Utusan Online - Selatan |
- Pusat ikan hiasan Bukit Lintang
- Tingkat pendapatan sektor penternakan negara - KM
- Penduduk nikmati air tanpa gangguan
Pusat ikan hiasan Bukit Lintang Posted: Pusat ikan hiasan Bukit LintangOleh Nas Norziela Nasbah
MELAKA 10 Mac – Perusahaan ikan hiasan biasanya dikaitkan dengan perniagaan yang diusahakan secara persendirian oleh golongan elit atau peniaga yang mempunyai kecenderungan dan hobi mendalam terhadap ternakan ikan hiasan. Namun hakikatnya, perusahaan ikan hiasan boleh dijalankan oleh sesiapa sahaja mahupun penduduk kampung asalkan mereka berminat mengusahakannya secara bersungguh-sungguh kerana perusahaan ini berpotensi menjana pendapatan. Bagi membantu rakyat negeri ini terlibat mengusahakan industri tersebut, sebuah Pusat Penternakan Ikan Hiasan iaitu yang pertama seumpamanya di negara ini ditubuhkan bagi menambah dan mempelbagaikan pengeluaran ikan hiasan sekali gus memperluaskan pasarannya ke luar negara. Ia dijayakan bersama dengan agensi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dengan perbelanjaan menelan kos kira-kira RM300,000. Terletak di Kampung Bukit Lintang, di sini, penduduk di kawasan tersebut sudah boleh berbangga kerana melalui usaha itu, mereka kini berpeluang menjana pendapatan melalui penjualan ikan hiasan. Sebagai permulaan, pusat tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh LKTN yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan termasuk mengaplikasikan teknologi baru dalam perusahaan itu. Selain menjadi pusat asuhan pelbagai spesies ikan hiasan, ia berperanan menjadi tarikan pelancong dan juga penduduk tempatan kerana terletak di lokasi strategik iaitu di laluan Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ). Pusat ternakan ikan hiasan yang terletak di kawasan seluas 0.85 hektar sudah mula beroperasi dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada 22 Februari lalu. Tinjauan Utusan Malaysia ke pusat penternakan ini mendapati ikan hiasan jenis symphysodon discuss paling banyak diternak iaitu sebanyak 300 ekor dan diletakkan di hampir 100 akuarium lengkap dengan kemudahan oksigen dan perhiasan. Lebih menarik, pusat ternakan ikan hiasan ini dibuka untuk orang ramai bukan sahaja tujuan pembelian malah dijadikan sebagai tempat rujukan. Antara maklumat yang boleh diperoleh ialah mengenai ikan arowana, guppy, herlequin, koi, oscar, pelaga, swordtail, tiger barb dan tetra selain symphysodon discuss. Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman berkata, sebagai permulaan, pusat tersebut kini membiak kira-kira 20,000 benih ikan hiasan jenis discuss yang diimport dari Thailand dan Eropah. Menurutnya, pihak LKTN menyasarkan pusat penternakan tersebut sebagai hab mengeksport ikan hiasan bermula pada tahun ini. Katanya, projek ternakan ikan hiasan di pusat terbabit bakal dikomersialkan memandangkan potensi pasarannya amat menggalakkan dan mendapat permintaan di peringkat antarabangsa. Ujar beliau, ikan hiasan yang ditawarkan adalah antara 250 jenis ikan hiasan yang diternak di negara ini untuk tujuan pasaran tempatan dan luar negara seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand selain ke pasaran Amerika Syarikat dan Eropah. "Pada peringkat permulaan, LKTN menyasarkan sebanyak 300 ekor ikan dijual dalam masa sebulan dan sebanyak 4,800 ekor ikan setahun dengan nilai jualan RM48,960. "Daripada jumlah itu, keuntungan bersih yang bakal diperoleh pada tahun pertama adalah sebanyak RM14,000 dan dijangka terus meningkat pada kadar lima peratus bagi setiap tahun berikutnya," katanya. Lebih menarik, ikan hiasan yang dibiak itu menggunakan teknologi baru berasaskan bio keselamatan sebagai jaminan untuk menghasilkan baka ikan yang bermutu tinggi dan memenuhi pasaran eksport. Menurut Ahmad, LKTN mencadangkan kesemua benih ikan yang matang dalam tempoh lebih empat bulan seterusnya akan dieksport ke luar negara terutama Eropah. "Keadaan ini merupakan peringkat permulaan pembiakan ikan hiasan di pusat ini dalam tempoh lima ke enam bulan lagi. "Dengan kemudahan pembiakan dan asuhan di sini, pembiakan benih ikan dari Eropah berjaya dilakukan sebelum dituai untuk dieksport ke luar negara," katanya. Ahmad berkata, pemilihan ikan hiasan jenis discuss sebagai spesies utama diternak di sini adalah kerana ia merupakan spesies ikan hiasan yang terbaik dan mempunyai permintaan tinggi di pasaran antarabangsa. " Ikan hiasan jenis discuss ini akan bertelur dalam tempoh tiga bulan dan selepas itu telur ini akan diasingkan daripada induknya sebelum menetas. "Anak-anak ikan ini kemudian akan diasingkan mengikut saiz. Anak-anak ikan mula dijual apabila ia mencapai saiz 4 sentimeter hingga 8 sentimeter," katanya. Tambah beliau, makmal pembiakan dan asuhan di pusat tersebut ini dijaga oleh beberapa kakitangan LKTN yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang penjagaan ikan hiasan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Tingkat pendapatan sektor penternakan negara - KM Posted: Tingkat pendapatan sektor penternakan negara - KMMELAKA 10 Mac - Usaha kerajaan negeri mewujudkan Pusat Ikan Hiasan bertujuan membantu peniaga menambah jumlah pendapatan dan mempelbagaikan lagi pengeluaran ikan hiasan di negara ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, selain itu, ia juga diharap dapat memperkenalkan daerah ini sebagai pusat ikan hiasan di kalangan pelancong dan pengusaha tempatan. "Penubuhan Pusat Ikan Hiasan antaranya bertujuan meningkat dan mempelbagaikan pengeluaran ikan hiasan selain berusaha memperluaskan pasaran perusahaan. "Selain itu, pusat tersebut bertindak sebagai tempat penetasan bagi pengeluaran benih ikan hiasan jenis discuss dan dibesarkan untuk dijual sebagai produk akhir," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Penternakan Ikan Hiasan di Bukit Lintang di sini, baru-baru ini. Katanya, melalui penubuhan pusat penternakan tersebut, ia diharap mampu menyumbang pendapatan kepada pengusahanya sekali gus meningkatkan pendapatan dalam sektor penternakan di negeri ini. "Pusat ini memberi banyak peluang kepada pengusaha tempatan di bawah pemantauan agensi kerajaan sekali gus menjana pendapatan. "Saya lihat usaha memberi tunjuk ajar kepada penduduk kampung dan pengusaha tempatan di sini merupakan sebagai satu langkah yang positif," katanya. Tambah beliau, kerajaan negeri berharap LKTN dapat membimbing penduduk tempatan bagi melahirkan usahawan baru dalam bidang ternakan ikan hiasan. Selain itu, ia boleh dikomersialkan ke pasaran tempatan dan peringkat antarabangsa. Ujar Mohd. Ali, pemilihan kawasan Bukit Lintang sebagai lokasi penubuhan pusat penternakan ikan hiasan jenis discuss ini adalah tepat. "Pihak kerajaan negeri yakin lokasi yang dipilih mampu dijadikan sebagai penggerak utama bagi memasarkan ikan hiasan discuss memandangkan lokasi strategik yang berhampiran dengan Singapura, selain Kuala Lumpur dan Johor Bahru. "Selain itu, negeri ini juga mempunyai banyak kemudahan bagi tujuan projek termasuk sumber air yang dirawat, pengangkutan darat dan udara di samping kunjungan pelancong luar yang boleh meningkatkan ekonomi pasaran ikan hiasan ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Penduduk nikmati air tanpa gangguan Posted: Penduduk nikmati air tanpa gangguanOleh Ainol Amriz Ismail KUALA PILAH 10 Mac - Lebih 1,000 penduduk di empat kampung dekat sini bakal menikmati bekalan air 24 jam tanpa gangguan apabila tangki air di Kampung Sikai siap dibina dalam waktu terdekat. Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Menanti, Datuk Abd. Samad Ibrahim berkata, empat kampung itu ialah Kampung Gunung Pasir, Kampung Sikai, Kampung Pulau dan Kampung Bukit dekat Seri Menanti. ''Kerajaan mengambil berat rungutan penduduk yang sering mengalami gangguan bekalan air lebih-lebih lagi pada musim perayaan. ''Masalah yang berlarutan sejak 35 tahun lalu ini akan dapat diselesaikan apabila tangki air itu mula dibina pada bulan ini dan dijangka siap dalam tempoh setahun. ''Kos pembinaan tangki dan keperluan paip lainnya melibatkan RM4 juta," katanya di Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti, dekat sini, hari ini. Abd. Samad bercakap demikian pada majlis penyerahan cek pampasan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) kepada empat penerima selepas pengambilan balik tanah dibuat untuk projek pembinaan tangki air. Hadir sama Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri memberitahu, apabila siap kelak ia boleh menampung keperluan lebih 200 buah rumah di sekitar kawasan terbabit, selain keperluan penambahan paip untuk melancarkan bekalan ke setiap rumah. ''Masalah ini telah lama diperjuangkan dan atas kekangan peruntukan, maka ia tertangguh sedikit. ''Tetapi selaku wakil rakyat, isu ini sentiasa diketengahkan baik di peringkat negeri, mahupun Persekutuan supaya tindakan segera dilakukan lebih-lebih lagi penduduk sudah terlalu lama menanggung derita ini," katanya. Namun kata Abd. Samad, pembinaan itu akan mengambil masa sedikit dan berharap penduduk khususnya anak-anak mereka dapat bersabar sebelum menikmati kemudahan bekalan air yang lebih baik. Pada majlis itu tiga penerima, Abdul Rashid Jaafar, 67; Ramly Jaafar, 56, dan Fadiah Jaafar, 61, masing-masing menerima cek pampasan berjumlah RM6,500 seorang. Sementara seorang lagi penerima Sulaiman Abd. Rahman menerima cek pampasan berjumlah RM19,500. Dalam pada itu, Abd. Samad juga mengumumkan di kawasan berhampiran empat kampung itu juga akan dibina menara telekomunikasi. ''Pada dasarnya pengendali syarikat Rangkaian Minang (NS) Sdn. Bhd. telah bersetuju untuk membina menara ini dan selepas ini liputan telefon di kawasan ini akan lebih meluas," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan