Isnin, 7 Mac 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Nasib murid sekolah seni diragui

Posted: 06 Mar 2011 06:34 AM PST

Wilayah

SEKOLAH Seni Johor Bahru Jalan Abdul  Samad.

SEKOLAH Seni Johor Bahru Jalan Abdul Samad.

Sistem penggredan didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi

JOHOR BAHRU: Lebih 100 pelajar perintis dua sekolah seni kendalian Kementerian Pelajaran yang kini berada dalam Tingkatan Lima, dijangka berdepan masalah memohon kemasukan institusi pengajian tinggi (IPT) kelak berikutan sistem penggredan digunakan dalam peperiksaan mata pelajaran kesenian mereka didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

Status itu dikatakan mencetus kebimbangan pelbagai pihak, khususnya ibu bapa dan guru, terhadap nasib serta hala tuju pelajar dua sekolah seni yang ditubuhkan sejak Januari 2007, iaitu Sekolah Seni Johor Bahru (SSeJB) dan Sekolah Seni Kuching (SSK).

Menurut sumber rapat dengan pengurusan sekolah seni itu, sistem penilaian dan penaksiran subjek kesenian yang diambil pelajar terbabit adalah dalam bentuk Band merangkumi Band I hingga VI, berbeza dengan sistem untuk mata pelajaran akademik. Beliau mendakwa, sistem Band seumpama turut digunakan dalam penilaian Malaysian University English Test (MUET) yang diiktiraf kerajaan tetapi dalam konteks mata pelajaran kesenian di sekolah seni, ia belum diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

"Modul, sukatan pelajaran dan keputusan peperiksaan menggunakan sistem penggredan Band di sekolah seni dilaksanakan Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran.

"Bagaimanapun, masalah kini timbul apabila Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyarankan pelajar ini mendaftar untuk menduduki peperiksaan subjek kesenian sekolah harian biasa bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan November depan.

"Kumpulan perintis sekolah seni ini meluangkan hampir 12 jam seminggu untuk mempelajari subjek kesenian mereka dan menerusi sukatan serta modul khas yang diikuti, pendidikan mereka boleh dianggap setaraf pengajian pelajar tahun pertama peringkat diploma.
"Jadi persoalan kini, berbaloikah usaha semua pelajar sekolah seni ini jika mendaftar mengambil peperiksaan sekolah harian biasa semata-mata untuk memastikan gred mata pelajaran kesenian mereka diiktiraf?" katanya.

Sumber itu berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian segera kerana pelajar sekolah seni terbabit bakal mendaftar mata pelajaran yang akan diambil dalam peperiksaan SPM pada akhir bulan ini.

"Masalah ini dikatakan sudah dikenal pasti sejak lebih setahun lalu dan dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Pelajaran dari semasa ke semasa.

"Namun sehingga kini difahamkan tiada sebarang penyelesaian diperoleh, sebaliknya memerlukan transformasi pada peringkat pelajar sendiri. Di manakah martabat sekolah seni jika keadaan sebegini berlaku?" katanya yang meminta BPK Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memandang serius masalah itu dan mengatasinya segera.

Beliau mendakwa sekiranya perkara itu berterusan dan mengundang masalah pada masa depan, tidak mustahil ibu bapa pelajar di sekolah itu memberhentikan anak kerana menganggap lebih baik mereka mengikuti pembelajaran di sekolah harian biasa.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSeJB, Selamat Omar, mendakwa perkara berkenaan sering dibangkitkan pada mesyuarat PIBG sejak tahun lalu, namun sehingga kini pihak sekolah dan ibu bapa masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Pelajaran mahu pun Pengajian Tinggi mengenainya.

"Mungkin bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dari segi akademik tidak bermasalah untuk memasuki IPT tempatan.

"Namun bagaimana pula dengan pelajar yang sederhana pencapaiannya, iaitu keputusan akademik dan kesenian masing-masing hanya 50-50, tentu peluang sukar untuk mereka memasuki IPT," katanya.

Selain itu, Selamat berkata, ramai ibu bapa juga pernah mempersoalkan mengapa pelajar sekolah seni perlu memilih aliran sains atau sastera ketika memasuki Tingkatan Empat selepas mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Kami terkejut dengan keadaan ini. Dari awal lagi kami sudah bertanya ketika bermesyuarat, mengapa sekolah seni perlu mengikut format sekolah harian biasa? Apa yang kami risaukan sebelum ini kini sudah dapat dilihat sekarang," katanya ketika dihubungi semalam.

SSeJB dan SSK diwujudkan kerajaan sebagai saluran kepada pelajar berbakat dan berpotensi dalam bidang kesenian untuk mendalami bidang yang mereka minati itu.

Sekolah berkenaan menawarkan pendidikan kesenian teater, muzik, pendidikan seni visual dan tarian, selain subjek wajib lain seperti Matematik, Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Simpang tiada tanda berhenti

Posted: 06 Mar 2011 06:33 AM PST

Wilayah

Punca kemalangan di Jalan Bukit Kemandul-Jalan Kebun-Kebun Baharu

KUALA LANGAT: Pembinaan simpang tiga di Jalan Bukit Kemandul-Jalan Kebun-Kebun Baharu, berdekatan perkampungan Orang Asli, di sini sejak setahun lalu mencetuskan keresahan di kalangan pengguna jalan berkenaan.

Ini berikutan simpang tiga yang turut menjadi laluan utama pengguna jalan raya dari Kuala Langat ke Shah Alam dan Kuala Lumpur itu tidak mempunyai tanda berhenti, selain ia dibina mirip separuh bulatan sehingga sering mengundang kemalangan.

Keadaan itu amat membahayakan pengguna jalan raya yang tidak biasa melaluinya kerana sebahagian besar kenderaan datang dari arah berlainan kebiasaannya tidak berhenti berikutan ketiadaan garisan berhenti di situ. Pengguna, Jamal Sanusi, 47, berkata kemalangan boleh berlaku bila-bila masa berikutan masalah ketiadaan garisan isyarat berhenti yang kebiasaannya dipasang di setiap simpang tiga dan simpang empat.

"Keadaan itu amat mengelirukan dan berbahaya terutama apabila jalan terbabit menjadi antara laluan pintas ribuan kenderaan setiap hari dari Kuala Langat ke Shah Alam dan Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui Sentral.

Setakat ini, beberapa kemalangan pernah berlaku hanya kerana masalah ketiadaan garisan berhenti di situ.

Penduduk Orang Asli berdekatan yang hanya mahu dikenali sebagai Atan pula mendakwa, dia pernah menyaksikan perbalahan di antara pemandu ketika berlaku kemalangan.
"Masing-masing bertengkar kerana saling salah menyalahkan apabila berlaku kemalangan. Semua berpunca kerana ketiadaan garisan berhenti pada simpang tiga ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengarahkan kontraktor yang membina simpang tiga dan melaksanakan kerja pembaikan jalan berkenaan menyegerakan pemasangan garisan berhenti bagi mengelakkan berlaku kemalangan lebih teruk.

Selain ketiadaan garisan berhenti, katanya, masalah tumpahan simen daripada lori yang melalui jalan itu memburukkan lagi keadaan apabila ia menjadi debu mengotorkan persekitaran ketika cuaca kering.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

1 ulasan:

  1. adui, susahnya lah pelajar sekolah seni tu kan?

    BalasPadam