Isnin, 21 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


AS ulangi kesilapan Itali?

Posted:

AS ulangi kesilapan Itali?

AS ulangi kesilapan Itali?

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


PENYOKONG Muammar Gaddafi menunjukkan serpihan peluru berpandu yang dilancarkan tentera AS, Britain dan Perancis ke sebuah bangunan di Bab Al-Aziziyah sambil memegang gambar Gaddafi yang memaparkan perkataan 'panjang umur pemimpin'. - reuters


PADA 18 Mac lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sokongan Liga Arab telah meluluskan resolusi tindakan ketenteraan bagi menghalang Presiden Libya, Muammar Gaddafi membunuh rakyatnya yang memberontak.

Resolusi yang diluluskan dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), Perancis dam Britain itu turut membabitkan penguatkuasaan zon larangan terbang ke atas Libya dan membenarkan penggunaan tentera darat bagi melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi.

Dua hari selepas resolusi itu diluluskan, AS dan sekutunya iaitu Britain dan Perancis telah menyerang Libya secara besar-besaran, dalam campurtangan Barat yang terbesar di dunia Arab sejak serangan AS dan sekutunya ke atas Iraq pada 2003.

Dalam serangan itu, sekurang-kurangnya 110 peluru berpandu Tomahawk telah dilancarkan terhadap negara itu. Televisyen kerajaan Libya berkata, 64 orang terbunuh dan 150 lagi cedera dalam serangan udara tentera bersekutu itu.

Apa yang disebut di atas telah berlaku, tetapi persoalannya adakah AS dan sekutunya bakal mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan Itali apabila memulakan serangan pada Oktober 1911 untuk menjajah Libya.

Kerajaan fasis Itali yang ketika itu diketuai Benito Mussolini telah tersilap perhitungan kerana menyangka dengan kekuatan bala tentera yang sangat hebat, mereka akan dapat menjajah Libya dengan segera.

Sebaliknya, apa yang berlaku, mereka hanya dapat berbuat demikian setelah berperang selama kira-kira 20 tahun.

Perjuangan menentang penjajah Itali itu dilakukan oleh tentera Mujahidin yang diketuai oleh Umar Mukhtar. Beliau yang digelar sebagai Singa Padang Pasir berjuang secara gerila dari kawasan pergunungan dan ia hanya berakhir apabila tokoh yang dianggap simbol pembebasan Libya itu ditangkap dan dihukum gantung pada 16 September 1931.

Beliau yang ketika itu berusia 83 tahun sempat bersembahyang sunat sebelum dihukum gantung dan jenazahnya segera dikebumikan di Benghazi, yang kini menjadi kubu kuat kumpulan pemberontak.

Walaupun telah lama meninggal dunia, perjuangan Umar Mukhtar terus diingati. Gambar beliau dicetak pada mata wang kebangsaan Libya 10 dinar, manakala sebuah filem berdasarkan riwayat hidupnya bertajuk The Lion of the Desert lakonan Anthony Quinn turut diterbitkan pada 1981.

Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ketika mengulas mengenai serangan itu berkata, apa yang dilakukan oleh AS dan sekutunya merupakan satu penjajahan sama seperti yang dibuat Itali.

''Apa yang berbeza kali ini adalah penjajahan bukan secara langsung, sebaliknya berselindung dengan alasan untuk membantu segolongan rakyat Libya yang tidak menyukai Gaddafi.

''Saya berpendapat pemberontakan rakyat Libya berkenaan sebenarnya didalangi oleh pihak-pihak luar yang ingin menguasai kekayaan minyak Libya," katanya.

Ujar beliau, hanya masa yang bakal menentukan sama ada Gaddafi akan terus bertahan selama berpuluh-puluh tahun sama seperti perjuangan menentang penjajah Itali sebelum ini.

Menurutnya, jika Gaddafi tumbang dan kerajaan baru yang diketuai pemberontak dibentuk, ia sudah pasti akan condong untuk mengutamakan kepentingan AS dan sekutunya.

Dalam pada itu, GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, walaupun serangan AS dan sekutunya menepati peruntukan undang-undang antarabangsa, namun tindakan itu sebenarnya melanggar etika kemanusiaan serta moral.

Katanya, serangan tersebut boleh dipersoalkan kerana sesebuah negara mempunyai kedaulatan tersendiri yang perlu dihormati oleh kuasa-kuasa lain.

Menurut Azmi, Gaddafi pasti akan bertindak balas terhadap serangan tersebut dan ia akan menyebabkan perang berpanjangan.

''Bagaimana nasib penduduk awam Libya yang akan menerima kesan buruk daripada serangan AS dan sekutunya, terutama yang membabitkan kematian dan kemusnahan harta benda.

''Saya juga menjangkakan jika peperangan berpanjangan, ia akan menyebabkan ramai rakyat di negara Afrika Utara ini terbunuh," katanya.

Soalnya, berapa ramaikah rakyat Libya yang perlu terbunuh sebelum AS dan sekutunya berhenti mengebom Libya? Adakah ia akan mengatasi rekod ketika penjajahan Itali yang menyaksikan ratusan ribu penduduk negara itu mati dalam tahanan?

Jika Itali sebelum ini telah berhenti menyiksa tentera Mujahidin setelah akhbar- akhbar dari seluruh dunia mempersoalkan tindakan itu, maka adakah AS dan sekutunya hanya akan berhenti setelah kekejaman mereka didedahkan dalam Facebook dan Twitter? Hanya masa yang akan menentukannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Meniti jejak tapak air

Posted:

Meniti jejak tapak air

Meniti jejak tapak air

Oleh Shaharudin Idrus


MALAYSIA mempunyai banyak sumber air termasuk dari aliran sungai, namun pencemaran teruk yang berlaku menyebabkan sumber itu terganggu. – gambar hiasan


SEMPENA Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac 2011 (hari ini) dengan temanya Air Untuk Bandar: Keperluan dan Cabaran, ia akan memberi cabaran besar terhadap bandar-bandar di dunia ini termasuklah Malaysia.

Jumlah penduduk bandar di negara ini kian meningkat saban hari. Dianggarkan sebanyak 14.5 juta penduduk negara ini akan menetap di bandar-bandar utama di negara ini menjelang tahun 2020. Proses urbanisasi dengan jumlah penduduk bandar ini akan terus-terusan meningkat. Di sinilah letaknya keperluan dan cabaran yang dihadapi dalam memastikan seluruh penduduk bandar dan juga luar bandar mendapat bekalan air bersih yang secukupnya dan secara berterusan.

Bagi setiap satu saat, jumlah penduduk bandar bertambah sebanyak dua orang. Sementara itu, hampir 95 peratus daripada perluasan kawasan bandar akan berlaku di negara-negara membangun termasuklah Malaysia dan rantau ini. Peningkatan jumlah penduduk yang mendadak ini akan membawa bersama-sama bukan sahaja masalah ekonomi dan alam sekitar tetapi juga keperluan bekalan air bersih dituntut dengan lebih tinggi.

Cabaran utama yang perlu digalas adalah terhadap infrastruktur paling asas yang perlu ada dalam setiap kehidupan manusia tanpa gangguan iaitu sumber air yang bersih dan terjamin seiring dengan kepesatan pembangunan kawasan perumahan yang meningkat akibat langsung daripada peningkatan jumlah penduduk yang menghuni kawasan perbandaran tadi. Malahan bukan itu sahaja, kawasan ruang pejabat, rekreasi, institusi ibadat dan seluruh kawasan bandar itu menuntut sumber air bersih untuk digunakan penduduknya sepanjang masa menurut keperluan masing-masing.

Hubung kait di antara sumber air dan bandar adalah amat kritikal sekali. Bandar menuntut sumber air bersih yang begitu banyak jumlahnya untuk menampung keperluan bandar yang semakin mendesak. Hampir semua bandar di negara ini dialiri oleh sungai-sungai utama yang mampu membekalkan sumber air bersih. Namun begitu, ketiadaan etika yang baik menyebabkan segala sampah sarap malahan mayat manusia juga dihumban ke dalam sungai yang mengalir di hadapan mata warganya.

Kesemua ini mengundang keadaan sungai yang tercemar dengan begitu teruk. Tindakan ini sebenarnya bermula dari kawasan perumahan yang begitu banyak dibina. Sampah sarap dibuang ke dalam longkang dan kemudiannya mengalir ke sungai yang berhampiran dan seterusnya menuju ke lautan. Jika kesemua sungai telah mengalami pencemaran yang berterusan maka, hidupan dan ekosistem sungai dan lautan juga terganggu dan akhirnya mendatangkan kerugian yang besar kepada manusia itu sendiri.

Salah satu cabaran yang jarang diberikan perhatian dalam isu sumber air ini ialah daripada segi jejak air (water footprint) yang digunakan setiap individu. Data yang dipetik daripada Hoekstra, A.Y. and Chapagain, A.K. (2008) menunjukkan bahawa purata jejak air bagi negara ini ialah sebanyak 2,344 m3 perkapita setiap tahun. Jumlah ini adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada purata jejak air global yang dicatatkan iaitu berjumlah 1,243 m3 perkapita bagi setiap tahun. Ini menunjukkan bahawa penggunaan air bagi setiap individu di negara ini adalah lebih tinggi daripada yang dianggarkan di peringkat global.

Secara umumnya, sumber air di negara ini diperoleh dari air permukaan dari air hujan. Manakala sekitar 10 peratus sahaja air yang diambil dari sumber air bawah tanah. Sekali imbas dan secara logiknya, Malaysia sepatutnya tidak berhadapan dengan masalah sumber air yang bersih kerana jumlah hujan mencukupi untuk menampung penduduk seramai lebih 28 juta orang. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini, berlaku perubahan dalam jumlah dan lokaliti hujan akibat daripada fenomena alam yang berlaku di peringkat global. Hal ini ditambah pula dengan sikap pengguna yang membazir air dan tidak mengendahkan tentang keperluan dan kepentingan air.

Jumlah hujan yang banyak itu perlu ditakung dan digunakan untuk menyiram bunga- bungaan dan membasuh kenderaan. Walaupun begitu, usaha ini menuntut pula kesungguhan untuk membersih dan mengawal air yang ditakung agar tidak mengundang nyamuk aedes yang membawa penyakit demam denggi dan penyakit-penyakit lain bawaan air.

Bandar-bandar juga tidak akan dapat dilestarikan kewujudannya sekiranya kesampaian terhadap keperluan sumber air yang bersih dan sistem sanitasi yang baik tidak dapat dipenuhi. Masyarakat bandar tidak akan dapat berkompromi jika keperluan sumber air yang bersih ini terganggu dalam masa yang begitu lama. Pengalaman semasa berlakunya krisis air pada sekitar tahun 1997/1998 dahulu mengajar kita bahawa sistem pengurusan dan governans air yang baik perlu diberikan perhatian yang serius.

Hal ini termasuk tarif air yang sepatutnya dikenakan kepada masyarakat yang perlu juga diberikan penekanan serius. Isu-isu seumpama ini akan memberi peluang kepada pihak tertentu untuk menangguk di air yang keruh dan mampu menggugat kestabilan politik di negara ini. Jika perkara seumpama ini berlaku, amatlah malang bagi kerajaan yang memerintah kerana akan sentiasa berhadapan dengan kekacauan yang berterusan.

Shaharudin Idrus

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan