Utusan Online - Kota |
Posted: D'Tebing makin tenggelamOleh ROSLAH OTHMAN
KUALA LUMPUR 2 Mac – Berbekalkan keyakinan bahawa masih ada sinar untuk mereka, peniaga di Medan Selera D'Tebing berhampiran Dataran Merdeka di sini memilih untuk terus berniaga walaupun sambutan pelanggan sangat mengecewakan. Mereka menyedari masalah kekurangan tempat letak kereta menjadi punca medan selera itu sepi walaupun lokasinya sangat strategik dan pemandangannya begitu menarik. Lebih dikesalkan oleh peniaga ialah apabila pihak yang diharapkan untuk membantu iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa seperti mengambil sikap terus berdiam diri. Pihak berkuasa tempatan itu didakwa kurang prihatin biarpun beberapa aduan dikemukakan terutama berkaitan kerja-kerja penyenggaraan bangunan di situ. Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati dakwaan para peniaga di situ ada kebenarannya. Ini kerana persekitaran medan selera ini agak kurang menarik dan suram sedangkan ia baru sahaja dinaik taraf beberapa tahun lalu. Selain pokok-pokok tidak dicantas, kolam takungan air pancutan di situ juga yang didakwa tidak pernah dibersihkan sekali gus mencetuskan persekitaran kurang selesa dan selamat. Tinjauan mendapati keadaan kemudahan awam seperti surau dan tandas awam juga berada dalam keadaan kurang memuaskan. Seorang peniaga, Asmidar Abu Bakar, 17, berkata, keadaan itu memberi gambaran kepada orang ramai seolah-olah medan selera itu sudah tidak beroperasi. Namun, bagi meneruskan kesinambungan perniagaan milik bapanya itu, dia enggan menyerah kalah dan akan terus berusaha. Katanya, selain cuba mempelbagaikan hidangan, pelbagai tarikan lain turut dilakukan termasuk menawarkan harga rendah kepada pelanggan. "Memandangkan kebanyakan pelanggan tetap terdiri daripada pekerja dan kakitangan pejabat dan bank berhampiran, harga yang kami kenakan jauh lebih murah berbanding gerai lain di ibu negara. "Kami tidak ada pilihan kerana jika faktor harga tidak menjadi tarikan utama, sudah tentu gerai kami tidak dikunjungi pelanggan," ujarnya. Dakwanya, ketika medan selera itu mula-mula beroperasi, sambutan begitu menggalakkan, namun akibat tiada pemantauan berterusan daripada pihak bertanggungjawab, medan selera itu seolah-olah mati. Azura Abu Bakar, 26, pula berkata, kerosakan lampu yang tidak diperbaiki juga menyulitkan peniaga untuk melanjutkan operasi perniagaan mereka pada waktu malam. Bagaimanapun, katanya, demi memastikan perniagaan dapat diteruskan, peniaga terpaksa menggunakan wang sendiri bagi menggantikan lampu yang rosak. "Peniaga di sini juga terpaksa meningkatkan sistem keselamatan di gerai masing-masing kerana banyak kes kecurian dan pecah masuk melalui bumbung berlaku, dipercayai dilakukan penagih dadah," ujarnya. Katanya, keadaan itu turut menjadi punca ada sesetengah peniaga yang meninggalkan perniagaan mereka kerana tidak sanggup terus menanggung kerugian. Ayob Deraman, 52, pula berkata, mempunyai pelanggan tetap serta lokasi strategik medan selera yang terletak di tengah-tengah pusat bandar raya itu menjadi salah satu faktor dia masih bertahan di situ. Katanya, bukan menidakkan tugas yang dilakukan DBKL sebelum ini, namun apa yang diharapkan pihak berkenaan lebih bertanggungjawab dan prihatin dengan nasib peniaga di situ. "Saya melihat ketiadaan papan tanda di laluan masuk menuju ke kawasan medan selera ini menyebabkan pelanggan tidak mengetahui kewujudan medan selera ini," ujarnya. Sementara itu, seorang pelanggan, Rahman Ishan, 40, berpendapat, medan selera itu tidak wajar diabaikan oleh pihak berkuasa kerana ia terletak di kawasan strategik. "Ia terletak di tengah-tengah pusat bandar dan sekiranya medan selera ini dapat diserikan, sudah tentu ia menjadi salah satu lokasi menarik untuk menjamu selera dan bersantai," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Polis KL guna papan iklan banteras jenayah Posted: Polis KL guna papan iklan banteras jenayahKUALA LUMPUR 2 Mac - Polis akan menggunakan papan iklan untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya jenayah dan langkah-langkah untuk mencegahnya daripada berlaku. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, papan iklan tersebut akan mula dipasang di tepi jalan dan lokasi tumpuan utama orang ramai sebelum sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 pada 25 Mac ini. Beliau berkata, papan iklan itu akan memberi kesedaran dan mengingatkan masyarakat tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak atau mengurangkan jenayah. "Sebagai contoh, salah satu paparan di papan iklan ini adalah mengenai kecurian motosikal atau cubaan mencuri motosikal. "Kita akan tunjukkan di iklan ini, gambar motosikal dalam keadaan mempunyai kunci pendua dan kunci yang berantai. "Satu lagi ialah gambar motosikal yang dibiarkan begitu sahaja. Daripada paparan ini, kita akan tunjuk bagaimana penjenayah mudah untuk mengambil motosikal tidak berkunci dan meminta mereka yang melihat kejadian itu supaya menghubungi polis," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa temuramah khas sempena Peringatan Hari Polis Ke-204 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam. Menurut Zulkifli, papan iklan tersebut tidak banyak menggunakan perkataan tetapi memaparkan gambar yang memudahkan orang ramai memahami apa yang berlaku dan perlu dilakukan. Tambahnya, pemasangan iklan tersebut merupakan antara kempen kesedaran yang dilancarkan oleh Polis Kuala Lumpur untuk memerangi jenayah pada tahun ini. "Kempen ini kita akan lakukan bersama dengan syarikat-syarikat tertentu. "Kita sudah menghubungi dan berjumpa beberapa syarikat yang bersetuju untuk menaja papan iklan terbabit sebagai salah satu sumbangan dan tanggungjawab sosial mereka," ujarnya. Dalam pada itu, Zulkifli berkata, usaha bersungguh-sungguh memerangi jenayah yang dijalankan oleh pihaknya berjaya menurunkan jenayah indeks sebanyak 38 peratus pada tahun lalu. Beliau berkata, trend penurunan terus berlaku dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini apabila jenayah indeks menurun kepada 3.5 peratus, manakala jenayah jalanan kepada 5.5 peratus. "Matlamat kita adalah mencapai sasaran menurunkan jenayah indeks lebih daripada 5 peratus dan jenayah jalanan 20 peratus pada tahun ini," katanya sambil memberitahu beliau percaya dengan pelaksanaan program-program yang diatur, sasaran itu tiada masalah untuk dicapai. Selain itu, Zulkifli berkata, pihaknya menumpukan perhatian kepada jenayah jalanan iaitu ragut, samun dan pecah rumah kerana jenayah terbabit menimbulkan ketakutan kepada masyarakat. Katanya, ini kerana ada kes mangsa ragut sebelum ini mengalami kecederaan dan meninggal dunia akibat kecederaan berpunca daripada kejadian tersebut. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: DBKL tidak masuk campurOleh NUR NAZLINA NADZARI KUALA LUMPUR 2 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan masuk campur dalam pertikaian antara penduduk dengan pemaju kawasan Estet Batu. Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata, pihaknya akan membiarkan perkara itu diselesaikan oleh kedua-dua pihak itu di mahkamah. Bagaimanapun, menurutnya, sementara menantikan perkara itu diselesaikan, penduduk meminta DBKL tidak menggunakan Ordinan Darurat 1969 untuk merobohkan rumah-rumah penduduk di situ. Katanya, DBKL bersetuju dengan permintaan penduduk itu dan tidak akan ada kerja-kerja meroboh yang dijadualkan esok sehingga perkara itu diselesaikan antara kedua-dua pihak yang terlibat. "Kita sudah minta penduduk Estet Batu untuk berbincang dengan pemaju, Mayland Development Sdn. Bhd. untuk menyelesaikan perkara ini. "DBKL tidak akan masuk campur sehingga kami mendapat perintah pengusiran," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan penduduk Estet Batu di sini semalam. Sebelum itu, kira-kira 30 orang penduduk Estet Batu berkumpul di pekarangan ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut sejak daripada pukul 10.30 pagi dan nekad untuk mengadakan mogok lapar jika DBKL gagal memberi sebarang maklum balas. Bantahan itu adalah kali kedua diadakan selepas kali pertama pada Jumaat minggu lalu. Sementara itu, seorang penduduk, R. Vijayaveeran, 34, berkata, dia gembira dengan janji yang diberikan oleh DBKL itu. Menurutnya, DBKL sudah pun berjanji untuk tidak masuk campur dalam masalah itu dan akur dengan permintaan penduduk untuk menyelesaikannya di mahkamah. "Kami akan tunggu pemaju mendapatkan perintah pengusiran dan kemudian kami akan menggunakan peguam untuk melawan mereka," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan