Utusan Online - Pahang |
- Kualiti produk pelancongan ditingkat
- 60 lampu jalan di tiga tanah rancangan Felda rosak
- Khairul Amri Husin terima sijil penghargaan
Kualiti produk pelancongan ditingkat Posted: Kualiti produk pelancongan ditingkat Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM KUANTAN 6 Mac - Kerajaan negeri akan memberi perhatian dalam meningkatkan kualiti produk serta perkhidmatan pelancongan untuk menjadikan Pahang sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia pada masa depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff berkata, Pahang dikurniakan khazanah alam semula jadi pelbagai bentuk yang selama ini menjadi teras kepada sektor pelancongan negeri ini. "Oleh itu, kita harus mengambil peluang yang ada dan berusaha memperkenalkan produk kita kepada masyarakat luar. "Di samping itu, ia boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan bagi menjana ekonomi penduduk sekitar," katanya. Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Promosi Pakej Memukat di Pantai Chempaka, Kampung Pantai Sepat anjuran Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser dan Tourism Pahang di sini semalam. Program tersebut disertai 135 peserta gabungan daripada ahli Kelab Pacuan Empat Roda dari Perak, Selangor, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Terengganu termasuk Pahang bersama penduduk Kampung Chempaka, Pantai Sepat di sini. Antara aktiviti diadakan adalah lawatan ke Pusat Tenun Pahang di Kampung Sungai Soi, demonstrasi orang dan beruk memanjat pokok kelapa, memperkenalkan produk makanan penduduk seperti keropok lekor, sata dan otak-otak. Shafik berkata, pihaknya turut menyumbang sebuah bot bernilai RM5,000, beberapa pukat serta bubu untuk digunakan penduduk dalam merealisasikan impian mereka menaikkan nama Kampung Chempaka sebagai destinasi pelancongan. "Orang ramai atau pengunjung boleh memilih pakej-pakej pelancongan yang disediakan mengikut cita rasa masing-masing secara berkumpulan dan individu. "Antara cadangan pakej pelancongan di sini ialah memukat sambil bersantai, Pantai Chempaka dalam kenangan, Sepat perkampungan tradisional, program inap desa, Pantai Sepat 'Free and Easy' dan Kampung Sepat 'weekend special'," jelasnya. Beliau berkata, program seperti itu membolehkan penduduk mempromosikan produk berasaskan komuniti sebagai satu tarikan kepada pengunjung luar ke tempat tersebut. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
60 lampu jalan di tiga tanah rancangan Felda rosak Posted: 60 lampu jalan di tiga tanah rancangan Felda rosak
KUALA LIPIS 6 Mac - Penduduk di tiga tanah rancangan Felda di sini memohon pihak berkuasa tempatan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membaiki 60 lampu jalan rosak serta gagal berfungsi pada waktu malam. Tiga tanah rancangan terbabit adalah Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3 dan penduduk berharap ia dapat diperbaiki segera bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku terutama jenayah. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sungai Koyan 1, Kholid Hussain berkata, masalah berkenaan telah dikemukakan oleh ketiga-tiga JKKK kepada pentadbiran daerah dan TNB tetapi belum ada tindakan diambil. "Masalah itu menimbulkan rasa kurang selesa penduduk apabila berurusan pada waktu malam khususnya di kalangan warga emas. "Perkara itu dikemukakan oleh JKKK kepada pihak berwajib dan kerosakan berkenaan masih belum dibaiki. Kami amat berharap lampu berkenaan berfungsi semula," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Kholid bimbang keadaan lorong dan persimpangan yang gelap boleh mengundang kegiatan tidak sihat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Seorang penduduk Sungai Koyan Tiga, Ismail Ali, 56, berkata, keadaan gelap membahayakan pejalan kaki dan penunggang motosikal pada waktu malam. Ismail menambah, jika lampu jalan itu berfungsi ia boleh menambahkan keceriaan kampung dan suasana lebih ceria di kawasan tempat tinggal yang padat dengan penduduk. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai masalah tersebut oleh penduduk di ketiga-tiga tanah rancangan itu. "Hasil pertemuan dengan ketua kampung berkenaan baru-baru ini, saya memberi jaminan akan memohon pentadbiran daerah Lipis dan TNB segera menyelenggarakan lampu berkenaan menerusi projek membaik pulih kemudahan asas di luar bandar," katanya. | ||
Khairul Amri Husin terima sijil penghargaan Posted: Khairul Amri Husin terima sijil penghargaan
KUANTAN 6 Mac - Keberanian dan kecekapan anggota bomba menyelamatkan pelajar perempuan yang diserang histeria ketika cuba terjun dari tingkat tiga bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di Temerloh pada Januari diberi penghargaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang. Khairul Amri Husin, 25, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh menerima sijil penghargaan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pahang di sini baru-baru ini. Sijil penghargaan tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin. Menurut Khairul Amri, penganugerahan tersebut bukan sesuatu yang diharapkan terutama sekali dalam menabur bakti kepada masyarakat. "Apa yang dilakukan adalah membantu sesiapa sahaja ketika berada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan. "Saya pasti semua anggota bomba akan melakukan perkara sama (menyelamatkan orang) jika mereka berada di tempat saya," katanya ketika ditemui di majlis perhimpunan bulanan jabatan tersebut di sini. Khairul Amri berasal dari Tumpat Kelantan menambah, sebelum ini dia tidak pernah berhadapan dengan situasi cemas tersebut dan sehingga kini peristiwa tersebut masih segar dalam ingatannya. Menceritakan detik cemas itu, jelasnya, ketika kejadian dia bersama tujuh anggota lain bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan bahawa ada pelajar sekolah cuba terjun dari tingkat tiga. "Sampai di tempat kejadian saya terkejut apabila melihat pelajar terbabit hanya menggunakan hujung jari kakinya untuk memijak hujung beranda tersebut. ''Jika silap sedikit kemungkinan dia akan jatuh. "Kira-kira 10 minit saya cuba menenangkan pelajar itu dan akhirnya saya mencapai tangannya lalu menarik mangsa walaupun dia bersikap agresif serta cuba meronta melepaskan diri," katanya. Jelas Khairul Amri, sijil penghargaan tersebut menyuntik semangatnya untuk terus memberi khidmat yang lebih baik pada masa akan datang. Pada 25 Januari lalu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cuba terjun untuk bunuh diri dari beranda bangunan sekolah setinggi lapan meter. Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, pelajar terbabit dipercayai mengalami serangan histeria sebelum berjaya diselamatkan oleh Khairul Amri dan beberapa anggota bomba lain. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan