Utusan Online - Jenayah |
Mayat bayi ditemui dalam komuter Posted: Mayat bayi ditemui dalam komuterOleh AZIAN AZIZ
KLANG 3 Mac – Seorang pencuci gerabak komuter terkejut apabila menemui mayat bayi lelaki dalam satu bungkusan plastik berwarna hitam yang ditinggalkan di bawah tempat duduk penumpang pengangkutan awam itu di Hentian Pelabuhan Klang di sini pagi ini. Mayat bayi yang dipercayai baru lahir dan masih bertali pusat itu ditemui Siti Khalijah Mat Zain, 37, kira-kira pukul 9.15 pagi. Siti Khalijah ketika ditemui pemberita di tempat kejadian memberitahu, pada mulanya dia menyangka plastik berwarna hitam itu berisi sampah. Bagaimanapun, wanita itu yang baru empat bulan bertugas dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berasa tidak sedap hati dan mengangkat beg plastik tersebut dan membawanya keluar dari gerabak untuk melihat isinya. "Saya panggil rakan setugas dan kami terkejut apabila melihat ada kesan darah. Setelah diperiksa, beg plastik itu berisi mayat seorang bayi lelaki yang dibungkus dengan selimut bercorak bunga. "Kami juga menemui sehelai sejadah dan surah Yasin di sisi mayat," katanya yang memaklumkan kepada penyelianya mengenai penemuan mayat itu sebelum menghubungi polis. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. Beliau berkata, siasatan awal mendapati, komuter tersebut bergerak dari Pelabuhan Klang kira-kira pukul 5.35 pagi menuju ke Batu Caves, Selayang dan tiba di sana pada pukul 7.15 pagi. Menurut beliau, komuter tersebut difahamkan menyambung semula perjalanan menuju ke Pelabuhan Klang dan berhenti di hentian tersebut kira-kira pukul 8.15 pagi untuk dibersihkan. "Difahamkan, semasa gerabak itu hendak dicuci barulah mayat itu ditemui dan kita percaya mayat tersebut dibuang semasa tren berkenaan dalam perjalanan pulang ke Pelabuhan Klang. "Setakat ini tiada saksi yang nampak bagaimana bungkusan plastik hitam itu berada di bawah tempat duduk penumpang bahagian gerabak hadapan komuter tersebut," ujarnya. Kata beliau lagi, pihaknya menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat bayi itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan gerakan memburu mereka yang bertanggungjawab sedang giat dijalankan. Tambah beliau, mayat bayi tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Ghairah mahu banyak wangOleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR JOHOR BAHRU 3 Mac – Akibat terlalu ghairah mengejar kekayaan dengan cara mudah, seorang suri rumah kerugian lebih RM40,000 akibat ditipu seorang lelaki kononnya boleh memberi nombor ekor yang memenangi hadiah wang tunai RM1.5 juta. Segala-galanya bermula apabila mangsa dikenali sebagai Liu berusia 50 tahun menemui kertas iklan yang menawarkan nombor ekor di cermin keretanya, baru-baru ini. Menurut Liu, dia lalu menghubungi nombor telefon di kertas itu bagi mendapatkan kepastian tentang tawaran tersebut. Katanya, lelaki itu mendakwa boleh memberi nombor ekor sekiranya dia memberikan wang yang akan digunakan untuk upacara sembahyang. "Selepas percaya kata-kata lelaki itu, saya diminta memasukkan wang pendahuluan RM130 dalam akaun atas nama Khor Peng Soon pada 13 Januari lalu. "Saya kemudian memasukkan wang ke dalam akaun sama sebanyak 10 kali dengan amaun berbeza. "Lelaki itu beritahu wang dimasukkan untuk membawa masuk seorang sami dari Thailand ke rumah saya," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Rumah Kelab Akhbar Cina Selatan di sini hari ini. Katanya, terbaru pada Jumaat lalu, dia memasukkan RM5,000 kononnya untuk mengeluarkan wang daripada pihak bank. "Lelaki itu meminta saya masukkan RM15,000 tetapi saya tidak cukup wang dan hanya beri RM5,000," jelasnya. Liu berkata, dia turut menghabiskan RM5,400 untuk membeli peralatan sembahyang tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang wang. Katanya, sebaliknya dia hanya menerima dua keping surat dari Pendang, Kedah, berisi slip pembelian nombor ekor dan sekeping gambar wang kertas. Selepas merasakan dirinya tertipu, Liu ke Balai Polis Taman Ungku Aminah di sini kelmarin untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu. "Semalam, lelaki terbabit masih menghubungi saya untuk meminta wang RM13,000 dengan alasan untuk menyegerakan proses pengeluaran wang," katanya. Dia yang kesal dengan kejadian menimpa dirinya mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara seumpama itu. "Sepanjang proses penipuan itu, saya telah menghabiskan sejumlah besar wang simpanan selain meminjam dari keluarga dan kawan-kawan. Saya bernasib baik kerana tidak pinjam daripada ah long," katanya. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian dan memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan