Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Seniman cari pelapisOleh HARYATI KARIM TIADA jalan pintas untuk menjadi seorang pelakon yang hebat, tidak cukup dengan hanya berbekalkan rupa paras menarik dan bakat semata-mata. Sebaliknya, ilmu lakonan merupakan kunci utama untuk seseorang pelakon dikenali dan bertahan lama dalam industri lakonan yang dibaluti dengan 1,000 macam cabaran selain pulangan lumayan dan glamor. Menyedari hakikat industri lakonan tempatan semakin kekurangan pelapis yang mempunyai pakej lengkap termasuk ilmu lakonan dan etika seorang pelakon, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) telah mewujudkan Rumah Aktor Seniman. Tujuannya hanya satu, bagi melahirkan pelapis dunia lakonan yang berkualiti. Rumah Aktor Seniman yang diadakan setiap Sabtu itu telah bermula sejak 22 Januari lalu selama 13 minggu. Mungkin ada yang menganggap Rumah Aktor Seniman tiada bezanya dengan kelas lakonan berbayar yang lain, bagaimanapun ia berbeza apabila pelakon terkenal Zul Huzaimy dipilih untuk mengemudi Rumah Aktor Seniman sebagai Pengetua. Malah, setiap pelajar yang mengikuti kursus lakonan anjuran seniman itu bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu lakonan tetapi pengalaman berharga apabila setiap minggu selain diajar oleh tenaga pengajar dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), mereka juga dilawati oleh pelakon-pelakon terkenal tanah air untuk mencurahkan segala ilmu yang dimiliki kepada pelajar. KAMI bersedia. Barangkali itu yang dilaungkan oleh para peserta yang mengikuti kursus di Rumah Aktor Seniman. Menurut Presiden Seniman, Harun Salim Bachik yang memegang peranan sebagai penasihat program tersebut, pihaknya mengharapkan dengan adanya program Rumah Aktor Seniman yang kelasnya diadakan di Rumah Warisan, Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, masa depan industri lakonan tempatan akan mencapai tahap yang lebih tinggi dengan apa yang dimiliki hari ini. "Ilmu lakonan sangat penting, kecantikan hanya sementara. Jika seorang pelakon memiliki ilmu, dia akan kekal lama dalam industri lakonan. "Apa yang saya lihat hari ini, ada yang berlakon macam kayu tetapi masih diminati sebab cantik atau kacak persoalannya adakah mereka akan kekal lama?," soalnya. Sambungnya lagi, Rumah Aktor Seniman terbuka kepada mereka yang berusia 35 tahun ke bawah dan mereka yang benar-benar berminat terhadap lakonan. Oleh sebab itu bayaran sebanyak RM580 dikenakan kepada setiap pelajar yang menyertai kursus anjuran seniman, selain mereka harus lulus uji bakat yang diadakan sebelum layak untuk mengikuti kelas tersebut. "Kita tidak mahu orang yang tidak berminat dan tidak mahu beri sepenuh komitmen sertai kursus ini, sebab itu kita kenakan bayaran dan adakan uji bakat untuk menguji sejauh mana bakat dan minat yang dimiliki. "Bayaran yang dikenakan itu sebenarnya berpatutan untuk makan dan minum mereka sepanjang mengikuti kelas. Kalau kita buat secara percuma, komitmen itu tidak ada, nanti mereka akan datang sesuka hati. Bila bayar, mereka ada rasa sayang sebab telah buat pelaburan," balasnya. Selepas pelajar menamatkan kursus selama 13 minggu, mereka akan diberikan sijil dan mereka boleh membawa sijil itu ke Aswara untuk menyambung ke peringkat diploma. "Kami tidak akan mengambil ramai pelajar dalam satu-satu masa kerana nanti pengajar tidak dapat memberikan sepenuh perhatian mereka. "Seperti kursus yang pertama ini, kita sepatutnya ambil 30 orang sahaja tetapi disebabkan sambutan yang menggalakkan angka itu ditambah kepada 37 orang," ujar Harun lagi yang mahu lahirkan seorang pelakon yang siap sedia daripada segala segi. Selain itu terang Harun lagi, jalan untuk pelajar bergelar seorang pelakon juga lebih mudah apabila mereka turut menjemput penerbit serta pengarah drama dan filem ke kursus tersebut. DARI kiri: Yusof Kelana, Jurey Latif, Harun Salim Bachik bersama Timbalan Pengarah Finas, Zulkifli Wahab dan Hisham Mat Hussain. "Menerusi cara ini, penerbit dan pengarah boleh lihat sendiri kemampuan pelajar. Jika mereka berminat, selepas pelajar menamatkan kursus, mereka boleh terus ditawarkan watak dalam drama atau filem," beritahunya lagi. Mendidik cara teater Salah seorang daripada tiga pengajar itu adalah Rosman Ishak yang merupakan pensyarah fakulti teater di Aswara. Mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai seorang pensyarah teater, Rosman menjelaskan dia mendidik pelajar supaya mahir dengan asas vokal, memahami tubuh diri serta cara pernafasan bagi melontarkan vokal dengan baik. "Ada sesetengah daripada pelajar telah mempunyai asas lakonan kerana mempunyai pengalaman berlakon sebelum ini. Tetapi bagi mereka yang masih baru, saya menekankan aspek mengawal tubuh badan dengan cara itu baru jelas emosi yang ingin dilontarkan. "Suara juga harus jelas dan sesuai dengan emosi yang dibawakan, selain kena banyak berimaginasi kerana setiap karakter yang diberi sebagai latihan berbeza dan kadang-kala tidak wujud di alam realiti," tuturnya. Bukan sahaja untuk lakonan, kursus ini juga dilihat banyak membantu untuk meningkatkan tahap keyakinan diri seseorang dan ia amat bagus untuk remaja. "Saya akan minta pelajar membawa bermacam-macam karakter dan berimaginasi, jika mereka malu dan tiada keyakinan mereka tidak akan dapat bawa karakter dengan baik kerana bila bekerja kelak terdapat ramai orang yang akan memerhati mereka. "Jika untuk remaja pula ia amat bagus untuk membentuk keyakinan diri dan karakter mereka. Semua pelajar datang daripada pelbagai latar belakang yang berbeza, jika ada yang malu untuk berhadapan atau bergaul dengan orang ramai, kini saya lihat mereka semakin berubah," katanya lagi. Seronok Meskipun terpaksa menghabiskan masa lebih kurang lapan jam setiap minggu untuk mengikuti kursus ini bermula pukul 9 pagi setiap hari Sabtu, tidak terluah perkataan penat atau bosan di bibir pelajar.
Apa yang dilihat hanyalah kesungguhan mereka mengikuti setiap ajaran yang diberikan oleh tenaga pengajar tanpa merungut. Salah seorang pelajar Muhammad Hafeez, 29, menjelaskan dia mengikuti kursus ini kerana minat yang mendalam terhadap lakonan. "Saya minat dengan lakonan sejak dari kecil lagi. Sebelum ini saya pernah berlakon tetapi dengan adanya peluang seperti ini, saya tidak akan lepaskan untuk menuntut lebih banyak ilmu," katanya. Seorang lagi pelajar yang merupakan remaja berusia 16 tahun, Aina Anisa, pula menyertai Rumah Aktor Seniman kerana ingin mencuba selain memenuhi masa lapangnya dengan perkara yang berfaedah. "Saya dapat banyak ilmu dan pengalaman yang seronok sepanjang kursus ini. Selain dapat dengar sendiri pengalaman pelakon yang terkenal, kami juga diberitahu situasi sebenar kerja seorang pelakon oleh pengarah dan penerbit," jawabnya. Bagi Zainoni Roslan atau Amy, 32, kursus ini amat bagus untuk mereka yang ingin menjadi pelakon kerana ia memberi pendidikan secara menyeluruh bukan hanya teori. "Kami tidak hanya diajar asas lakonan tetapi juga mengenali mereka yang terlibat dalam industri. Ini secara tidak langsung memudahkan lagi perjalanan kami untuk jadi seorang pelakon," katanya. Meskipun kursus lakonan Rumah Aktor Seniman pengambilan pertama belum tamat, pihak Seniman telah menerima banyak permohonan dan hanya 160 orang yang layak mengikuti kursus ini. Mereka akan dibahagikan kepada dua bahagian untuk pengambilan kedua disebabkan jumlah ramai. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai kursus lakonan Rumah Aktor Seniman, anda boleh hubungi pejabat Seniman di talian 03-41055442. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan