Jumaat, 11 Mac 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Pengunjung lari, peniaga rugi

Posted:

Pengunjung lari, peniaga rugi

Pengunjung lari, peniaga rugi

Oleh RASMI ABDULLAH
kota@utusan.com.my


BENTENG penghadang ombak bersebelahan jalan ke Pantai Kelanang, Kuala Langat yang pecah membuatkan pengunjung dan peniaga bimbang.


KUALA LANGAT 11 Mac - Masalah hakisan dan tebing penghadang ombak yang rosak di pesisiran Pantai Kelanang di sini sejak hampir sebulan lalu membimbangkan penduduk kerana ia semakin menghampiri laluan alternatif menuju pantai berkenaan.

Penduduk mendakwa mereka diancam bahaya jika tiada tindakan segera diambil dan mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) berbuat sesuatu supaya keadaan tidak menjadi lebih parah.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati kawasan tebing yang dimaksudkan kini semakin dekat dengan laluan yang sering digunakan oleh penduduk untuk ke pantai tersebut dari Pantai Morib.

Difahamkan, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku malah ia adalah insiden ketiga selepas tebing itu dibina dan masalah dialami penduduk bertambah buruk setiap kali hujan lebat.

Lebih memburukkan keadaan apabila batu dari runtuhan tebing konkrit itu bertaburan di atas jalan menyebabkan kenderaan sukar untuk melalui jalan tersebut.

Seorang pekerja swasta, Saiful Bahari Abdul Jalil, 54, berkata, tebing berkenaan dibina untuk mengelakkan air naik ke jalan berhampiran tetapi kini struktur tebing itu tidak lagi dapat menahan limpahan air apabila hujan lebat dan air pasang.

"Saya lihat tebing ini seperti sudah hilang fungsi kerana keadaannya yang semakin hari semakin teruk menyebabkan hampir separuh jalan turut mengalami nasib sama.

"Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, pengguna terdedah kepada risiko kemalangan kerana sebahagian batu daripada hakisan tebing itu bertaburan di tengah jalan. Selain itu ia juga boleh menyebabkan kerosakan kepada kenderaan pengguna," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Seorang peniaga, Abu Saman Ahmad, 45, meminta pihak terbabit mengambil tindakan sewajarnya dengan menambak kawasan di pesisiran pantai itu bagi mengelak ia menjadi semakin teruk.

"Saya berharap kerja pembaikan atau kerja naik taraf tebing itu dilakukan dengan serius kerana tidak mahu perkara yang sama berulang.

"Oleh kerana masalah itu, pengunjung semakin berkurangan datang ke sini hingga mengakibatkan perniagaan saya semakin merudum.

"Sudahlah pantai ini kotor, ditambah pula jalan alternatif yang lebih dekat untuk ke sini pula rosak jadi bagaimana hendak tingkatkan hasil perniagaan," katanya.

Pekerja swasta, Halimah Abdul Karim, 35, pula berkata, dia khuatir sekiranya tebing itu terus dibiarkan begitu, tidak mustahil ia boleh runtuh sepenuhnya.

"Bayangkan jika ada pula kenderaan yang melalui jalan terbabit ketika itu, apa akan jadi sekiranya perkara ini benar berlaku? Siapa yang harus dipersalahkan?

"Sekiranya ia runtuh sepenuhnya, sudah tentu ia membabitkan peruntukan yang besar untuk membaik pulih pesisir pantai berkenaan. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, lebih baik bertindak segera," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Spektra tingkatkan kualiti Nadi Putra

Posted:

Spektra tingkatkan kualiti Nadi Putra

Spektra tingkatkan kualiti Nadi Putra

Oleh HAKIMI ISMAIL
kota@utusan.com.my


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mempamerkan pas bulanan bas Nadi Putra sambil diperhatikan Samsudin Osman dan pemandu bas Nur Hafiza Abd. Rani pada pelancaran Spektra di Putrajaya semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin


PUTRAJAYA 11 Mac - Sistem Pengurusan dan Kawalan Transit Awam Putrajaya (Spektra) yang mula diperkenalkan di sini dijangka mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan bas Nadi Putra dan tempat letak kereta awam.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Spektra merangkumi empat komponen utama iaitu sistem pengurusan bas, maklumat bas, tiket elektronik dan tempat letak kereta automatik.

Beliau menjelaskan, sistem pengurusan bas melibatkan pemasangan on board unit (OBU) di atas bas yang memiliki ciri-ciri sistem penentu kedudukan global (GPS) dan sistem komunikasi radio paket (GPRS) yang akan menghantar data mengenai identiti bas, pemandu, laluan operasi dan bilangan penumpang kepada Sistem Komputer Berpusat Putrajaya (PutraNet).

"Dengan terlaksananya Spektra ini, Perbadanan Putrajaya mampu menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam dan tempat letak kereta awam yang terbaik dan lebih efektif kepada masyarakat.

"Selepas ini tiada lagi alasan pengguna untuk tidak menggunakan perkhidmatan bas kerana semua kemudahan telah disediakan dengan sempurna di Putrajaya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Spektra, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman dan Pengarah Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Abd. Ghani Ahmad.

Raja Nong Chik berkata, sistem maklumat bas akan berperanan sebagai pusat kawalan yang menyalurkan maklumat jangka masa ketibaan pada skrin yang dipasang di 16 buah perhentian bas terpilih bagi membolehkan pengguna mengetahui jadual perjalanan bas.

"Sistem tiket elektronik pula akan bertindak menguruskan kutipan tambang bas secara tunai dan penggunaan pas bulanan. Kesemua transaksi akan dihantar terus kepada sistem komputer di depot bas sebelum disatukan ke dalam PutraNet.

"Sistem tempat letak kereta automatik pula akan beroperasi di pusat Park and Ride (P&R) bagi mengendalikan bayaran secara tunai dan penggunaan pas bulanan secara harian dan bermalam pada kadar bayaran yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik memberitahu, pelaksanaan Spektra menelan belanja RM17 juta dengan 115 buah bas telah dilengkapi sistem tersebut.

Sementara itu, katanya, kementeriannya akan menilai tahap keberkesanan Spektra Putrajaya sebelum diperluaskan ke ibu negara.

"Jika ia berkesan dan mampu menarik lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan bas, kami akan menggunakan aplikasi yang sama di ibu negara," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Projek sambung LRT meningkat

Posted:

Projek sambung LRT meningkat

Projek sambung LRT meningkat

KUALA LUMPUR 11 Mac - Kerja permulaan untuk penyambungan trek sistem transit aliran ringan (LRT) kini telah mencapai 15 peratus untuk aliran Kelana Jaya, manakala 20 peratus bagi aliran Ampang.

Pengarah Kumpulan Divisyen Infrastruktur Syarikat Prasarana Nasional Berhad (SPNB), Zulkifli Mohd. Yusoff (gambar) berkata antara kerja-kerja yang sedang dilakukan ialah memindahkan peralatan utiliti dari tapak laluan trek ke tempat lain.

"Kerja pembinaan projek sambungan aliran Kelana Jaya dan Ampang dijangka akan meningkat pada penghujung Mac, dengan permulaan kerja-kerja struktur, tertakluk kepada kelulusan dari kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Kerja pembinaan terbahagi kepada tiga komponen, iaitu kerja permulaan, fasiliti dan sistem. Sehingga kini, kerja permulaan sedang dilakukan di kedua-dua aliran itu,

"Ini termasuk memindahkan kabel telekomunikasi, kabel voltan tinggi (bawah tanah) Tenaga Nasional Berhad, talian-talian penghantaran voltan tinggi, paip-paip saluran air utama dan paip pembetungan, serta paip-paip (utiliti) lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media mengenai projek penyambungan landasan LRT aliran Kelana Jaya dan Ampang di Menara UOA, Bangsar, di sini hari ini.

Zulkifli berkata, hampir 15 peratus kerja permulaan untuk aliran Kelana Jaya dan 20 peratus kerja untuk aliran Ampang sudah pun siap.

Namun, pemilikan tapak untuk penempatan semula Gas Malaysia masih tergantung disebabkan proses pengambilan tanah.

"Untuk kerja fasiliti pula, pemilikan tapak untuk aliran Kelana Jaya dan Ampang berjalan pada 20 Januari dan 23 Februari lalu.

"Bagaimanapun, kerja pembinaan secara fizikal dijangka bermula pada penghujung bulan ini bergantung pada kelulusan untuk arahan pembangunan dan permit kerja oleh pihak berkuasa tempatan," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, pertambahan trek untuk aliran Kelana Jaya melibatkan laluan sepanjang 17 kilometer, manakala aliran Ampang pula 17.7 kilometer.

Tambahnya, pertambahan pada aliran tersebut melibatkan 13 stesen bagi bagi kedua-dua aliran yang akan berakhir di Putra Heights.

Zulkifli juga berkata, SPNB yakin bajet sebanyak RM7 bilion untuk projek penyambungan landasan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dan Ampang adalah mencukupi.

Ketika ini, ujarnya, pihaknya sudah memiliki RM2 bilion dan kini mereka sedang berusaha mengumpul jumlah selebihnya.

Katanya, bajet tersebut adalah untuk projek pembinaan LRT sahaja, manakala untuk bas pula mempunyai bajet yang berbeza.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan