Utusan Online - Kota |
Posted: Peniaga bimbang diketepikanOleh ROSLAH OTHMAN KAWASAN Pasar Baru Bukit Bintang antara yang akan dibangunkan di bawah Rancangan Pembangunan Greater Kuala Lumpur, untuk dibangunkan sebagai Kuala Lumpur International Financial District. – UTUSAN/Nooradzrene Mohd. Noor KUALA LUMPUR 9 Mac – Peniaga di Pasar Baru Bukit Bintang tertanya-tanya akan nasib mereka berikutan terdapat laporan yang menyatakan bahawa kawasan tersebut sudah diambil alih dan akan dimajukan. Kata mereka, peniaga di situ tidak menghalang pembangunan yang mahu dilaksanakan tetapi biarlah mereka diberikan penjelasan dan mendapat pembelaan sewajarnya. Seorang peniaga, Rumiyah Abdul Rahim, 59, yang sudah lebih 20 tahun berniaga nasi lemak di situ berkata, persoalannya adalah mereka akan kekal di situ atau dipindahkan. "Sebagai antara peniaga paling lama di sini, perasaan sedih tentu ada jika perkara itu benar-benar terjadi. "Ramai peniaga mencari makan di sini dan kami juga ada pelanggan tetap yang sudah tentu memberi kesan tersendiri kepada kami," ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Di bawah Rancangan Pembangunan Greater Kuala Lumpur, syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memperoleh tanah seluas 105 ekar di Jalan Imbi pada harga RM2,000 sekaki persegi untuk dibangunkan sebagai Kuala Lumpur International Financial District. Selain Pasar Baru Bukit Bintang, kawasan-kawasan lain yang terlibat termasuk Pasar Rakyat, sebuah stesen bas, Village Food Court, tempat letak kereta serta pinggiran Jalan Barat dan Jalan Davis. Pandangan sama turut dilontarkan oleh Sanjit Singh, 42, yang mengakui desas-desus mengenai kawasan itu bakal dibangunkan sudah kedengaran sejak lima tahun lalu. Katanya, dia juga tidak menolak sebarang pembangunan di situ tetapi berharap pihak bertanggungjawab tidak meminggirkan mereka. "Pihak bertanggungjawab perlu memberi penjelasan tentang perkara ini bagi mengelakkan perkara ini terus menjadi bualan dan pelbagai spekulasi dibuat oleh banyak pihak," ujarnya. Dalam pada itu, pemilikan tanah tersebut telah mengundang beberapa kontroversi termasuk dakwaan pengusiran peniaga di gerai makan di Pasar Rakyat yang terletak bersebelahan Pasar Baru Bukit Bintang. Peniaga mendakwa mereka cuba ditipu apabila diberikan notis pengusiran dalam bulan sama mereka menandatangani satu perjanjian pajakan dengan pihak pengurusan gerai itu. Notis yang dikeluarkan pada akhir Januari lalu itu mengarahkan 30 penjaja keluar sebelum 30 April tanpa ditawarkan sebarang pampasan atau rancangan penempatan semula. Lebih mengecewakan, penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga mendakwa didesak agar membayar sewa bagi bulan Mac dan April sedangkan notis yang diterima mereka mengecualikan sewaan selama dua bulan tersebut. Dalam pertemuan antara peniaga dan penjaja yang terlibat itu, mereka mendesak pihak yang bertanggungjawab menjelaskan status kawasan tersebut. Mereka juga sudah mengatur strategi sebagai persediaan sebelum perkara itu benar-benar berlaku terutama meminta tiga perkara utama dipertimbangkan. Pertama, kekalkan lokasi asal pasar tersebut jika keadaan mengizinkan dan jika perlu ditempatkan semula, lokasinya hendaklah di kawasan berhampiran. Kedua, jika peniaga diarah berpindah, pihak pemaju perlu menanggung kos keseluruhan berpindah dan ketiga, meminta pihak pemaju menyediakan lebih banyak tempat letak kereta kepada pelanggan pasar berkenaan. Pada pertemuan itu, lima peniaga dan penjaja dilantik bagi mewakili Pasar Baru Bukit Bintang dan Pasar Rakyat dalam memperjuangkan hak dan nasib peniaga. Sementara itu, jurucakap 1MDB ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi tujuan penempatan semula penduduk dan perniagaan di tapak yang bakal dibangunkan itu. "Ini termasuklah dengan pihak pengurusan Pasar Rakyat dan juga dengan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,'' ujar jurucakap itu. Tambahnya, pihak 1MDB sentiasa komited dalam memastikan penempatan semula penduduk dan peniaga dilaksanakan dengan adil dan saksama. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: KDN guna khutbah JumaatOleh ILAH HAFIZ AZIZ KUALA LUMPUR 9 Mac - Khutbah Jumaat akan dijadikan pendekatan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendidik masyarakat terhadap bahaya menonton filem yang belum mendapat kelulusan. Ketua Cawangan Bahagian Kawalan Filem KDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Noraziah Abdullah memberitahu, kesemua masjid di sekitar ibu negara, Labuan serta Putrajaya akan memasukkan unsur pendidikan itu dalam khutbah Jumaat pada 1 April depan. "Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menyediakan teks khutbah Jumaat itu yang akan dibaca pada bulan depan. "Pendekatan ini merupakan antara kesungguhan pihak berkuasa bagi mendidik masyarakat tentang bahaya filem yang mampu merosakkan moral dan agama mereka," katanya ketika sidang akhbar operasi rampasan filem tanpa penapisan sepanjang tahun 2010 di sini hari ini. Tambah beliau, KDN turut bekerjasama dengan Pertubuhan Belia Kristian (YMCA) bagi tujuan tersebut malah pendekatan itu diperluaskan lagi kepada persatuan Hindu Sanggam serta persatuan Buddha. Dalam perkembangan sama, Noraziah memaklumkan, sejumlah 472,806 tajuk filem dirampas oleh bahagian itu tahun lalu kerana tidak mempunyai Sijil Perakuan B iaitu filem tidak ditapis sebelum dipasarkan. Awal tahun ini sahaja, sebanyak 48,190 barangan kes telah dirampas termasuk filem lucah di empat zon Kuala Lumpur iaitu di Dang Wangi, Sentul, Brickfields serta Cheras. "Dang Wangi jelas mempunyai premis paling banyak menjalankan kegiatan ini tetapi zon Cheras merupakan kawasan paling membimbangkan," jelasnya. Oleh itu, usaha pemutihan kawasan di sekitar Kuala Lumpur sedang giat dijalankan dengan sasaran lima peratus berjaya dilakukan tahun ini. "Program pemutihan akan dijalankan dengan lebih serius di setiap kawasan yang membimbangkan kerana penyebaran filem tanpa penapisan amat berbahaya dan perlu ditangani sebelum ia bertambah serius," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Penduduk buat laporan polisAMPANG 9 Mac - Akibat tidak tahan lagi dibelenggu dengan pelbagai masalah, penduduk Pangsapuri Pandan Perdana 700 bertindak membuat laporan polis terhadap pihak pengurusan pangsapuri tersebut, semalam. Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi Persatuan Penduduk dan Kebajikan Pandan Perdana 700, S. Thiruchelvan, mewakili penduduk Blok B dan C yang mengalami masalah kerosakan lif dan ketiadaan bekalan air sejak empat hari lalu. Menurut Thiruchelvan, penduduk telah pun memaklumkan masalah tersebut kepada pihak pengurusan sejak Ahad lalu, namun tiada tindakan diambil. Sebaliknya, kata beliau, pihak pengurusan memberi pelbagai alasan apabila ditanya bila masalah tersebut akan diselesaikan. "Mereka mendakwa bahawa kerja-kerja penyelenggaraan akan dibuat, namun sehingga kini tidak ada sesiapa pun daripada pihak pengurusan yang datang," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pangsapuri Pandan Perdana 700, Pandan Perdana di sini hari ini. Thiruchelvan berkata, penduduk yang sudah tidak tahan lagi telah mengambil inisiatif sendiri dengan mengumpul duit sebanyak RM20 daripada penghuni blok itu bagi membaiki kerosakan tersebut. "Kami membayar yuran penyelenggaraan sebanyak RM40 setiap bulan tetapi apabila masalah begini timbul, mereka tidak ambil peduli," katanya. Sementara itu, Pegawai Perhubungan dan Kebajikan kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat, R. Chandran berkata, penduduk pangsapuri itu telah datang untuk meminta bantuan. Katanya, beliau akan berusaha mencari penyelesaian termasuk membawa penduduk berjumpa dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pagi ini. "Dalam perjumpaan itu, MPAJ meminta masa satu hari untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya yang berharap MPAJ akan mengotakan janjinya. Dalam pada itu, seorang penduduk, Umar Abdul Rahman, 47, berkata, masalah tiada bekalan air dan kerosakan pada lif telah menyukarkan kehidupan harian penduduk di situ. "Sudahlah terpaksa menggunakan tangga, mereka juga terpaksa mengangkut air naik ke rumah. Kalau tidak ada air, bagaimana hendak meneruskan aktiviti harian," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan