Utusan Online - Pahang |
Orang Asli Kerdau semakin selesa Posted: Orang Asli Kerdau semakin selesaOleh SALEHUDIN MAT RASAD
KUALA KRAU 2 Mac – Masyarakat Orang Asli suku Negrito di Kampung Orang Asli Paya Sendayan, Kerdau dekat sini bersyukur kerana menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan setanding dengan perkampungan lain di negeri ini. Perkampungan itu yang terletak di dalam kawasan Parlimen Kuala Krau dapat dihubungi terus melalui jalan raya serta menerima bekalan elektrik dan air bersih. Penduduk kampung yang sebelum ini bergantung hidup dengan mencari hasil hutan kini sudah berubah apabila melakukan pekerjaan sebagai penoreh getah dan menyertai tanah berkelompok kelapa sawit di bawah RISDA. Mereka turut disediakan rumah yang lebih selesa sehingga berupaya 'keluar' daripada amalan tradisi berpindah-randah sebagaimana dilakukan oleh nenek moyang mereka dahulu. Dilengkapi peralatan elektrik seperti televisyen dan komputer di dalam rumah, kemudahan itu membuktikan mereka menerima arus pembangunan untuk terus maju pada masa depan. Tok Batin kampung itu, Rasib Ali mengakui penduduk mengalami pengaruh luar yang ketara kerana ada telah memeluk Islam dan memiliki peralatan elektrik di rumah masing-masing. Katanya, kerajaan telah meluluskan kawasan tanah tradisi Orang Asli kira-kira 300 hektar membabitkan kawasan perkampungan dan ladang sebagai sumber ekonomi penduduk. Menurutnya, sebanyak 20 rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) akan dibina tahun ini hasil sumbangan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. "Penduduk kampung ini adalah penyokong kuat Barisan Nasional (BN) dan UMNO sejak dahulu lagi dan tidak membenarkan mana-mana parti pembangkang bertapak disini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin. Rasib berkata, kedatangan 'orang besar' ke kampung itu membawa berita baik kerana penduduk akan menerima manfaat seperti penyampaian dividen Tanam Semula Berkelompok (TSB) dan bantuan pertanian. Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu, Sarip Ngel, 40, pula berkata, kehidupan masyarakat Orang Asli di sini mendapat pembelaan sewajarnya daripada pemimpin tempatan. Katanya, usaha menaik taraf Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) oleh kerajaan memberi impak baru terhadap usaha membina masyarakat Orang Asli lebih berdaya saing dan maju seiring dengan kemajuan negara. Bagi rakannya, Jantan Budin, 41, pemimpin dan kakitangan kerajaan bukan hanya meninjau keadaan kampung itu pada musim pilihan raya tetapi pada hari-hari lain untuk mengikuti perkembangan kehidupan masyarakatnya.
"Kehadiran mereka pada setiap masa membuktikan kerajaan prihatin dengan masyarakat Orang Asli di kampung ini," katanya. Bagi Norasiah Mohamad Zabri, 27, kehidupan masyarakatnya akan bertambah baik pada masa depan berikutan perhatian istimewa diberikan kerajaan untuk memastikan taraf kehidupan mereka bertambah baik. Katanya, kesediaan kerajaan membelanjakan RM1 juta bagi menyediakan klinik bergerak 1Malaysia di kampung itu membuktikan kerajaan prihatin dengan kesihatan mereka. Azura Awang, 37, pula berkata, wanita Orang Asli juga tidak ketinggalan dalam memainkan peranan untuk mengubah cara hidup masyarakat di kampung itu. Tambahnya, antara pendekatan dilaksanakan ialah menggalakkan anak-anak ke sekolah. Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara yang mewakili Orang Asli di negara ini, Senator Muhammad Olian Abdullah berkata, masyarakat kampung itu mewakili empat peratus penduduk Malaysia yang menerima pembaharuan dan permodenan. Beliau berkata, perkara itu dibuktikan apabila semakin ramai anak Orang Asli berjaya melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan luar negara serta menjawat pelbagai jawatan profesional dalam sektor awam dan swasta. Menurut beliau, jika mereka diberi peluang sepenuhnya, golongan itu mampu bersaing dalam pelbagai bidang kerana minda semua bangsa adalah sama dianugerahkan oleh Tuhan. "Bagaimanapun, masyarakat itu perlu berani menyuarakan pendapat dan hak mengikut saluran betul kerana mereka adalah penyokong setia kerajaan," katanya. Sementara itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pihaknya memperuntukkan RM9.4 juta tahun ini bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dalam meningkatkan kemajuan Orang Asli di negara ini. Beliau menjelaskan, peruntukan tersebut disalurkan melalui JKOA dengan melaksanakan projek bekalan air bersih, infrastruktur, penempatan dan aktiviti sosio ekonomi di kampung Orang Asli di seluruh negara. Menurut beliau, aktiviti sosio-ekonomi dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat itu dalam meningkatkan taraf hidup mereka. "Usaha sedang digiatkan untuk mengangkat martabat Orang Asli supaya lebih ramai golongan itu khususnya generasi muda melanjutkan pengajian ke universiti," katanya. Mohd. Shafie turut mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM200,000 untuk menaik taraf jalan kampung itu untuk kemudahan penduduk berulang-alik ke bandar berdekatan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan