Utusan Online - Utara |
Posted: Pesta D'Bendang meriahOleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
KANGAR 2 Mac – Walaupun cuaca panas terik, namun angin timur bertiup menyamankan wajah ribuan rakyat Perlis daripada pelbagai lapisan untuk terus menyaksikan tradisi kehidupan masyarakat pesawah dihidupkan kembali di Kampung Banir Tembus, Mukim Sanglang di sini. Apa tidaknya, inilah masanya orang ramai khususnya generasi muda dapat melihat dengan lebih dekat kehidupan pesawah terutama kerja-kerja dijalankan pada suatu ketika dahulu. Antaranya, seperti aktiviti menumbuk padi, menumbuk emping, membuat seruling daripada batang padi, menganyam tikar mengkuang dan membuat wau. Di mana lagi hendak melihat aktiviti tradisi seumpama itu jika tidak di Pesta Angin Timur Perlis D'Bendang 2011 yang berlangsung selama dua hari di Kampung Banir Tembus hujung minggu lalu. Lebih menarik, sempena dengan pesta tersebut acara menumbuk sambal beramai-ramai melibatkan 1,000 rakyat Perlis dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Sijil pengiktirafannya diberikan wakil MBOR, Leona Paul kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu yang turut disaksikan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum. Pesta tersebut anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mendapat sambutan memberangsangkan. Selain aktiviti tersebut, pertandingan tarik tali, menggagau ikan, Mr. Badang Perlis 2011, pertandingan wau dan 'toi' diadakan. Pesta itu dimeriahkan lagi dengan demonstrasi memasak gulai rebung bersama tulang, membuat kuih karas dan sagun. Ternyata pesta sempena kedatangan angin timur itu mengimbau kembali aktiviti masyarakat di bendang menjalankan aktiviti seharian sama ada yang mendatangkan sumber pendapatan atau sekadar memenuhi waktu lapang.
Sebagai contoh, selain hasil padi, pesawah pada masa dahulu atau keluarga mereka menambah pendapatan dengan menjual tikar mengkuang yang dianyam sendiri atau menjual emping dan sebagainya. Golongan tersebut juga mempunyai aktiviti riadah seperti bermain wau buatan sendiri pada waktu petang atau mengharung parit dan paya berhampiran untuk menggagau ikan yang bukan sahaja boleh dijual malah dijadikan hidangan makan malam. Tidak dinafikan sawah kaya dengan pelbagai produk selain padi, ikan-ikan air tawar dari parit atau paya juga boleh dijadikan pekasam yang kini bukan sahaja digemari penduduk kampung malah sudah dijual di bandar-bandar besar. Memang benar, jika tidak ada Pesta Angin Timur Perlis D'Bendang 2011, mungkin ramai yang tidak dapat melihat lesung kayu dan alu digunakan oleh isteri atau keluarga pesawah untuk menumbuk padi bagi dijadikan beras atau emping. Malah, ramai yang tidak mengetahui bahawa anak-anak pesawah juga kreatif apabila batang padi dibuat seruling sebagai memenuhi masa lapang yang mewarnai kehidupan pesawah di negeri Perlis. Jadi, tidak hairanlah Md. Isa pada perasmian pesta berkenaan mahu pesta tersebut dijadikan acara tahunan sebagai produk pelancongan negeri Perlis yang boleh menjadi daya tarikan pengunjung ke negeri berkenaan. "Pesta ini menarik kerana acara seumpama ini tidak ada di tempat lain seperti menumbuk emping atau menumbuk padi yang dibuat secara tradisional. "Kita mahu masyarakat mengetahui lebih banyak mengenai sawah padi menerusi Pesta Angin Timur Perlis D'Bendang," tambah beliau. Selain itu, pesta tersebut menampilkan persembahan wayang kulit, deklamasi sajak dan nyanyian artis-artis tanah air termasuk Raja Pop, Jamal Abdillah. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Pas Kedah tidak berganjakOleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH ALOR SETAR 2 Mac – Walaupun terdapat banyak rungutan daripada rakyat negeri ini, namun kerajaan Pas Kedah tetap tidak berganjak dengan keputusannya untuk menamatkan peranan Pejabat Pos sebagai ejen kutipan bayaran bil Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd., (Sada) mulai semalam. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) memberi alasan, keputusan itu diambil untuk bersikap adil kepada pengguna supaya tidak dibebani dengan kos bayaran komisen yang dikenakan oleh Pejabat Pos kepada syarikat air berkenaan. Menurut beliau, kadar komisen bagi negeri ini dinaikkan sebanyak 90 sen bermula bulan ini berbanding kadar lama sebanyak 70 sen untuk satu bil. Jelas beliau, jika pihaknya bersetuju dengan kenaikan berkenaan, ia dibimbangi terpaksa dikongsi dengan pengguna. Malah, kata beliau, kerajaan negeri sukar untuk memahami kadar komisen yang dikenakan oleh Pos Malaysia kerana ia berbeza-beza mengikut negeri. "Sebenarnya Pos Malaysia ini cajnya berbeza-beza. Kedah (sebelum ini) sebanyak 70 sen, tempat lain 50 sen, jadi kita pun tidak faham. "Jadi bila berurusan dengan orang tak faham ini, tak usah berurusan teruslah, senang. Kita pergi ikut lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini. Menteri Besar ditanya mengenai keputusan kerajaan Pas Kedah menamatkan perkhidmatan pembayaran bil air di Pejabat Pos di seluruh negeri mulai semalam. Ekoran itu, orang ramai merungut dengan keputusan tersebut manakala Pemuda Gerakan negeri yang kesal dengan perkara itu meminta kerajaan negeri supaya mengkajinya semula demi keselesaan penduduk yang masih ingin menggunakan perkhidmatan di Pejabat Pos. Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, tindakan berkenaan akan menyusahkan lebih 100,000 rakyat negeri ini yang menggunakan perkhidmatan pembayaran bil air di Pejabat Pos, terutama mereka yang tinggal di luar bandar. Azizan menambah, berikutan keputusan berkenaan, pihaknya akan memantapkan lagi kerjasama dengan agensi lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) untuk memudahkan pengguna membuat pembayaran bil air mereka di situ. Menurutnya, agensi-agensi terbabit tidak mengenakan caj yang tinggi dan mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak. Kata beliau, Sada juga membuka kaunter-kaunter di bandar-bandar utama selain merancang untuk menyediakan kaunter bergerak bagi tujuan berkenaan. Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pencerobohan hutan di Langkawi, Azizan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pihak terlibat dan tindakan bakal diambil ke atas mereka jika didapati melanggar peraturan. Beliau berkata, pencerobohan hutan di Langkawi bertujuan mengambil tanah berbanding di daratan tanah besar untuk mencuri balak. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: MBI nafi naik cukai taksiran
IPOH 2 Mac - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan cukai tafsiran bagi tanah dan bangunan di bandar raya itu telah dinaikkan. Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, kadar cukai taksiran masih menggunakan kadar yang sama sejak tahun 1982. Justeru itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan dakwaan tersebut dan boleh membayar cukai taksiran mereka pada kadar biasa. "Kita masih menggunakan kadar cukai lama. Mungkin ada pihak terkeliru dengan kadar cukai bagi tanah kosong dan tanah yang telah didirikan bangunan. "Bagi tanah kosong kadar cukainya adalah lebih rendah berbanding tanah kosong yang telah didirikan bangunan. '' Jika sebelumnya mereka membayar RM100 tetapi setelah didirikan bangunan kadarnya mungkin naik sehingga RM200," ujar beliau. Beliau menjelaskan demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk Kampung Baru Simpang Pulai dekat sini. Dalam perkembangan lain Roshidi memberitahu, sehingga kini MBI telah menyiapkan kerja-kerja membaik pulih longkang di sekitar Simpang Pulai bagi mengelak berlakunya banjir kilat. Ujarnya, kerja-kerja membaik pulih yang baru disiapkan itu membabitkan kos perbelanjaan sehingga RM900,000. "Kita juga sedang melaksanakan projek taman kanak-kanak di daerah ini yang merupakan salah satu program di bawah keceriaan bandar yang membabitkan peruntukan sebanyak RM50,000. "Saya percaya dalam masa beberapa tahun lagi landskap Simpang Pulai akan berubah dengan terbinanya beberapa pusat perniagaan baru yang bakal siap sepenuhnya dalam masa terdekat," tambah beliau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan