Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Semangat juang Ngah IbrahimOleh MOHD. ALIF ABU BAKAR WALAU nista ditebar serata buana, memalit tanda hitam pada susuk insan bernama Ngah Ibrahim, tidak sekalipun dia tunduk merelakan tanah miliknya dijajah manusia yang tamakkan kekayaan alam sebuah daerah kecil di peta negeri Perak, Larut. Kisah pilu pembesar Melayu yang digelar Raja Larut itu dibuang negeri ke Pulau Seychelles gara-gara dituduh berkrompromi bersama pejuang-pejuang Melayu lain menentang si lintah darat, British, begitu akrab dengan masyarakat hari ini. Namun seintim manakah generasi kini mendalami riwayat hidup tokoh terbilang ini? Secara am, kita sekadar tahu pada permukaan sahaja dan enggan menyelami ke pusat dasar cerita. Tatkala zaman kegemilangan Ngah Ibrahim menerajui Larut, kekayaan miliknya dikongsi tanpa rasa bakhil bersama penduduk tempatan. Terbinanya sebuah kota megah pada tahun 1856 berfungsi sebagai nadi pentadbiran Larut selain turut menjadi kediaman rasmi pembesar Melayu itu. Kota yang berkeluasan 0.894 hektar itu mencoretkan pelbagai peristiwa penting yang pernah terjadi di Larut. Meskipun pada zahirnya masyarakat melihat ia hanya sebagai sebuah muzium bercirikan bangunan kuno namun jika melangkah masuk ke dalam kota sejarah itu, akan bercampur baur perasaan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata, segala nostalgia kembali berputar secara kronologi. Pusat Pentadbiran PANDANGAN dari pintu utama kota Ngah Ibrahim. Kota yang dibina berasaskan batu-batu dari Gunung Hijau, Taiping itu beroperasi sebagai pusat pentadbiran Ngah Ibrahim selain turut menjadi tempat tinggal bersama ahli keluarganya. Waris kelima pembesar Melayu tersebut, Datuk Dr. Wan Mohd. Isa Wan Ahmad menyingkap riwayat gemilang moyangnya selaku pentadbir Larut terulung hingga penduduk setempat menggelar Ngah Ibrahim sebagai Raja Larut. "Dia merupakan orang paling kaya di Larut dan segala kekayaan yang dimilikinya termasuklah sawah padi, lombong bijih timah dan ladang kopi yang diusahakan oleh penduduk yang kemudiannya membayar cukai sebanyak 1/10 setahun sekali. "Segala barangan yang dipamerkan di kota tersebut seperti mesin pemprosesan padi dan kopi, peralatan perlombongan bijih timah dan lain-lain menunjukkan kebijaksanaan Ngah Ibrahim menerajui Larut sebagai kawasan pertanian dan perusahaan yang hebat," katanya yang kini memegang jawatan sebagai Orang Kaya Menteri Paduka Tuan, Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama. Usaha mengekalkan penguasaan kota miliknya berakhir apabila termeterainya Perjanjian Pangkor 1874 yang secara halus menghakis kuasa Ngah Ibrahim sebagai pemerintah Larut terutama berkaitan urusan pengutipan cukai. Nestapa Ngah Ibrahim memuncak apabila pembantu Inggeris yang dilantiknya, Kapten T.C.S Speedy, berpaling tadah apabila mengambil alih kota tersebut yang bertukar status sebagai kediaman dan pejabat mahkamah Speedy yang dilantik secara rasmi sebagai Penolong Residen Perak. Tragedi pembunuhan NGAH IBRAHIM (tengah) bersama anak-anaknya. Kesumat Ngah Ibrahim dan pejuang Melayu Perak yang lain mengakibatkan terjadinya tragedi pembunuhan Residen Perak pertama, J.W.W Birch di Pasir Salak seterusnya membawa kepada kemurkaan British terhadap orang Melayu. Menurut Mohd. Isa, Dato Maharaja Lela, Dato Sagor, Pandak Endut dan beberapa pejuang Melayu yang lain dipenjarakan di salah sebuah ruang bilik di kota tersebut pada Julai 1876. "Kita tahu bahawa mereka boleh mengambil peluang untuk meloloskan diri namun mereka tetap tinggal di penjara tersebut sehingga ke hari perbicaraan. "Mereka kemudiannya dibicarakan di mahkamah yang terletaknya di tingkat dua kota tersebut yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati. "Ngah Ibrahim bersama 40 orang Melayu yang lain pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles kerana dituduh bersubahat dalam pembunuhan Birch," ujarnya. Kota Ngah Ibrahim yang diibaratkan khazanah utama Larut sekali lagi direntap penjajah apabila Jepun yang mahukan kota tersebut berfungsi sebagai markas pertahanan mereka selepas Perang Dunia Kedua. Mimpi ngeri Tempoh tiga tahun bermula dari tahun 1942 hingga 1945 merupakan tempoh ngeri kepada masyarakat Melayu yang hidup dalam ketakutan akibat pemerintahan kuku besi Jepun. Selain bertindak sebagai markas, kota tersebut turut menjadi pejabat dan kediaman pegawai-pegawai Jepun. Kesan peninggalan yang paling jelas ialah runtuhan tembok yang mengelilingi kota tersebut yang dilanggar oleh sebuah pesawat Jepun yang terhempas di laman kota tersebut. SALAH satu pejabat ruang pentadbiran British yang terdapat di kota Ngah Ibrahim. Sebaik kesemua 'penderhaka' British diusir dari daerah sendiri, bermula dari tahun 1913 hingga 1922 menyaksikan terlakarnya sejarah penting membabitkan kota tersebut apabila ia secara rasmi bertindak sebagai Maktab Perguruan Melayu pertama di Tanah Melayu. Legasi rumah agam tersebut sebagai kota pendidikan diteruskan apabila dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu pada tahun 1923 hingga 1941. Bagaimanapun, keamanan tersebut digoncang kembali pada tahun 1942 ketika Jepun menyerang. Tunduknya Jepun kepada British mengembalikan kota tersebut dilimpahi cahaya ilmu tatkala kembali dijadikan sebagai Sekolah Melayu yang kemudiannya berterusan menjadi Sekolah Kebangsaan Matang pada tahun 1946 hingga 1983. Tinggalan barangan pembelajaran umpama papan hitam, meja dan kerusi yang diletakkan di satu sudut kota tersebut menghidupkan momen proses pembelajaran Melayu zaman dahulu. Ngah Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada 4 Februari 1895. Beliau dimakamkan selama 110 tahun di Singapura. Jelas Mohd. Isa, amanat moyangnya yang menginginkan jenazahnya disemadikan di kota yang dibinanya sendiri berjaya dijelmakan apabila jenazahnya dibawa pulang ke tanah air pada 9 September 2006. MAKAM Ngah Ibrahim yang terletak bersebelahan kota. "Operasi pencarian tidak mudah, saya menghabiskan banyak masa mengkaji sejarah beliau di beberapa buah perpustakaan universiti dan pergi sendiri ke Singapura bagi mendapatkan petunjuk. "Semuanya berbaloi apabila saya berjaya membawa balik tulang-tulang beliau yang kini tenang disemadikan di laman kotanya sendiri," luah Wan Mohd. Isa. Kepulangan pemilik asal kota warisan tersebut mengembalikan sinar kegemilangan kota itu semula yang kini menjadi Muzium Matang di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia. Semangat perjuangan Ngah Ibrahim terasa bersatu dengan pengunjung yang melewati kota tersebut umpama meminta generasi hari ini tidak sekali-kali alpa dalam mempertahankan maruah bangsa. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan