Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Gempa bumi jejaskan ekonomi Susunan NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM KESUBURAN tanah yang dianugerahkan kepada New Zealand telah menyaksikan negara tersebut berjaya menempatkan diri sebagai salah satu pengeluar pertanian disegani dunia. Negara beriklim sederhana itu boleh dianggap masih hijau dan berada berjauhan daripada pasaran dunia dari segi geografi. Bagaimanapun, pendekatan unik dan kreatif ditekankan New Zealand telah membuatkan industri pertanian menyumbang hampir suku pertumbuhan Dalam Negeri Kasar (GDP) negara berkenaan. New Zealand telah menggunakan kepakaran dalam perladangan berkualiti untuk menjadi pengeksport produk tenusu, daging lembu, kambing dan bulu biri-biri bagi menempatkan diri sebagai pemain ekonomi pertanian dunia. Dalam pada itu, negara berkenaan juga merupakan salah satu daripada lima pengimport tenusu dunia yang membekalkan 90 peratus produk tenusu di pasaran antarabangsa. Bagaimanapun, gempa bumi yang melanda Christchurch baru-baru ini dijangka melumpuhkan pertumbuhan ekonomi di New Zealand sehingga memaksa negara tersebut menurunkan kadar faedah dan kemungkinan berdepan kemelesetan ekonomi. Menteri Kewangan, Bill English berkata, bencana yang dipercayai telah meragut lebih daripada 240 nyawa akan meninggalkan kesan mendalam terhadap ekonomi negara itu malah menyediakan sedikit pertumbuhan dalam tahun ini. "Sehingga bulan Jun ini mungkin akan menyaksikan tiada pertumbuhan ekonomi langsung," katanya kepada Radio New Zealand. "Ia merupakan satu senario berbeza daripada apa yang kami jangka enam bulan lalu tetapi kami akan terus memulihkan ekonomi negara ini," ujarnya. Pakar ekonomi pula menganggarkan bandar kedua terbesar di New Zealand, Christchurch itu mencatatkan kira-kira 15 peratus daripada ekonomi negara berkenaan. Mereka juga menganggarkan kerosakan disebabkan bencana terburuk negara itu sejak 80 tahun lalu boleh mencecah sehingga AS$12 bilion (RM36 bilion). English berkata, bencana tersebut akan menjejaskan pertumbuhan dan enggan mengetepikan kemungkinan berlaku kemelesetan ekoran gempa bumi 6.3 pada skala Richter yang melanda Selasa lalu. "Saya tidak mempunyai jawapan kepada perkara tersebut. "Kita akan berdepan pertumbuhan yang rendah sama ada terdapat kemelesetan ataupun tidak, sama ada ia dipanggil kemelesetan hanya akan ditentukan oleh ahli statistik," katanya. Kebergantungan ekonomi perladangan New Zealand telah menguncup sebanyak 0.2 peratus pada suku Ogos-September tahun lalu apabila Christchurch digegarkan gempa bumi 7.0 pada skala Richter. Bagaimanapun, gempa bumi yang berlaku pada 4 September tahun lalu tidak mengorbankan sebarang nyawa tetapi hanya melemahkan struktur bangunan bandar itu. Kata English, pertumbuhan bulan Oktober-Disember yang akan dikeluarkan pada akhir bulan ini juga bakal menyaksikan ekonomi agak mendatar. Kesan kemelesetan "Apa yang saya dapat maklum balas, orang ramai tidak terburu-buru dalam perbelanjaan mereka, peruncitan dan perumahan juga agak mendatar. Apabila ia mendatar anda tidak akan memperoleh peningkatan pertumbuhan ekonomi. "Kini kita berdepan bencana gempa bumi pula yang akan menjejaskan pertumbuhan," katanya. Sekiranya data Oktober-Disember menunjukkan pengecutan, secara teknikal New Zealand akan berada dalam kemelesetan dengan dua suku berturut-turut mengalami pertumbuhan negatif. Dengan separuh pertama tahun ini mengalami kepincangan disebabkan gempa bumi, English berkata, Bank Simpanan mungkin merendahkan nilai faedah untuk merangsang kegiatan ekonomi. Ketua Bank Simpanan, Alan Bollard telah mengekalkan kadar pada tiga peratus sejak Julai apabila New Zealand bergelut daripada kesan kemelesetan pada awal tahun 2008 hingga pertengahan 2009. Bagaimanapun, pakar ekonomi menjangkakan pengurus bank pusat akan mengurangkan kadar sehingga 0.5 peratus apabila bank bertemu pada 10 Mac nanti. Membuka perniagaan "Pasaran mengatakan apa yang difikirkan akan berlaku. Gabenor Bank Simpanan apabila membuat keputusan dia akan mengambil kira bukan sahaja mengenai gempa bumi tetapi fakta pertumbuhan ekonomi yang sedikit mendatar berbanding jangkaan mereka tiga atau empat bulan lalu. "Ini akan menentukan keputusan tetapi kita akan melihat pada minggu hadapan," katanya. Sementara itu, bencana yang melanda bandar kedua terbesar New Zealand, Christchurch telah menyebabkan sektor ekonomi terjejas teruk. Pemilik bersama Beach Cafe, Andy Vanlier yang menjalankan operasi di pantai Waimairi berdekatan perairan pantai Christchurch menganggarkan dia sudah kerugian simpanan stok dan perniagaan bernilai AS$18,750 (RM56,943). Dia bercadang untuk membuka semula perniagaan selepas pembersihan dilakukan tetapi bimbang kesan jangka panjang gempa bumi yang berlaku baru-baru ini. "Banyak orang telah meninggalkan Christchurch. Kita berharap orang ramai akan kembali seperti sebelum ini menikmati kopi dan bercerita mengenai pengalaman mereka," katanya. Bagi Les Overend pula, dia berasa agak gementar untuk kembali menjalankan perniagaan trak aiskrim Mr. Whippy di jalanan terlalu awal.
Bagaimanapun, dia mendapati penduduk amat menghargai segala imbauan kehidupan sebelum bencana gempa bumi melanda. "Orang ramai sangat bersyukur apabila melihat kami," katanya mengenai trak yang mengeluarkan bunyian untuk menarik perhatian pelanggan-pelanggan. "Mereka melihat kami sebagai salah satu kehidupan normal di sini," ujarnya lagi. Tatkala bandar Christchurch berdepan pelbagai dugaan, dokumen bersejarah yang tersimpan rapi di dalam arca kurun ke-19 terbongkar apabila ia rebah menyembah bumi. Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker berkata, manuskrip kulit tulisan tangan di dalam sebuah botol dan silinder tembaga tertutup rapi dipercayai mengandungi dokumen-dokumen telah dijumpai di dalam arca pengasas bandar itu. Arca tersebut terletak di dataran utama berdekatan gereja besar bersejarah bandar itu. Ia telah terjatuh pada 22 Februari lalu ketika gempa bumi yang meragut kira-kira 155 nyawa. Pada waktu ini, pakar muzium sedang melakukan kajian terhadap barangan tersebut dan mengandungi pesanan daripada pengasas bandar Christchurch menyuarakan wawasan mereka. Parker berkata, ia kelihatan seperti suratan takdir apabila menjelma dalam memberi sumber inspirasi kepada kami di saat-saat berdepan masa paling sukar. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan