Jumaat, 4 Mac 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Orang bukan Islam tidak boleh jadi peguam syarie bagi elak kecelarua — peguam

Posted: 04 Mar 2011 12:33 AM PST

KUALA LUMPUR, 4 Mac —Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan dilantik sebagai peguam syarie bagi mengelak timbulnya kecelaruan di kalangan umat Islam.

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam berkata muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam yang bersidang pada 15 Dis tahun lalu telah merumuskan bahawa untuk menjadi seorang peguam syarie, seseorang itu perlu menguasai al-Quran dan hadis serta menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai idola.

"Peguam syarie juga perlu menguasai bahasa arab, ilmu usul fiqh dan fiqh secara keseluruhannya dan ia perlu didasari dengan keimanan kepada Allah s.w.t agar tanggungjawab yang dipikul disandarkan hanya kepada keimanan kepada Allah s.w.t dan demi kemasalahatan umat Islam dan keadilan menurut perspektif Islam.

"Oleh yang demikian, demi menjaga kesucian dan kehormatan agama dan umat Islam, muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai peguam syarie," katanya ketika berhujah berhubung permohonan Victoria Jayaseele Martin untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam sahaja dibenarkan sebagai pengamal di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Sulaiman berkata ketidakbenaran pelantikan orang bukan Islam itu juga demi mengelak sebarang keburukan berlaku dan mengutamakan kepentingan umat Islam daripada kepentingan individu.

"Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai peguam syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai peguam syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

Sementara itu, peguam Ranjit Singh yang mewakili Victoria berhujah bahawa anak guamnya mempunyai kelayakan dalam perundangan Islam dan telah memperoleh Diploma dalam Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004.

Katanya, dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh menjadi peguam syarie dan hanya orang Islam yang layak (jadi peguam syarie).

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan 17 Mac ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan itu.

Pada 19 Mei, Victoria memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menolak permohonannya bagi diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Dalam permohonannya itu, Victoria, 49, menamakan MAIWP selaku responden.

Beliau memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie.

Antara lain, Victoria, mahu satu perintah mandamus untuk meminta MAIWP menerima beliau sebagai peguam syarie.

Beliau juga meminta satu pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Ini merupakan kes ujian pertama di Kuala Lumpur di mana seorang peguam bukan Islam diberikan kebenaran untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam Islam dibenarkan menjadi pengamal di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu keperluan utama untuk menjadi seorang peguam syarie ialah seseorang itu mestilah orang Islam. — Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ketua guru disiplin mengaku tidak bersalah cabul 11 pelajar perempuan

Posted: 04 Mar 2011 12:30 AM PST

KUALA LUMPUR, 4 Mac — Ketua guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Pandan Indah, Ampang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini atas 11 pertuduhan mencabul 11 pelajar perempuan berusia antara 15 dan 16 tahun, bulan lepas.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada kesemua pelajar berbangsa Cina itu di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi, 25 Feb lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika disabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, isteri tertuduh yang duduk di belakang kandang pesalah kelihatan menekup muka sambil ditenangkan oleh seorang rakan perempuannya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek menawarkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Amir Asree Meor Nordin yang mewakili tertuduh memohon supaya wang jaminan itu dikurangkan kepada RM800 untuk setiap pertuduhan kerana jumlah yang ditawarkan oleh pendakwaan adalah tinggi.

Amir Asree berkata, tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara empat anak yang masih bersekolah kerana isterinya tidak bekerja.

"Sejak tertuduh ditangkap pada 25 Feb lepas, berita mengenainya tersebar luas dan menyebabkan reputasi dan maruahnya sebagai penjawat awam tercalar kerana tertuduh telah berkhidmat sebagai guru selama 23 tahun.

"Rakan tertuduh yang rata-ratanya guru di sekolah yang sama turut hadir hari ini bagi mengikuti prosiding kes ini sebagai tanda sokongan moral terhadap tertuduh,"katanya.

Majistret Azaraorni Abd Rahman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan kes.

Isteri kepada tertuduh membayar wang jaminan itu. — Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan