Utusan Online - Dalam Negeri |
- 'Kerajaan kotakan janji'
- Pengumuman menarik PM, TPM
- Abu Kassim individu keempat paling berpengaruh dunia etika perniagaan
Posted: 'Kerajaan kotakan janji'Oleh ZULKIFLI JALIL
JASIN 28 Feb. - Kerajaan hari ini mengotakan janjinya dengan memberi ganjaran Anugerah Tawaran Baru serta-merta sebanyak RM7,500 seorang kepada 586 guru besar sekolah rendah yang mencapai prestasi cemerlang dalam membangunkan kualiti murid dan sekolah, melibatkan peruntukan RM18.4 juta. Sebanyak 12,141 guru yang mencatat prestasi serupa di semua sekolah berkenaan turut menikmati ganjaran RM1,800 seorang, manakala guru selebihnya menerima RM900 seorang. Mengumumkan demikian di SMK Tun Syed Zahiruddin, Merlimau di sini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut membawa khabar gembira kepada 2,800 kakitangan sokongan di semua 586 sekolah berkenaan. Ini kerana mereka juga akan menerima ganjaran meskipun pada peringkat awal kategori itu tidak dimasukkan dalam skim Tawaran Baru. Ganjaran untuk para pengetua sekolah menengah pula dijangka diumumkan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keluar pada minggu ketiga bulan depan, mungkin pada April atau Mei ini. "Untuk Anugerah Tawaran Baru hari ini, oleh kerana ia turut melibatkan kakitangan sokongan, peruntukan keseluruhan dijangka melebihi RM18.4 juta. "Kerajaan tiada halangan untuk menambah peruntukan tersebut dan saya telah maklumkan kepada Perdana Menteri jika sasaran selepas ini mencecah sehingga 17 peratus layak pun kita akan bayar. "Takkan kita nak tunggu hingga 2012 atau 2013 baru nak bayar," kata beliau. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, daripada 586 sekolah berkenaan, 437 atau 74.3 peratus merupakan penerima daripada sekolah-sekolah luar bandar. Malah, kata beliau, ia turut melibatkan guru besar daripada sekolah-sekolah SK (Asli), SK (Khas)dan SR Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Daripada keseluruhan bilangan sekolah rendah yang berada dalam senarai kedudukan (ranking), 193 (2.53 peratus) adalah sekolah yang mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 84 peratus. Manakala, 138 (1.81 peratus) sekolah pula yang berjaya melonjakkan kedudukan sekurang-kurangnya sebanyak 2,050 tempat dan 257 (3.37 peratus) adalah sekolah yang berjaya meningkatkan skor komposit sekurang-kurangnya 6.3 peratus. "Sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran pada penilaian 2010 ialah sebanyak dua peratus. "Namun demikian, pencapaian sebenar bagi tahun penilaian 2010 di luar jangkaan kita sehingga mencapai 7.7 peratus. Ini antara lain disebabkan oleh peningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan tahap pengajaran dan pembelajaran guru," kata beliau. Dalam hal ini, Muhyiddin berkata, pemimpin sekolah yang berada dalam kelompok pertengahan atau tidak menepati sasaran iaitu tidak mencapai sasaran komposit melepasi 84 peratus untuk sekolah rendah atau sekolah yang tidak mengalami lonjakan dari aspek kedudukan juga tidak diabaikan. Ini kerana, kata beliau, kementerian akan memastikan guru besar terbabit diberi peluang mengikuti kursus penambahbaikan berdasarkan keperluan masing-masing dan diberikan bimbingan dari semasa ke semasa. Kata Timbalan Perdana Menteri: "Sesungguhnya ganjaran Anugerah Tawaran Baru ini tidak sedikit pun dapat membayar jasa dan budi yang telah ditaburkan mereka. "Hanya Allah sahajalah kita serahkan bagi membalas kesungguhan, komitmen dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh para pemimpin sekolah dan guru-guru. "Anggaplah penganugerahan ini sebagai titik mula untuk kita menggapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan." | ||
Posted: Pengumuman menarik PM, TPMOleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan HASHNAN ABDULLAH PUTRAJAYA 28 Feb. - Rakyat di seluruh negara bakal mendengar pelbagai pengumuman menarik oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedua- dua pemimpin tertinggi negara itu turun padang melawat ke semua negeri mulai bulan depan. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tujuan utama penganjuran program tersebut sememangnya untuk memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat secara lebih dekat. Beliau berkata, pelaksanaan program tersebut hasil daripada pertemuan Perdana Menteri bersama ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan ketua-ketua UMNO Bahagian sebelum ini. "Sebelum ini, kita sudah melakukan pendekatan melalui program Walkabout dan kali ini, kita akan tengok Perdana Menteri dan timbalannya bergerak secara serentak ke negeri-negeri. "Kita jangka program ini dapat diselesaikan menjelang Jun dan selepas itu, kita akan bincang balik bagaimana hendak meneruskannya," katanya. Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Turun ke Negeri-negeri, di sini hari ini. Hadir sama dua lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Najib dan Muhyiddin akan memulakan sesi lawatan secara bersama bermula dengan Sarawak pada 18 dan 19 Mac ini sebelum kedua-duanya melakukan lawatan berasingan ke negeri-negeri lain. Sehubungan itu, Hishammuddin memberitahu, sebagai Naib Presiden parti, beliau bersama dua lagi rakan sejawatnya bertekad untuk membantu merealisasikan harapan, aspirasi dan hasrat pucuk pimpinan terhadap rakyat. "Inisiatif ini diharap dapat menyentuh hati rakyat dan sekali gus misi, harapan dan janji kerajaan dapat diterjemahkan sebagai bukti kesungguhan dan komitmen parti," katanya. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, lawatan tersebut akan membolehkan Perdana Menteri dan timbalannya melihat sendiri keberkesanan semua program yang telah dirancangkan dan dijanjikan dilaksanakan. Mohd. Shafie pula berkata, kesanggupan pemimpin nombor satu negara untuk turun padang menunjukkan program transformasi politik yang diumumkan sebelum ini bukan sekadar satu gagasan sahaja. "Pelaksanaannya yang menjadi keutamaan supaya tidak ada pihak boleh memanipulasikan usaha kerajaan selama ini," katanya. | ||
Abu Kassim individu keempat paling berpengaruh dunia etika perniagaan Posted: Abu Kassim individu keempat paling berpengaruh dunia etika perniagaanKUALA LUMPUR 28 Feb. - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed disenaraikan sebagai individu keempat daripada 100 orang paling berpengaruh dalam dunia etika perniagaan sepanjang tahun lalu. Portal berita Ethisphere yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS) pada 31 Januari lalu, menyenaraikan 100 individu paling berpengaruh di seluruh dunia berdasarkan penilaian lapan kategori. Abu Kassim diletakkan sebagai individu keempat paling berpengaruh bagi kategori kerajaan dan amalan peraturan kerana usaha beliau memerangi rasuah bersama negara jiran di Asia Tenggara. Tujuh lagi kategori ialah kepimpinan pemikir; kepimpinan perniagaan; budaya korporat; pelaburan dan penyelidikan; reka bentuk dan kemampanan; media dan pemberi maklumat; NGO; dan sifat dermawan. Dalam senarai yang dikeluarkan Ethisphere untuk tahun 2010, dua ahli Parlimen di United Kingdom (UK), Lord Willy Bach dari UK House of Lords dan bekas Setiausaha Kementerian Luar, Jack Straw, berkongsi tempat pertama atas usaha mereka memperkenalkan Akta Pencegahan Rasuah di negara itu. Tempat ketiga penyenaraian itu menjadi milik Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS, Jon Leibowitz bagi kategori kerajaan dan amalan peraturan. Menurut laporan portal itu, walaupun ramai daripada yang tersenarai itu wajar diberikan anugerah pencapaian sepanjang hayat, senarai 2010 mengiktiraf mereka yang telah memberikan impak penting khususnya sepanjang tahun tersebut. "Sesetengahnya orang terkenal di dunia dan ada yang tidak dikenali, tetapi daripada segi reka cipta pakej mapan untuk mendapatkan semula berbilion-bilion dollar daripada penipuan, 100 individu berikut telah memberikan impak dalam dunia etika perniagaan dalam cara yang akan terus memberikan kesan untuk tahun-tahun akan datang," menurut laporan Ethisphere. Bilionair dan juga dermawan AS, Bill Gates pula hanya sekadar berada pada kedudukan ke-16 manakala pewaris takhta Britain, Putera Charles yang baru-baru ini mengeluarkan dokumentari Harmony: A New Way of Looking at our World menduduki tempat ke-92 bagi kategori kepimpinan alam sekitar. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan