Isnin, 7 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pelan atasi kesesakan di Bangsar dalam 4 bulan

Posted: 06 Mar 2011 11:17 AM PST

KUALA LUMPUR: Kesesakan lalu lintas di kawasan Bangsar, di sini, yang meruncing terutama ketika waktu puncak dijangka dapat diatasi dalam tempoh enam bulan akan datang apabila projek naik taraf Jalan Maarof dilaksana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jalan itu yang mempunyai dua lorong akan ditambah tiga lorong bagi memberi lebih keselesaan pengguna jalan raya selain laluan masuk ke Bangsar diperbesarkan.


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, berkata pihaknya menyedari aliran trafik di situ kerap menimbulkan keluhan penduduk, justeru akan bertindak segera bagi membesarkan laluan sedia ada.

"Tempoh hari pun kami sudah meninjau keadaan di Jalan Maarof ini dan sekarang DBKL merangka pelan untuk membesarkan laluan masuk disamping merangka jumlah bajet yang perlu diperuntukkan.


"Kami jangkakan dalam tempoh enam bulan akan memulakan kerja dan keadaan di jalan berkenaan akan ditambah baik, mungkin tahun depan pengguna lebih selesa dengan aliran trafiknya yang tak lagi tersekat-sekat.


"DBKL juga diminta mengambil kira soal penguatkuasaan dan lampu isyarat di sepanjang jalan mengelak masalah lebih buruk," katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog dan melawat pasar malam Bangsar Baru di sini, semalam.

Beliau diiringi Pengarah Jabatan Perancang Bandar DBKL, Mahadi Ngah dan Pengerusi Persatuan Penduduk Bangsar Baru, Datuk George Joseph.


Nong berkata, selain isu kesesakan di Jalan Maarof, sesi dialog turut membincangkan perkara lain antaranya soal tanah lapang di kawasan terbabit, cadangan membina balai polis, menaik taraf kompleks sukan dan kebersihan di pasar malam selain kualiti air.

"Kami juga memberi perhatian kepada aduan penduduk mengenai rumah di Jalan Telawi dan sekitarnya yang dijadikan premis komersial kerana ketika ini hanya dua rumah yang diberi kelulusan untuk tujuan komersial iaitu tadika dan pusat rawatan dialisis.


"Lain-lain premis yang beroperasi untuk tujuan komersial adalah dilaksana secara haram dan ia dalam perhatian pihak berkuasa, malah dalam proses dakwaan di mahkamah.


"Pada sesi dialog tadi juga kementerian berjanji akan memberi perhatian terhadap semua aduan penduduk dan berusaha mengatasinya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Teman lelaki maut ditetak

Posted: 06 Mar 2011 11:15 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala teman wanitanya cedera ditetak sekumpulan lelaki bersenjata yang tiba-tiba datang ke rumahnya di sebuah pangsapuri berhampiran Jalan Changkat Thambi Dollah, di sini, semalam.

Mangsa, Ahmad Shariff Akbar Shah, 26, seorang pekerja bengkel besi buruk mati di tempat kejadian dipercayai akibat tikaman lebih lima kali di dada selain cedera di kepala dan badan.


Abang ipar mangsa, Asriy Ramachandran, 35, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa seorang yang pendiam dan tidak mempunyai musuh. "Mangsa tidak pernah bercerita atau berkongsi masalah peribadi dengan saya kerana kami tinggal berasingan dan hanya bertemu ketika keluar bekerja. Saya tidak tahu sama ada mangsa ada berhutang dengan along atau pernah menerima ugutan daripada sesiapa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata mangsa dipercayai bergaduh dengan sekumpulan lelaki menyebabkan dia dipukul dan ditikam bertubi-tubi.


Katanya, teman wanita mangsa yang berada di tempat kejadian turut cedera dan kini dirawat di HKL.


Beliau berkata, mangsa mati di tempat kejadian disebabkan parah akibat dipukul senjata tumpul dan benda tajam.

"Siasatan polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata atau peralatan yang digunakan suspek, malah bilik mangsa juga tiada kesan diceroboh," katanya.


Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan