Khamis, 17 Mac 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Berkongsi ilmu fotografi

Posted:

Berkongsi ilmu fotografi

Berkongsi ilmu fotografi

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


ANTARA gambar berkonsepkan human interest yang dihasilkan oleh seorang peserta program di Kuala Abang, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 16 Mac – Kita ada mendengar ungkapan yang mengatakan 'sekeping gambar boleh membawa seribu satu cerita.'

Ungkapan itu menggambarkan bahawa sekeping gambar sudah cukup bagi menyampaikan mesej dan impak berbanding penggunaan kata berjela-jela, yang ada ketikanya hilang arah.

Pada sudut lain pula, penggunaan gambar akan menguatkan lagi impak atau emosi sesuatu cerita yang dihasilkan. Sebagai contoh, gambar-gambar bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.

Bagaimanapun, untuk menghasilkan sekeping gambar yang memberi impak besar, bukan mudah. Ia bukan sahaja bergantung kepada teknologi kamera yang digunakan, tetapi juga kemahiran dan seni fotografi yang dimiliki oleh seseorang jurugambar.

Menyedari perkara itu, Kelab Karyawan Lensa Negeri Kelantan (Klik) baru-baru ini telah menganjurkan program di beberapa lokasi menarik di Kuala Terengganu.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Kelab Facebook Amazing Malaysia dan disertai oleh ahli kelab termasuk jurugambar bebas.

Antara lokasi menarik yang diterjah adalah pantai Kuala Abang, Hutan Lipur Jambu Bongkok, Pantai Pandak dan Seberang Takir.

Program sehari bermula pukul 6.30 pagi sehingga 7.30 petang itu diadakan secara percuma.

Ia disertai kira-kira 130 peserta dari Klik, Kelab Facebook Amazing Malaysia, Group Luar Biasa dari Pahang dan seorang jurugambar bebas dari Melaka.

Timbalan Presiden Klik, Raja Nor Kamal Raja Hussin berkata, program itu diadakan sebagai proses pembelajaran berterusan, sekali gus menilai kemampuan serta pengetahuan peserta daripada segi teknikal kamera dan kemahiran masing-masing.

Katanya, program itu juga bertujuan memupuk minat peserta terhadap bidang fotografi selain mengeratkan silaturahim sesama mereka.

"Selain itu, program ini juga dapat memberi pendedahan kepada peserta mengenai kebudayaan rakyat negeri Terengganu dan memberi peluang kepada jurugambar yang lebih berpengalaman berkongsi ilmu serta kemahiran kepada peserta baru.

"Antara teknik yang diaplikasikan adalah slow shutter shots dan creative lighting system melibatkan pemandangan waktu senja, matahari terbit, human interest dan potret," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Raja Nor Kamal yang juga pengarah program memberitahu, pada sesi pertama tugasan peserta dikehendaki bangun awal dan bertolak ke pantai Kuala Abang bagi merakamkan gambar suasana matahari terbit.

Katanya, perjalanan dari tempat penginapan mereka di Dungun untuk sampai ke Kuala Abang mengambil masa kira-kira setengah jam.

"Di situ peserta dibantu dua jurugambar berpengalaman iaitu Hafsham Ibrahim dari Klik dan Mohd. Azli Yah dari Kelab Facebook Amazing Malaysia," katanya.


SEBAHAGIAN peserta program anjuran Kelab Karyawan Lensa Negeri Kelantan merakam gambar landskap di Pantai Pandak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Menurutnya, selepas menikmati sarapan pagi, peserta dikehendaki merakam gambar human interest melibatkan aktiviti penduduk setempat seperti menjala ikan.

"Pada sebelah petang, peserta bergerak ke Hutan Lipur, Jambu Bongkok untuk merakamkan gambar potret berkonsepkan tiga budak lelaki sedang bermain-main dengan aksi bersahaja di dalam hutan belantara.

"Selama tiga jam berada di Hutan Lipur, Jambu Bongkak, peserta mengembara pula ke Pantai Pandak, Kuala Terengganu untuk merakamkan gambar landskap," katanya.

Tambahnya, mereka kemudian bergerak ke Seberang Takir untuk sekali lagi merakamkan gambar human interest, sementara menunggu matahari terbenam bagi menyelesaikan tugasan terakhir.

Menurut Raja Nor Kamal, program tersebut merupakan kali ketiga dianjurkan oleh Klik dengan kerjasama Kelab Facebook Amazing Malaysia selepas kali pertama di Kelantan melibatkan kawasan Kota Bharu, Pantai Sri Tujoh dan Pantai Mek Mah di Tumpat.

Sementara itu, edisi kedua program diadakan di Selangor melibatkan Kampung Kuala Kubu Baru dan Pantai Baru Kelanang.

Katanya, pihaknya bercadang untuk menganjurkan program yang sama pada April depan bertempat di Pulau Kapas, Kuala Terengganu dan sebarang maklumat boleh didapati dengan melayari www.klik.com.my.

Dalam pada itu, seorang peserta, Nik Abdullah Nik Omar berkata, program tersebut mencapai matlamatnya kerana dia bukan sahaja mempelajari teknik digital, malah maklumat baru mengenai penggunaan serta teknik mengambil gambar.

"Saya bukan sahaja berkesempatan mendalami penggunaan kamera digital tetapi juga berpeluang mengenali rakan-rakan daripada berbilang kaum yang mempunyai minat sama," katanya.

Jurugambar bebas, Ruzely Abdullah berkata, dia bertuah kerana dapat berkongsi ilmu dengan peserta lain sepanjang program berlangsung.

"Bagi saya, pengalaman itu amat berguna dan berharap pihak penganjur dapat meneruskan usaha seperti ini pada masa akan datang," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sambutan Maulidur Rasul di Kemaman meriah

Posted:

Sambutan Maulidur Rasul di Kemaman meriah

Sambutan Maulidur Rasul di Kemaman meriah


AHMAD Said (tiga dari kanan) dan Ahmad Shabery Cheek (dua dari kanan) adalah antara pemimpin yang menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul di Cukai, Kemaman, baru-baru ini.


KEMAMAN 16 Mac - Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah ini berlangsung di sini baru-baru ini dalam suasana meriah.

Lebih 20,000 orang menyertai perarakan sejauh lebih enam kilometer yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Mereka termasuk pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan orang perseorangan.

Turut menyertai perarakan itu ialah isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Rosli Othman.

Turut serta ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Mohd. Kamil Othman dan ketua-ketua jabatan.

Pelbagai hadiah disediakan bagi memeriahkan suasana termasuk kategori penampilan paling kreatif dalam perarakan serta sepanduk terbaik.

Salah satu kontinjen yang menarik perhatian umum ialah Persatuan Penaja dan Peniaga Kecil Melayu Daerah Kemaman yang mengenakan pakaian penduduk Asia Barat beserta replika lima ekor unta.

Ketika berucap pada majlis itu, Ahmad menyifatkan sambutan besar-besaran itu sebagai mencerminkan perpaduan masyarakat setempat.

Katanya, perpaduan menjadi asas kepada kekuatan ummah dan umat Islam tidak harus membiarkan diri mereka terheret sama dalam permainan politik yang cuba memecahbelahkan mereka.

Menurut beliau, pihak-pihak yang berkepentingan politik akan cuba berbuat apa sahaja agar cita-cita mereka tercapai dan melemahkan umat Islam adalah salah satu strategi mereka.

Menteri Besar kemudian turut menyampaikan sijil penghargaan kepada mereka yang memberi sumbangan bagi menjayakan program tersebut.

Bagi memeriahkan suasana, cabutan bertuah selepas selesai perarakan diadakan dengan pelbagai hadiah menarik termasuk barangan elektrik disediakan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peluang tunai umrah dibuka

Posted:

Peluang tunai umrah dibuka

Peluang tunai umrah dibuka

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 16 Mac – Kerajaan negeri merancang mengadakan penerbangan terus dari sini ke Jeddah untuk mengerjakan umrah secara berkala, tiga bulan sekali.

Penerbangan pertama akan berlepas menerusi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini petang Jumaat ini melibatkan kumpulan penerima Anugerah Umrah kerajaan negeri daripada kalangan mereka yang terlibat dalam operasi haji musim lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penerbangan Anugerah Umrah ini merupakan sumbangan sosial kerajaan selaras dengan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

"Peluang menunaikan umrah itu juga dibuka kepada kakitangan kerajaan negeri dengan kapasiti muatan 450 tempat duduk disediakan bagi satu penerbangan," katanya.

Beliau berkata, program ini menjadi jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat AD Charter Services Sdn. Bhd. yang telah mengendalikan operasi haji musim 2010.

Syarikat berkenaan bersetuju menawarkan satu penerbangan umrah secara terus ke Jeddah dengan harga tiket penerbangan subsidi pada kadar RM1,500 termasuk cukai lapangan terbang.

Pakej harga umrah ditetapkan pada kadar minimum RM3,800 seorang termasuk tiket penerbangan dan penginapan.

Terdapat tiga pakej yang ditawarkan oleh setiap agensi iaitu pakej biasa, sederhana dan kelas pertama di mana pemilihan pakej bergantung kepada tahap kemampuan jemaah.

Selain itu, terdapat empat agensi yang disenaraikan iaitu Zahafiz Travel & Tours Sdn. Bhd., Imtiyaz Travel & Tours Sdn. Bhd., Rayhar Travels Sdn. Bhd. dan TH Travel & Services Sdn. Bhd.

Pada musim haji lalu, sebanyak tujuh penerbangan dari LTSM membawa 2,387 jemaah haji yang terdiri daripada 1,545 jemaah Terengganu, selain Kelantan (647), Pahang (109) dan 86 jemaah dari negeri lain.

Ahmad memberitahu, langkah menawarkan penerbangan umrah secara terus ini menjadi permulaan bagi agensi-agensi pengendali umrah untuk menjadikan LTSM sebagai hab mengerjakan umrah dan kemudiannya haji di kalangan penduduk Pantai Timur.

"Kerajaan negeri juga merancang untuk menyediakan penerbangan antarabangsa ke beberapa negara termasuk Indo-China, Thailand dan Bandung, Indonesia.

"Bagaimanapun, ia masih di peringkat perbincangan dengan syarikat penerbangan yang berkenaan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan