Rabu, 2 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


theSun akan saman Nielsen

Posted:

theSun akan saman Nielsen

theSun akan saman Nielsen

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Mac. - Penerbit akhbar harian theSun, Sun Media Corporation Sdn. Bhd. (SMC) akan menyaman syarikat penyelidikan pasaran, The Nielsen Company (Malaysia) Sdn. Bhd. kerana didakwa menerbitkan anggaran palsu dan mengelirukan mengenai jumlah pembaca akhbar itu.

Cadangan tindakan saman itu disiarkan di muka depan akhbar theSun dengan tajuk Absurd figures (Angka tidak munasabah) hari ini.

Tindakan SMC itu berikutan Nielsen didakwa secara salah menganggarkan jumlah pembaca akhbar theSun hanya 131,000 (seperti dilaporkan dalam akhbar The Star, 26 Februari lalu), berbanding 300,000 naskhah edaran setiap hari berdasarkan laporan audit bebas.

Muka depan theSun hari ini melaporkan, Audit Bureau of Circulations (ABC) yang secara bebas mengaudit jumlah edaran beberapa penerbitan telah mengesahkan bahawa edaran harian theSun adalah 300,550 naskhah (tempoh 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2010).

Pengarah Urusan Sun Media, Chan Kien Sing dilaporkan berkata, dengan 300,000 naskhah edaran setiap hari, pihaknya tidak mampu memenuhi permintaan yang bertambah malah masih ada senarai panjang syarikat yang menunggu giliran dimasukkan dalam senarai pengedaran theSun.

Beliau memberitahu, SMC akan melakukan segala langkah untuk mempertahankan perniagaan dan reputasinya serta telah mengarahkan peguam syarikat mengambil tindakan undang-undang terhadap Nielsen dan menuntut ganti rugi berkaitan.

"Secara logik dan pemikiran waras, anggaran jumlah pembaca theSun oleh Nielsen tidak mungkin kurang daripada angka jumlah edaran yang diaudit oleh ABC. Malah, kami menganggarkan jumlah pembaca harian kami mencecah 900,000.

"Kami meminta para pembaca, pengiklan dan pihak yang terlibat dalam industri ini supaya mempersoalkan penemuan cacat dan tidak logik oleh Nielsen," katanya.

Kien Sing mendakwa, pihaknya yakin anggaran Nielsen adalah 'cacat' dan salah manakala laporan Nielsen diterbitkan secara sembrono dan tidak bertanggungjawab, tanpa penyiasatan yang teliti dan sempurna terhadap angka edaran sebenar atau jumlah pembaca theSun.

"Sebelum ini pun kami telah mengambil tindakan berhubung isu anggaran jumlah pembaca yang diterbitkan oleh Nielsen kerana kami menganggap angka itu adalah palsu, salah anggaran dan mengelirukan.

"Kami telah mengemukakan isu ini kepada Nielsen untuk menimbangkan faktor relevan lain yang memberi impak kepada metodologi penyelidikan dan rumusan, serta bukti bahawa anggaran jumlah pembaca theSun (oleh Nielsen) adalah palsu dan tidak tepat.

"Bagaimanapun, usaha tidak berjaya kerana Nielsen secara konsisten telah mengetepikan pandangan dan input SMC," tegasnya.

Dalam pada itu, Kien Sing berkata, SMC telah mengingatkan Nielsen bahawa anggaran jumlah pembaca yang palsu dan mengelirukan itu telah merosakkan perniagaan SMC dan reputasi perdagangan serta SMC turut mengalami kerugian yang besar.

"Walaupun kami memahami konsep jumlah penyebaran dan anggaran jumlah pembaca berlainan, namun kami percaya menjadi tanggungjawab Nielsen mempertimbangkan bukti-bukti lain yang relevan khususnya angka ABC.

"Anggaran yang diperoleh daripada kajian pensampelan rawak dan teori ekstrapolasi yang dilakukan Nielsen telah menghasilkan penemuan yang bercanggah," katanya.

"Percanggahan yang ketara kira-kira 50 peratus lebih rendah antara anggaran jumlah pembaca Nielsen dan jumlah edaran theSun membuktikan metodologi Nielsen dalam menentukan data pembaca theSun pada asasnya adalah 'cacat' dan boleh dipersoalkan," tegasnya.

Beliau menambah, adalah tidak boleh diterima dan tidak profesional bagi Nielsen tidak mempedulikan langsung terhadap angka penyebaran yang telah diaudit yang dikeluarkan oleh badan yang dihormati dan profesional seperti ABC.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Giliran Anwar beri keterangan hari ini

Posted:

Giliran Anwar beri keterangan hari ini

Giliran Anwar beri keterangan hari ini

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my


ANWAR Ibrahim tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, semalam bersama isterinya, Datin Seri Wan Azizah bagi perbicaraan kes liwat.


KUALA LUMPUR 2 Mac - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, esok.

Bagaimanapun, keterangan yang diberikan bukanlah keterangan bela diri sebaliknya pada prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) berkaitan beberapa barang kes yang dirampas dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008.

Barang-barang kes yang dirampas adalah sehelai tuala kecil 'Good Morning', sebatang berus gigi kecil warna putih, satu botol plastik jenama 'Cactus' dan dua helai bulu (termasuk sehelai bulu yang dijumpai oleh ahli kimia, Nor Aidora Saedon pada tuala kecil tersebut).

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan untuk membenarkan permohonan bagi mengadakan TWT oleh barisan pembelaan selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak di sini hari ini.

Hakim tersebut berpendapat, mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengetepikan barang-barang kes yang dipertikaikan sekiranya ia diperoleh dengan cara yang tidak adil.

''Kebiasaannya, mahkamah tidak mengambil kira dengan cara sesuatu bukti diperolehi. Tetapi bagi barang-barang yang diperolehi selepas sesuatu kesalahan dilakukan, maka mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengetepikan barang-barang tersebut sekiranya ia diperoleh dengan cara yang salah atau tidak betul.

''Pada pendapat saya, satu-satunya cara untuk menentukan perkara ini adalah melalui bicara dalam perbicaraan. Oleh itu saya benarkan permohonan barisan pembelaan,'' katanya.

Semalam, mahkamah memutuskan untuk mendengar hujah kedua-dua pihak mengenai keperluan untuk mengadakan TWT berhubung barang-barang kes itu.

Pada 23 Februari lalu, peguam bela Sankara Nair membangkitkan bantahan terhadap beberapa barang kes sewaktu saksi pendakwa keenam, Nor Aidora sedang memberi keterangan.

Bagaimanapun, pada waktu bantahan itu dikemukakan, pihak pendakwaan mahupun saksi berkenaan masih belum mengemukakan mahupun menyebut mengenai sebarang barang kes.

Setelah tuala, berus gigi, botol minuman dan bulu-bulu tersebut dikemukakan, barang-barang kes tersebut ditandakan sebagai 'ID' (barang yang belum diterima sebagai bukti) ekoran terdapat bantahan.

Pada tarikh yang sama, Nor Aidora yang juga Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia dalam keterangannya menyatakan bahawa ujian analisis asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap tuala, berus gigi dan botol minuman menunjukkan wujudnya profil DNA Lelaki Y.

Pada 17 Februari lalu, Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian DNA Divisyen Forensik jabatan itu, Dr. Seah Lay Hong menyatakan, ujian analisis DNA pada empat calitan putik kapas menunjukkan kehadiran profil DNA Lelaki Y di dalam rektum (salur dubur) dan permukaan dubur (perianal) Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 64, dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Terdahulu, peguam bela utama Anwar, Karpal Singh memberitahu bahawa TWT wajar diadakan bagi memastikan barang-barang tersebut tidak diperoleh dengan tipu daya.

Beliau turut mendakwa barang-barang berkenaan diperoleh ekoran penangkapan dan tahanan yang tidak sah oleh pihak polis.

Oleh itu, Karpal memberitahu, barang-barang tersebut perlu dikekalkan sebagai 'ID' dan tidak diterima masuk sepenuhnya sebagai bukti (P).

Ia juga bagi memastikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendapat satu perbicaraan yang adil.

Sementara itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden menyatakan, barisan pembelaan tidak pernah membangkitkan isu tangkapan atau tahanan salah sebelum ini.

Sebaliknya, sehingga kini barisan pembelaan juga tidak pernah membuat bantahan dari mana dan bagaimana barang-barang kes itu diperoleh.

''Sekiranya Anwar ditahan secara salah, maka apa yang perlu dilakukan adalah berhujah sama ada tangkapan tersebut telah menyebabkan tertuduh mendapat satu perbicaraan yang tidak adil,'' hujahnya.

Beliau menghujahkan, barang-barang kes itu sepatutnya diterima masuk terlebih dahulu sebagai bukti sebelum bantahan dibuat.

Isu tangkapan pula boleh dijelaskan atau ditanya sewaktu pegawai penyiasat memberi keterangan.

''Oleh itu adalah tidak wajar TWT diadakan pada masa ini bagi mengelakkan berlakunya satu TWT yang lama,'' katanya.

Pada 16 Julai 2008, kira-kira pukul 1 petang, Anwar ditahan ketika berada di dalam kenderaannya di Bukit Segambut di sini, kira-kira 50 meter dari rumahnya iaitu sejam lebih awal dari tempoh beliau sepatutnya menyerah diri ke IPK Kuala Lumpur.

Pada pukul 8.35 malam, Anwar yang disoal siasat di Tingkat 7 IPK tersebut telah dibawa oleh polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi beliau menolak untuk diambil sampel darahnya dan hanya bersetuju dilakukan pemeriksaan biasa.

Beliau dibebaskan keesokan harinya dengan jaminan polis kira-kira pukul 9.45 pagi selepas ditahan hampir 21 jam di IPK tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan