Ahad, 20 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ditumbuk, rompak, culik

Posted: 19 Mar 2011 12:24 PM PDT

JOHOR BAHRU: "Saya hanya ingat mati apabila diculik. Penculik itu bukan saja menutup mata saya tetapi turut mencekik leher, menumbuk muka bertubi-tubi dan mengikat tangan selepas saya dihumban ke tempat duduk belakang kereta keluarga," kata mangsa culik, Yuen Mei Kien, 49, semalam.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu terpaksa menempuhi detik mencemaskan apabila diculik kumpulan penjenayah hampir dua hari, termasuk dirompak dan dikurung di sebuah rumah, sebelum dibebaskan awal pagi semalam.


Yuen berkata, kejadian berlaku jam 6 pagi Khamis lalu ketika dia meletakkan kereta berhampiran sebuah restoran makanan segera di Taman Bukit Indah, di sini, kerana mahu menaiki kenderaan rakan untuk menuju ke tempat kerja di Singapura.

Yuen yang bekerja sebagai ketua pentadbir di sebuah syarikat swasta di negara republik itu berkata, ketika turun dari kereta, tiba-tiba dua lelaki menghampirinya dan merampas kunci kereta sebelum dia dihumban ke kereta milik keluarganya.


"Lebih kuat saya meronta, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an bertindak lebih ganas dan mencekik saya hingga saya terpaksa akur dengan arahan mereka demi menyelamatkan nyawa.


"Setiap kali bertanya termasuk nombor pin kad mesin juruwang automatik (ATM), mereka menumbuk muka saya, mengakibatkan hampir keseluruhan wajah menjadi lebam, terutama di mata.

"Kemudian mereka mengurung saya di dalam kereta hampir 10 jam sementara mengeluarkan wang saya bernilai RM10,000 daripada ATM," katanya.


Yuen berkata, sepanjang perjalanan dalam kereta, dia mendengar kumpulan penjenayah berkomunikasi dalam Bahasa Tamil sebelum dia dikurung di bilik gelap di sebuah rumah bagi mengelakkannya melarikan diri.

Bagaimanapun kira-kira jam 2.30 pagi semalam, penjenayah menghantarnya ke Jalan 1/3, Taman Bukit Indah, di sini, menggunakan kereta sebelum menghilangkan diri.


"Keadaan saya lebih buruk daripada banduan penjara. Saya bukan saja kelaparan kerana tidak diberikan makan minum hampir dua hari, malah cedera hampir seluruh badan.


"Melihat keadaan saya yang tidak bermaya, mereka mengambil keputusan meninggalkan saya di tepi jalan biar pun pada awalnya mengugut menghumban saya ke dalam longkang," katanya yang kemudian dibantu beberapa pengguna jalan raya.


Yuen yang masih trauma dengan kejadian itu meminta bantuan orang ramai yang ada maklumat berkaitan kereta keluarga Toyota Vios dengan nombor pendaftaran JMA 8711 yang dilarikan penjenayah itu supaya menghubungi polis secepat mungkin.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Abdul Aziz Ahmad mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.


Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa turut kehilangan wang tunai RM500, S1,000 (mata wang Singapura), telefon bimbit dan kereta jenis Toyota Vios.


Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan dan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik.


"Polis akan mengambil keterangan daripada mangsa secepat mungkin selain menjalankan usaha bagi menangkap penjenayah terbabit," katanya ketika dihubungi semalam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kumpulan ketiga pelajar dari Yaman selamat tiba

Posted: 19 Mar 2011 12:24 PM PDT

PUTRAJAYA: Kumpulan ketiga seramai 27 rakyat Malaysia dari Yaman selamat tiba di tanah air awal pagi semalam, menjadikan jumlah yang pulang ke tanah air sehingga kini 60 orang, dan kebanyakannya pelajar beberapa universiti di negara Teluk berkenaan.

Kumpulan terbabit tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang melalui Penerbangan Malaysia MH163 pada jam 6 pagi, selepas transit di Dubai.


Mereka yang belajar di beberapa universiti termasuk Universiti Al-Iman, Universiti Sains dan Teknologi Yaman, Universiti Kebangsaan Yaman tiba bersama keluarga dan anak masing-masing disambut wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum pulang ke kediaman masing-masing.

Kebanyakan pelajar mengambil keputusan pulang ke tanah air berikutan bimbang keselamatan diri dan keluarga mereka.


Tambahan pula, jalan utama di negara itu dipenuhi penunjuk perasaan membawa senjata api, sekali gus menakutkan mereka untuk terus tinggal di negara itu.


Malah, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa berkurung di dalam rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Perkara itu diakui pelajar, Muhammad Amir Razli Thava, 31, yang menyatakan kehidupan mereka di Yaman bertambah teruk apabila banyak bank ditutup, selain harga barang makanan dan keperluan harian meningkat sekali ganda.


"Keadaan itu menyebabkan kami kekurangan wang untuk membeli makanan. Pada masa sama, kejadian tembak menembak sentiasa berlaku sepanjang hari, ini lebih menakutkan kami," katanya.

Sebelum ini, 33 rakyat Malaysia dibawa pulang ke Malaysia berikutan pergolakan politik di negara itu semakin teruk. Difahamkan, lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan dibawa pulang secara berperingkat-peringkat menerusi penerbangan komersial.


Orang ramai yang ingin mendapat maklumat mengenai operasi membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di talian 03-8887 4570/ 03-8889 2746/ 03-8887 4770/ 03-8889 2830/ 019-278 4566.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan