Utusan Online - Rencana |
Langkah bijak sekolah satu sesi Posted: Langkah bijak sekolah satu sesiOleh Dr. Sidek Baba PENGUMUMAN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia yang juga Timbalan Perdana Menteri mengenai pendekatan sekolah satu sesi adalah sesuatu yang memberangsangkan. Masanya sudah sampai supaya konsep sekolah satu sesi dibahaskan dengan bijaksana dan strategik supaya ia menjadi satu wadah membangun potensi generasi anak-anak secara seimbang. Konsep sekolah satu sesi yang direncana oleh Kementerian Pelajaran merupakan satu hal yang amat menarik untuk diteliti dan dikaji. Realiti pendidikan di Malaysia tidak saja berjalan di arus perdana, dikendalikan oleh pihak kerajaan tetapi juga dikendalikan oleh lembaga pendidikan negeri dan swasta. Uniknya pendidikan di Malaysia, ia tidak saja menawarkan pendidikan yang berasaskan ilmu-ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi tetapi juga membenarkan pendidikan agama. Inilah acuan yang menarik dalam memartabatkan pembangunan modal insan di Malaysia. Sejak sebelum merdeka, pendidikan Islam yang berjalan di bawah seliaan individu, swasta dan lembaga-lembaga negeri khususnya Jabatan Agama Negeri-Negeri berkisar sekitar institusi pondok, sekolah fardu ain, sekolah Quran, Sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz dan juga madrasah. Ia menekankan pendidikan asas Islam seperti akidah, ibadah, tilawah, loghat, fikah dan seumpamanya. Asas ini amat penting bagi memberi kefahaman mengenai Islam, di samping pentingnya pembangunan diri dan kemuliaan akhlak. Dalam masa yang sama, Kementerian Pelajaran sejak tahun 1961 telah memperkenalkan subjek Agama Islam dalam pendidikan arus perdana. Ia berkembang sehingga menghasilkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi yang menawarkan lebih banyak subjek-subjek mengenai Islam kepada pelajar. Ia menjadi saluran yang terbukti baik bagi melahirkan ahli agama dan profesional yang dapat berperanan dalam membangunkan negara dan ummah. Usaha pihak lembaga swasta dan negeri juga bergerak seiring menghasilkan pendekatan integratif dalam proses keilmuan dan pendidikan. Darinya lahir pendidikan tahfiz integratif, pendidikan Islam integratif dan lain-lain. Pendidikan agama masa kini amat memerlukan pendekatan integratif sama ada dari segi kurikulum mahupun metodologi pengajaran dan pembelajaran. Modal Insan yang ingin kita lahirkan tidak saja menuntut penguasaan ilmu Mengurus Diri (Fardu Ain) tetapi juga menuntut penguasaan ilmu Mengurus Sistem (Fardu Kifayah). Jenis cabaran dalam kehidupan masa kini tidak saja berputar sekitar isu-isu Fardu Ain tetapi menuntut penguasaan ilmu-ilmu sains dan teknologi, kemahiran dan ilmu-ilmu kemanusiaan. Apakah dengan memperkenalkan konsep satu sesi ini, ia mampu menampung keperluan membangun modal insan holistik. Malaysia tidak akan mampu menghasilkan modal insan berkualiti sekiranya pendidikan agama berjalan dalam sifatnya yang terbatas atau pendidikan sains dan teknologi dengan pemahaman terhadap agama yang terhad. Pendekatan integratif menjadi asas yang sangat penting dan fundamental bagi menghasilkan pendidikan negara berasaskan Acuan Sendiri. Memperkenalkan konsep satu sesi dalam pendidikan negara bakal memberi kesan terhadap pendidikan agama di waktu pagi atau petang. Pendidikan agama yang diajar di sekolah agama pagi atau petang diajar juga di sekolah-sekolah arus perdana. Apakah perulangan subjek yang sama membawa kesan baik atau sebaliknya bagi pelajar. Satu aspek yang harus dikaji ialah setakat mana kesan penghayatan terhadap murid-murid dalam menghadapi cabaran sekitar kini. Ia memerlukan kajian dan penelitian supaya masa yang digunakan untuk belajar agama di sekolah agama pagi atau petang orientasinya membawa kepada pengukuhan terhadap pembinaan peribadi anak-anak. Sekolah satu sesi mengambil masa belajar yang panjang. Orientasi sekolah asrama penuh pada masa kini mengambil pendekatan sekolah satu sesi dan kesannya dari segi akademik amat baik. Bagi sekolah-sekolah yang bukan asrama penuh, beberapa pertimbangan perlu diberi supaya pelaksanaan konsep satu sesi diatur dengan bijaksana supaya kesan pendidikannya adalah holistik. Sesetengah sekolah terutama di bandar masih memerlukan sekolah dua sesi pagi dan petang akibat prasarana tidak cukup. Sesetengah sekolah agama pagi dan petang mungkin ditutup kerana sekolah satu sesi melampaui masa yang biasanya membolehkan pelajar belajar agama. Masa yang terlalu lama bagi pelajar di sekolah menyebabkan hubungan dengan ibu yang tidak bekerja menjadi terbatas. Aspek positif yang boleh diunjurkan terhadap sekolah satu sesi ialah supaya ia tidak mengurangi komponen pendidikan Islam. Para pelajar beragama Islam boleh menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah bersama-sama dengan guru. Ruang untuk tilawah al-Quran disediakan. Makanan yang berkhasiat dapat diberikan kepada semua pelajar. Kegiatan kokurikulum dan permainan dapat berjalan dengan baik dan proses ulang kaji dan menyudahkan kerja-kerja rumah dapat berlaku di sekolah. Apakah di tahap ini, Kementerian Pelajaran sudah mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya. Banyak aspek yang harus diambil kira seperti penjadualan subjek yang seimbang dalam jadual pengajaran-pembelajaran. Orientasi dan latihan perguruan mengendalikan konsep satu sesi. Penyediaan makanan yang seimbang dan bermutu pastinya memerlukan peruntukan yang besar. Selain itu, peranan ibu bapa dalam proses pendidikan, pengawasan terhadap pelajar dalam tempoh yang panjang, kemudahan fasiliti kokurikulum, permainan dan sukan yang seimbang, kesemuanya perlu diberi perhatian. Begitu juga, latihan amali agama Islam dan sebagainya. Pendidikan yang berkesan dalam membentuk watak anak-anak semestinya melibatkan peranan ibu bapa. Persekolahan satu sesi harus melibatkan ibu bapa secara aktif dalam hal-hal yang terizin. Tanpa pengaruh ibu bapa terhadap anak-anak, proses pendidikan akan mengalami ketempangan. Guru-guru merupakan tenaga pendidik yang penting. Sekiranya hal-hal ini dapat diatur dengan baik, maka sekolah satu sesi akan dilihat sebagai jawapan yang memberi harapan terhadap keperluan pendidikan di zaman ini. Pendidikan dalam erti kata yang luas bukan sekadar proses memantapkan akliah atau daya kognitif dengan melalui peperiksaan semata-mata. Tetapi potensi insan yang harus digilap termasuk potensi insaniah supaya terlihat akhlak dan pekerti yang mulia. Ketangkasan jasmani yang membawa kepada disiplin yang tinggi perlu dibina supaya ia menepati maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu membangun insan seimbang dan harmonis. Pendidikan di Malaysia memerlukan asas kukuh supaya pembangunan kurikulumnya menjadikan anak-anak kita pintar dan artikulatif. Dalam masa yang sama, asas integrasi harus menjadi matlamat unggul supaya perbezaan yang ada daripada latar etnik, agama dan budaya menjadi titik temu bagi pembangunan etika yang tinggi, di samping nilai-nilai murni yang membawa kesan penghayatan. Globalisasi yang datang memerlukan binaan generasi yang transformatif. Pendidikan tidak sekadar menghasilkan guna tenaga yang memiliki kepakaran dan keahlian dalam sesuatu bidang tetapi tetapi juga nilai-nilai insaniah yang akhirnya menjadikan manusia lebih manusiawi. Justeru, pengukuran mengenai kejayaan dan kecemerlangan tidak hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata tetapi generasi muda harus dibangunkan dengan bakat kepimpinan dan kepengikutan yang baik menerusi kegiatan kokurikulum, bakat kesukanan dan ketangkasan menerusi kegiatan ekstra kurikulum, corak penilaian yang merangkum supaya peribadi yang baik dihasilkan mampu menghadapi cabaran dan kerenah zaman. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Persamaan 3P dan 1D dalam politik Malaysia Posted: Persamaan 3P dan 1D dalam politik MalaysiaOleh Noor Sulastry Yurni Ahmad TULISAN ini cuba membincangkan formula yang membawa persamaan dalam sistem politik negara Malaysia. Tentunya pembaca tertanya-tanya maksud atau singkatan 3P dan 1D. Hendak dikatakan keputusan STPM tidak juga, tarikh pilihan raya tidak juga, apatah lagi formula matematik. 3P merujuk kepada parti Pas, PKR dan Pilihan raya, manakala 1D merujuk DAP. Apa pula perkaitannya. Selepas SPR melaksanakan tugas dengan penuh gigih, sedar tidak sedar sudah 16 Pilihan Raya Kecil (PRK) menjadi medan ujian politik sejak pasca 2008. Boleh dikatakan purata dua bulan sekali, PRK dijalankan dalam tempoh hampir tiga tahun ini. Ini bukan kerja mudah dalam konteks negara demokrasi berparlimen yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat majmuk untuk menjalani siri pilihan raya yang tidak pernah sunyi dalam sistem pentadbiran negara!. Perkara yang menarik perhatian adalah penglibatan parti-parti pihak pembangkang yang bertanding dalam PRK yang berlangsung sejak PRU-12 lagi. Kelihatan tiada surutnya persaingan politik yang menjadikan PRK sebagai medan perjuangan dan perhitungan bagi setiap parti yang bertanding. Parti 2P dan 1D (pembangkang) mempunyai semangat yang tinggi untuk membawa perubahan dalam sistem demokrasi Malaysia yang memperjuangkan ideologi masing-masing. Hari demi hari, parti-parti ini dihambat pelbagai isu yang mencalar imej mereka sebagai parti politik yang mampu memberi persaingan sengit kepada Barisan Nasional (BN). Namun begitu, sejauhmana kekuatan parti-parti 2P dan 1D ini bertahan untuk memastikan kedudukan mereka terpelihara dan memperoleh sokongan undi dalam PRU-13 yang bakal tiba. Persoalan ini bukanlah satu masalah yang membelenggu parti 2P dan 1D untuk mengatur strategi mereka. Strategi dan pendekatan psikologi dan fizikal yang dimiliki oleh parti-parti tersebut semakin dicabar oleh BN yang mempunyai kebolehan dari segi wakil pencalonan, kekuatan sumber, struktur parti yang lebih kuat dan lain-lain. Walaupun BN ada kelebihan, namun pihak pembangkang juga berkebolehan membuktikan mereka setanding dengan pihak lawan. Sayang seribu kali sayang, isu kerajaan DAP di Pulau Pinang, konflik dalaman kerajaan negeri di Selangor, isu pembentukan ahli PKR di Sabah, isu peribadi calon pilihan raya di Tenang sehinggalah isu percanggahan pendapat antara kerajaan negeri dan pemerintah negeri, sedikit sebanyak merencatkan budaya politik pihak pembangkang. Keadaan berjaga-jaga dan membuat persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya umum semakin giat dijalankan, di samping melakukan persediaan bagi PRK yang sedang dan akan berlangsung tidak lama lagi. Sungguhpun setiap parti politik sibuk berusaha mengasah strategi masing-masing, tugas hakiki mereka dan setiap calon yang dipilih perlu dipertingkatkan lagi kerana keputusan sudah dibuat oleh rakyat dan mereka mahu janji yang ditabur sudah dikotakan. Jika tidak, kesan mungkin akan dapat dilihat dalam pilihan raya yang bakal menjelang. Bersediakah semua parti politik tidak kira 2P, 1D atau 1B (BN) untuk berkhidmat demi masyarakat sebelum, pada dan selepas PRU nanti? Ada formula yang boleh dijadikan tips kemenangan mereka pada kali ini dan tidak menjadi kesalahan jika berkongsi rahsia demi memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Pertama, bekerja sebagai sebuah pasukan walaupun bertanding atas tiket parti yang berbeza. Kedua, rakyat adalah raja pada setiap pilihan raya dan 'perhambakan' diri untuk menjalankan amanat yang diamanahkan rakyat. Ketiga, bermuafakat dan bermusyawarah sesama ahli parti dari setiap lapisan untuk mendapatkan pandangan mereka demi kebaikan parti dan ahli. Keempat, kikis pemikiran skeptikal, iri hati, hasad dengki di kalangan ahli terutamanya para pemimpin parti supaya perjuangan menjadi lebih ikhlas dan bersih. Ini kerana tidak kira apa-apa agama yang dianuti dan dipegang oleh kita, semestinya semua agama mengajar kita melakukan kebaikan. Renung dan fikir dengan mendalam ideologi perjuangan sebenar setiap calon dan parti kerana bimbang akan terpesong daripada ideologi yang sebenar. Manakala yang terakhir, anggaplah pilihan raya sebagai medan untuk menguji kekuatan parti atau calon yang bertanding kerana tanpa persaingan atau pertandingan, kita tidak akan sedar di mana kelemahan dan kekuatan masing-masing. Sebenarnya banyak lagi yang boleh dicadangkan di sini tetapi perkara yang asas perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum melakukan perkara yang lebih rumit dan kritikal. Penulis sekadar berkongsi pandangan supaya setiap parti yang terus berkhidmat untuk rakyat pada hari ini supaya tidak meninggalkan ideologi perjuangan asal masing-masing. Sememangnya semua perkara itu tidak dapat dilakukan dengan jayanya tanpa kerjasama ahli lain dan pada masa yang sama peluang perlu diberikan kepada mereka yang di luar sana untuk sama-sama berbakti kepada parti. Jangan disekat mereka yang berkelayakan dan berkemampuan untuk membantu parti menjadi lebih baik kerana ia merupakan satu kerugian sekiranya hasil yang baik tidak dapat dikongsi beramai-ramai. Generasi muda pada hari ini, umpamanya komuniti yang sangat 'luar biasa' kerana zaman kini adalah zaman mereka bersinar. Malah parti-parti politik di Malaysia mengiktiraf bahawa generasi muda juga boleh membawa kelainan dalam mempertingkatkan mutu kerja sesebuah parti politik itu dengan penubuhan komponen Pemuda, Puteri, Dewan Muslimat dan sebagainya. Kepimpinan politik negara turut dibarisi pemimpin-pemimpin belia yang mempunyai ketokohan yang amat membanggakan. Sehubungan itu, PRU-13 mungkin dianggap sebagai cabaran yang getir dan medan perhitungan bagi sesebuah parti politik. Selain itu, PRU-13 adalah medan permuafakatan semua parti politik yang bertanding yang berjuang untuk rakyat dan kemajuan negara. Ia kelihatan seperti terlalu idealistik, retorik dan angan-angan mat jenin tetapi ia boleh dicapai melalui amalan 'konspirasi politik' yang sihat. Bertindak atas maklumat dan berfikir dengan akal yang bijak! PENULIS ialah Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan