Utusan Online - Selatan |
- Tiada sebarang kes H1N1 di NS
- Teater Gelanggang Tok Wali dan Mahkota Buana wajar ditonton
- Tiga beradik dapat bantuan peralatan sekolah
Posted: Tiada sebarang kes H1N1 di NS Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI SEREMBAN 6 Mac - Orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mengambil langkah perlu bagi mengelakkan penularan wabak H1N1 di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib berkata, sehingga kini, tiada sebarang kes melibatkan penularan wabak itu dilaporkan oleh pihak Jabatan Kesihatan negeri. Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya terus menjalankan pemantauan secara berterusan bagi membolehkan langkah susulan diambil sekiranya berlaku kes melibatkan penyakit berkenaan. "Pemantauan secara berterusan akan dilakukan pihak jabatan. Kita memang memandang serius mengenai penularan wabak berkenaan kerana ia merupakan penyakit berjangkit. "Sehubungan itu, kita mengatur langkah dengan mengadakan penerangan kepada orang ramai mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil bagi memastikan wabak ini dapat ditangani," katanya di sini hari ini. Beliau diminta mengulas saranan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya langkah pencegahan bagi membendung penularan H1N1 dilakukan segera berikutan tiga kematian terbaru setakat ini di negara ini. Ismail berkata, penularan wabak itu dapat dikekang sekiranya peranan masyarakat dalam menjaga kebersihan dapat dimainkan dengan sebaik mungkin. Beliau berkata, ibu bapa yang mendapati anak-anak mereka menghidap simptom H1N1 perlu menghantar segera mereka ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. "Kita mahu peranan ini turut dimainkan oleh semua pihak dan tidak hanya tertumpu kepada kerajaan semata-mata kerana tanpa kesedaran orang ramai, wabak ini terus menular. "Sekiranya terdapat simptom H1N1 di kalangan ahli keluarga, laporkan segera kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Teater Gelanggang Tok Wali dan Mahkota Buana wajar ditonton Posted: Teater Gelanggang Tok Wali dan Mahkota Buana wajar ditonton
SEREMBAN 6 Mac - Golongan pelajar wajar mengambil peluang untuk menonton teater Gelanggang Tok Wali yang akan dipentaskan di Auditorium Taman Budaya, dekat sini pada 25 hingga 27 Mac ini. Naib Pengerusi Persatuan Karyawan Negeri Sembilan, Siti Salbiah Zahari berkata, teater itu merupakan adaptasi teks komponen sastera Bahasa Melayu pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ia dapat membantu pembelajaran mereka. "Teater ini pernah dipentaskan tahun lalu di tempat yang sama tetapi pada kali ini ia menampilkan kelainan dengan barisan pelakon baru, lebih muda dan bertenaga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Tambah Siti Salbiah, teater itu juga penting untuk guru menghayati teks bagi tujuan pengajaran secara kreatif dan kritis, selain memahamkan pelajar terhadap penghayatan nilai dan persoalan yang diutarakan dalam teks drama itu. "Ini juga satu kaedah pembelajaran dan pengajaran yang positif iaitu dari satu teks berbentuk penulisan, kemudian ia diterjemahkan dalam seni persembahan untuk menghasilkan impak besar kepada pelajar," katanya. Selain teater Gelanggang Tok Wali yang diarahkan Roslee Mansor dengan skripnya ditulis oleh Ismail Kassan, persatuan itu menganjurkan teater muzikal Mahkota Buana yang dipentaskan pada 1 hingga 3 April depan di tempat yang sama. "Mahkota Buana ini merupakan teater muzikal Melayu di mana pembabitan pelakonnya merupakan remaja dan kanak-kanak yang mengisahkan suasana alam purba. "Temanya berkenaan kebijaksanaan raja (pemimpin) beserta kesetiaan rakyat penyelamat kedaulatan negara. "Kisahnya menarik iaitu berkaitan dengan kecintaan kepada agama, raja berjiwa rakyat, kesetiaan rakyat, sejarah, kemanusiaan, kebijaksanaan, perpaduan, pengorbanan dan alam sekitar. Ia menepati citra Malaysia," katanya. Teater itu diarahkan dan skripnya ditulis penggiat seni terkenal, Ladin Nuawi. Siti Salbiah memberitahu, Mahkota Buana itu merupakan inisiatif persatuan untuk menampilkan kanak-kanak seusia lima tahun. "Kos produksi dan pengurusan paling minimum dijangka sebanyak RM35,000 untuk teater Gelanggang Tok Wali, manakala RM50,000 untuk Mahkota Buana. "Jumlah itu tidak termasuk sewa auditorium dan ketika ini kos berkenaan ditanggung oleh persatuan ini dan individu," katanya. Orang ramai dijemput untuk menonton kedua-dua teater itu yang akan dipentaskan pada pukul 3 petang dan 8.30 malam serta setiap pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM10 untuk menanggung sebahagian kos pengurusannya. Bagi guru dan pelajar boleh membuat tempatan melalui talian 016-6066979, 012-2351483, atau 013-6769385. "Sebaiknya baca dahulu teks sebelum menonton. Manakala dermawan yang berhajat menyumbang kewangan boleh menggunakan nombor akaun 0510029000453227, Persatuan Karyawan Negeri Sembilan, Bank Simpanan Nasional," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Tiga beradik dapat bantuan peralatan sekolah Posted: Tiga beradik dapat bantuan peralatan sekolah
JASIN 6 Mac - Hasrat tiga beradik untuk memiliki pakaian sekolah baru sejak tiga bulan lalu menjadi kenyataan sebaik sahaja menerima bantuan sepasang pakaian sekolah dan alat tulis di sini semalam. Tiga beradik berkenaan, Muhd. Azry Rosnan, 11, Muhd. Rafi, 9, dan Nur Izzah, 7, yang bersekolah di Sekolah Rendah (SK) Arab Merlimau Pasir ternyata begitu gembira mendapat pakaian sekolah baru tersebut kerana ia seperti agak mustahil sebelum ini berdasarkan kemiskinan hidup keluarga mereka. Ibu mereka, Asnah Atan, 44, memberitahu, kesempitan hidup dia dan suaminya menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah untuk ketiga-tiga anak mereka itu. "Sumber pendapatan kami begitu kecil kerana suami bekerja di sebuah kilang besi di Merlimau dengan pendapatan hanya RM900 sebulan manakala saya pula tidak bekerja. "Hanya dengan pendapatan itu, kami gunakan untuk membayar sewa rumah, membeli pakaian sekolah mereka dan membeli barangan dapur serta beberapa barangan lain," katanya ketika pada majlis sumbangan yang berlangsung di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau di sini semalam. Tiga beradik ini merupakan antara 400 murid sekolah rendah yang kurang berkemampuan di kawasan Merlimau menerima sumbangan berupa pakaian seragam, kasut sekolah, buku dan alat tulis. Kesemua sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah dan Pengarah Amanah Rakyat Berhad (ARB), Dasuki Ahmad. Bantuan itu disumbangkan oleh ARB. Menurut Asnah, dia yang mempunyai 10 anak terpaksa membeli keperluan sekolah anak-anak mereka secara berperingkat akibat perlu membayar perbelanjaan lain terlebih dahulu. "Hati mana yang tidak sedih melihat anak-anak terpaksa memakai kasut dan baju sekolah lama sementara menunggu giliran mereka untuk mendapat peralatan baru. "Saya ucapkan terima kasih kepada ARB yang sudi menyumbangkan kasut, baju dan alat tulis yang sememangnya meringankan bebanan kami sekeluarga," katanya. Sementara itu, Dasuki berkata, pada tahun ini ARB memperuntukkan RM450,000 untuk membeli kelengkapan pelajar sekolah yang kurang berkemampuan di empat sekolah di Melaka, Selangor, Pahang dan Perak. "Sudah menjadi tanggungjawab kami dalam memastikan golongan yang kurang berkemampuan menerima bantuan peralatan persekolahan. "Selain itu, kami juga tidak lepas peluang memberi pertolongan kepada pelajar dengan menyediakan kemudahan pinjaman dan tajaan pengajian seperti pelajar Malaysia di Mesir," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan