Khamis, 3 Mac 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Orang ramai cadangankan bayar saman trafik secara beransur-ansur

Posted:

Orang ramai cadangankan bayar saman trafik secara beransur-ansur

Orang ramai cadangankan bayar saman trafik secara beransur-ansur

KUALA LUMPUR 2 Mac - Orang ramai meminta polis membenarkan saman tertunggak dibayar secara beransur-ansur bagi membolehkan pesalah lalu lintas, terutama golongan berpendapatan rendah melangsaikan kesemua saman mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, walaupun orang ramai gembira dengan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh bayaran saman berdiskaun selama 10 hari lagi, namun bagi mereka yang makan gaji, jumlah wang yang diperoleh setiap bulan adalah tetap dan tidak memungkinkan mereka membayar jumlah saman yang besar secara sekali gus.

Pekerja am, Khairul Hasan Abdullah Hasan, 35, berkata, bukan semua pesalah lalu lintas berupaya melunaskan saman kerana terdapat pelbagai faktor yang membuatkan mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk berbuat demikian.

"Kekurangan wang adalah masalah utama yang menghalang golongan berpendapatan rendah daripada membayar saman. Gaji yang rendah ditambah lagi bilangan ahli keluarga yang ramai untuk ditanggung membuatkan seseorang itu mengetepikan saman yang diterima.

"Kerajaan harus memikirkan beberapa kaedah lain selain saman berdiskaun untuk meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan ini seperti membenarkan bayaran secara beransur-ansur," katanya.

Seorang pelajar, Nurazlina Abdullah, 20, turut mencadangkan perkara yang sama kerana berasakan ia mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung pesalah yang tidak berkemampuan membayar saman.

"Sistem pembayaran secara beransur-ansur ini harus diguna pakai dalam sistem baru yang berkuat kuasa semalam kerana ia adalah satu cara untuk mendorong pesalah lalu lintas membayar saman.

"Lihat sahaja jumlah saman tertunggak yang masih belum dibayar. Bayangkan jika 17.3 juta saman itu habis dibayar, sudah tentu jutaan ringgit akan diraih kerajaan," katanya.

Pekerja swasta, L. Siva, 32, berkata, kerajaan harus mengkaji semula tempoh dua bulan yang diberikan untuk pemandu menjelaskan saman sebelum kes dibawa ke mahkamah kerana bukan semua pesalah berupaya melunaskan saman dalam tempoh itu.

"Saya bersetuju dengan kaedah saman berdiskaun tapi yang mungkin menjadi masalah ialah tempoh dua bulan yang diberi itu.

"Lebih baik sekiranya tempoh itu ditambah sebulan lagi supaya semua pihak berpuas hati dengan perkara ini selain dibenarkan membayar secara beransur-ansur," katanya.

Dalam pada itu pesara kerajaan, Yazid Mohamad, 64, berkata, tindakan menyenarai hitam harus dilakukan terhadap pesalah lalu lintas yang enggan membayar saman serta tidak berusaha untuk melunaskannya.

"Daripada apa yang kita boleh lihat beberapa hari yang lalu, ramai yang berusaha untuk menjelaskan saman mereka.

"Tempoh yang berakhir kelmarin menyebabkan ramai tidak berkesempatan melunaskan saman. Mereka harus diberi peluang untuk berbuat demikian," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lagi desakan batal keputusan bawa masuk pekerja India

Posted:

Lagi desakan batal keputusan bawa masuk pekerja India

Lagi desakan batal keputusan bawa masuk pekerja India

KUALA LUMPUR 2 Mac - Kerajaan digesa membatalkan serta-merta keputusan untuk membawa masuk 45,000 pekerja dari India bagi mengisi kekurangan tenaga kerja kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan negara.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, keputusan itu akan meningkatkan lagi jumlah pekerja asing di negara ini sekali gus membangkitkan masalah berkaitan keselamatan.

Selain itu beliau berkata, ia juga boleh menyebabkan konflik antara mereka dan penduduk setempat ekoran berlakunya pertembungan budaya.

"Kita khuatir kemasukan beramai-ramai pekerja asing akan menyebabkan kehidupan masyarakat kita semakin tidak tenteram kerana berlaku pertembungan budaya dengan penduduk tempatan.

"Apatah lagi jika jumlah mereka semakin ramai. Apabila sudah semakin ramai dibimbangi kedudukan mereka di negara ini menjadi semakin tidak terkawal. Jika ini yang berlaku, ia boleh menyebabkan berlaku masalah keselamatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam mengumumkan kerajaan meluluskan pengambilan 45,000 pekerja dari India bagi membantu Persatuan Peniaga-peniaga India Malaysia mengisi kekurangan tenaga kerja.

Permintaan tersebut berikutan pihak pengusaha mendakwa gagal mendapatkan tenaga kerja tempatan kerana keengganan mereka untuk bekerja dalam sektor-sektor yang ditawarkan oleh persatuan.

Ekoran kenyataan tersebut, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mahu kerajaan mengkaji dan memperhalusi semula keputusan itu kerana dikhuatiri ia boleh membawa kesusahan kepada rakyat dan negara.

Kamaruddin berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat sebelum mengambil sebarang keputusan berkaitan pengambilan pekerja asing.

"Memang tidak dinafikan Malaysia merupakan antara negara yang menjadi pilihan bagi pekerja-pekerja asing tetapi kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kebenaran kepada mereka untuk masuk ke negara ini," katanya lagi.

Mengenai jalan penyelesaian terhadap isu tersebut beliau berkata, keutamaan hendaklah diberikan kepada penduduk tempatan.

Malangnya jelas beliau, sehingga kini pihak industri yang berkehendakkan pekerja dilihat tidak bersungguh-sungguh mendapatkan pekerja tempatan hingga menyebabkan ramai rakyat negara ini menganggur.

"Sebenarnya mereka mahu mengurangkan kos dan sebab itu mereka sanggup menggaji pekerja asing. Pekerja-pekerja tempatan langsung tidak diberi peluang untuk bekerja dengan mereka," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Remaja 13 tahun terjatuh dari tingkat 10 selamat

Posted:

Remaja 13 tahun terjatuh dari tingkat 10 selamat

Remaja 13 tahun terjatuh dari tingkat 10 selamat


Lokasi kejadian remaja 13 tahun jatuh dari bangunan tingkat 10 kuarters polis di Taman Miharja, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. - ihsan China Press


KUALA LUMPUR 2 Mac - Bumbung papan sebuah surau menjadi penyelamat nyawa seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang hanya patah kaki kanan dan tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 10 kuarters kediaman polis di Taman Miharja, Cheras di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa yang merupakan anak kepada anggota polis berpangkat koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, terselamat apabila segera dibawa oleh penduduk ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan baru sahaja pulang dari sekolah sebelum mendapati ibu bapanya tiada di rumah.

"Remaja berkenaan dikatakan cuba memasuki rumahnya dengan memanjat melalui koridor apabila mendapati pintu rumahnya berkunci.

"Dia nekad memanjat koridor untuk memasuki rumahnya melalui pintu dapur namun malang sekali, dia tergelincir dan terus jatuh di atas bumbung surau yang diperbuat daripada papan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, remaja tersebut terjatuh ke dalam surau dan mengalami kecederaan patah kaki kanan dan tangan kiri.

Katanya, kejadian itu disedari penduduk kuarters berkenaan yang kemudian bertindak pantas membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Mohan Singh berkata, sehingga berita ini ditulis, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Mangsa terselamat daripada maut kerana terjatuh di atas bumbung papan sebelum terhempas ke dalam surau.

"Jika dia terus terhempas ke atas lantai, mangsa mungkin mengalami kecederaan lebih teruk daripada patah kaki kanan," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan