan kelisa mampu memberi tuah kepada pemiliknya.

Jelasnya, mereka akan membela sekurang-kurangnya dua ekor ikan kelisa di pejabat manakala memadai seekor ikan dipelihara di rumah.

"Tapi bagi memastikan ikan itu benar-benar mampu membawa tuah kepada pemiliknya, lokasi bagi menempatkan akuarium haruslah diperiksa tukang tilik berpengalaman.

"Kalau diletak di tempat yang salah, ia mungkin akan membawa kecelakaan manakala pemiliknya akan mendapat tuah kalau diletakkan di tempat yang betul," ujarnya.

Pada masa sama katanya, pemilik ikan kelisa juga harus menjaga pantang larang seperti tidak boleh menyatakan hasrat untuk menjual ikan tersebut berhampiran dengan ikan kelisa yang dipelihara.

"Ikan tersebut dikatakan akan mati sama ada bunuh diri atau marah dengan tindakan pemiliknya yang berhasrat untuk menjualnya," katanya.

Ditanya tentang penjagaan ikan itu yang sensitif, Seng Lye berkata, ia tidak memerlukan penjagaan rapi, hanya sekadar pastikan makanannya mencukupi.

Jelasnya, penjagaan serta perbelanjaan memelihara ikan kelisa bergantung kepada saiz ikan kerana yang bersaiz besar memerlukan makanan seperti ulat dan anak ikan dalam kuantiti banyak.

"Biasanya ikan kelisa makan antara dua hingga tiga kali sehari dan sebungkus anak ikan bernilai RM1 yang mempunyai 15 ekor sudah cukup untuk dijadikan makanan ikan berkenaan bagi tempoh sehari.

"Selain makanan itu, ulat, katak dan lipan yang boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai menjual ikan perhiasan pada harga yang murah juga boleh menjadi makanan ikan kelisa," ujarnya.

Justeru katanya, tanggapan sesetengah orang yang mengatakan kos memelihara ikan kelisa adalah mahal adalah meleset kerana ia menjanjikan pulangan berbaloi kerana ia sesuatu yang menyeronokkan dan memberi satu kepuasan kepada pemiliknya.

Tatkala diaju pertanyaan sama ada ikan kelisa sedap dimakan, Seng Lye mengakui dagingnya amat sedap jika digulai namun tidak digoreng kerana rasanya seakan-akan ikan siakap.

"Pada 1980-an memang ramai yang makan ikan kelisa kerana ia senang diperoleh di tasik dan lombong selain harganya yang rendah ketika itu.

"Tapi sekarang mana ada orang yang sanggup makan ikan yang harganya mencecah ribuan ringgit seekor," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

1,000 penduduk meriahkan Maulidur Rasul

Posted:

1,000 penduduk meriahkan Maulidur Rasul

1,000 penduduk meriahkan Maulidur Rasul


PEGAWAI dan anggota polis Baling bersama penduduk menyertai perarakan sempena Majlis Maulidur Rasul di Baling, baru-baru ini.


BALING 4 Mac. - Kira-kira 1,000 penduduk daerah ini menyertai perarakan sejauh dua kilometer sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Baling di sini baru-baru ini.

Mereka merupakan peserta 50 kontinjen perarakan yang mewakili jabatan kerajaan daerah ini, badan politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.

Sambil berselawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan membawa sepanduk jabatan masing-masing, mereka berarak dari pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Baling hingga Dewan Tun Abdul Razak di sini.

Majlis yang pertama kali diadakan itu adalah anjuran Pejabat Majlis Daerah Baling (MDB) dalam usaha menjadikannya sebagai acara tahunan bagi penduduk daerah ini.

Yang Dipertua MDB, Ahmad Fisol Md. Noor berkata, walaupun pertama kali diadakan sambutan amat menggalakkan dengan jumlah penyertaan yang besar dan ia sekali gus membuktikan silaturahim tetap kukuh di kalangan umat Islam.

"Sambutan ini akan menjadi acara tahunan yang terkandung dalam kalendar jabatan bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Kita berharap sambutan akan datang diadakan lebih besar lagi dan turut disertai oleh penduduk kampung," katanya pada majlis sambutan itu di Dewan Tun Razak di sini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan dan ketua-ketua jabatan.

Ahmad Fisol yang juga Pegawai Daerah Baling berkata, hubungan baik antara jabatan akan merancakkan lagi pembangunan kemanusiaan malah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kakitangan kerajaan akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Tambahnya, dengan cara itu keutuhan dan keharmonian terus terjalin dalam menghadapi misi yang sama ke arah meninggikan syiar Islam sesuai dengan tema sambutan tahun ini Satu Malaysia Satu Ummah.

Sementara itu, Maybank Cawangan Baling turut menyediakan 1,000 botol air mineral bagi menyokong usaha yang dijalankan itu.

Pengurusnya, Azzahari Salleh berkata, sebagai sebuah institusi kewangan pihaknya turut bertanggungjawab bersama-sama menjadikan sambutan itu terus meriah malah akan disertai lebih ramai penduduk pada masa depan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

MDKP buru peniaga liat bayar

Posted:

MDKP buru peniaga liat bayar

MDKP buru peniaga liat bayar

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

KUBANG PASU 4 Mac – Mulai 15 Mei ini, Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) akan memburu penyewa pelbagai ruang niaga di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang mempunyai tunggakan sewa.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa dan Tunggakan Hasil MDKP, Zakariya Ahmad berkata, tindakan tegas itu penting kerana jumlah tunggakan tersebut kini semakin meningkat sehingga kini ia melebihi RM500,000.

Menurutnya, mulai tarikh itu juga, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penyewa yang tidak menjelaskan sewa melebihi dua bulan.

Katanya, sebelum tarikh berkenaan, MDKP masih bertolak ansur dengan memberikan tempoh bertenang dan peluang kepada mereka untuk menjelaskan tunggakan sewa masing-masing.

"Bagaimanapun mulai pertengahan Mei ini, kita akan melancarkan operasi besar-besaran sehingga hujung tahun bagi memburu penyewa yang masih berdegil termasuk dengan mengenakan tindakan sita premis dan menyenaraihitamkan nama mereka.

"MDKP terpaksa mengambil tindakan tegas ini demi menanam budaya bertanggungjawab di kalangan penyewa dan untuk melatih mereka menjelaskan bayaran sewa mengikut jadual," katanya di sini hari ini.

Zakariya berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis peringatan dan menemui peniaga tetapi masih ramai yang ingkar menjelaskan sewa tertunggak.

Menurutnya, pada masa ini dianggarkan terdapat lebih 1,000 individu yang menyewa premis di bawah kendalian PBT itu.

Katanya, kebanyakan penyewa terbabit adalah peniaga gerai makanan dan pengusaha bengkel industri kecil dan sederhana.

"Sehubungan ini MDKP menyeru penyewa menjelaskan bayaran tunggakan sewa masing-masing demi kebaikan semua pihak," katanya.

Sementara itu, Zakariya memberitahu, MDKP berjaya mengutip sewa tertunggak premis perniagaan berjumlah RM200,000 hasil operasi sita sejak Januari lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan