Isnin, 7 Mac 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Kuat kuasa pakai topi keledar

Posted:

Kuat kuasa pakai topi keledar

Kuat kuasa pakai topi keledar

Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED
utusankelantan@utusan.com.my


Penunggang motosikal yang melalui Jalan Kampung Belimbing, Batu Melintang, tidak mematuhi pemakaian topi keledar, semalam.


JELI 6 Mac - Pematuhan pemakaian topi keledar di kalangan masyarakat luar bandar khususnya remaja, masih rendah sungguhpun pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang- undang.

Usaha tersebut bagaimanapun dilihat masih belum cukup menggerunkan mereka terutama remaja supaya mematuhi pemakaian topi keledar ketika menunggang motosikal.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan di daerah ini misalnya, Batu Melintang, Kampung Renyut, Pasir Dusun dan Ayer Lanas mendapati, masih ramai pengguna motosikal tidak menggunakan topi keledar ketika berada di jalan raya.

Mungkin disebabkan kawasan tersebut agak terpencil, penunggang terbabit merasakan mereka tidak perlu memakai topi keledar, walaupun ia menyalahi undang-undang.

Keadaan tersebut sedikit sebanyak meresahkan orang ramai dan mereka mahu pihak berkuasa bertindak lebih tegas bagi 'mengajar' golongan berkenaan.

Seorang penduduk, Aziz Yusoff, 46, berkata, dia kerap melihat penunggang motosikal terutama di kalangan remaja dengan selamba tidak memakai topi keledar ketika berada di jalan raya.

"Keadaan lebih buruk apabila ada di kalangan mereka menunggang motosikal secara beriringan.

"Sudahlah tidak memakai topi keledar, menunggang pula beriringan. Ini merbahaya kepada diri mereka dan pengguna lain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang penduduk, Abdul Rahman Awang, 40, berkata, dia pernah dikejutkan dengan tindakan empat pelajar yang menunggang secara beriringan semasa hendak ke Jelawang baru-baru ini.

"Apabila bunyikan hon, saya ingat mereka berhenti berbuat demikian, sebaliknya ada yang siap berbaring dan menunjukkan punggung ke arah saya. Mereka jadikan jalan raya macam medan perlumbaan," katanya.

Sehubungan itu, dia menyarankan pihak berkuasa lebih kerap mengadakan operasi bagi menyedarkan masyarakat, selain membanteras kegiatan lumba haram atau merempit.

Pandangannya disokong oleh Rosli Hassan, 42, yang mahu pihak berkuasa terutama polis bertindak mengatasi masalah seumpama itu.

"Jika tiada tindakan, mungkin perkara seumpama ini terus berleluasa di daerah terpencil dan membawa kepada kemudaratan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Terengganu sasar 1,000 pertubuhan belia

Posted:

Terengganu sasar 1,000 pertubuhan belia

Terengganu sasar 1,000 pertubuhan belia


Abd. Aziz Abd. Rahman (kanan) mengibar Jalur Gemilang semasa melepaskan peserta Konvoi Transformasi Belia sempena promosi Hari Belia Negara di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 6 Mac - Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Terengganu menyasarkan penubuhan kira-kira 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri ini menjelang akhir tahun ini.

Pengarah JBS Terengganu, Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, penubuhan itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pertubuhan belia di setiap peringkat jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Menurut beliau, pada masa ini, sebanyak 436 pertubuhan belia didaftarkan di negeri ini dengan kira-kira 30,000 keahlian.

Sehubungan itu, katanya, JBS bekerjasama dengan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dan Majlis Belia Daerah untuk memastikan matlamat tersebut tercapai.

"Selain itu, pegawai jabatan turut mengadakan program turun padang untuk mengenal pasti kampung terlibat bagi penubuhan persatuan belia yang baru," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Perasmian dan Pelepasan Jelajah Proton Majlis Belia Malaysia-Kementerian Belia dan Sukan sempena promosi Hari Belia Negara 2011 dan Konvoi Transformasi Belia Ke Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan Pengerusi MBNT, Mat Yusof Mat Ali.

Sebanyak 70 kereta bersama 100 peserta menyertai konvoi tersebut dalam mempromosikan Hari Belia Negara 2011 yang bakal menghimpunkan sejuta belia di Putrajaya pada 27 hingga 29 Mei depan.

Selepas menjelajah Pahang, Kelantan dan Terengganu, konvoi tersebut ke utara minggu depan sebelum ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sebelum ini, mereka menjelajah kawasan selatan meliputi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Abd. Aziz berkata, dengan wujudnya pertubuhan belia di peringkat kampung, ia memberi peluang kepada golongan itu melakukan pelbagai aktiviti yang secara tidak langsung dapat membendung gejala kurang sihat.

Katanya, di peringkat penajaan, sekurang-kurangnya 15 orang yang dilantik sebagai jawatankuasa dan penubuhan biro boleh dibentuk untuk membolehkan mereka mendaftar sebagai sebuah pertubuhan belia.

Beliau berkata, JBS sentiasa memantau pertubuhan persatuan bagi memastikannya mematuhi peraturan yang ditetapkan terutama mengadakan mesyuarat agung tahunan bagi mengelakkannya dibatal.

Namun begitu, katanya, bilangan persatuan yang dibatalkan di negeri ini adalah kecil kerana jabatan sentiasa memberi bimbingan dan panduan untuk memastikan setiap persatuan terus aktif.

Mengenai program jabatan pada tahun ini, beliau berkata, sebanyak RM300,000 diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menjalankan pelbagai aktiviti bagi tempoh setengah tahun ini.

"Antara aktiviti yang akan dilaksanakan kursus kepimpinan bagi melatih pemimpin belia baru dalam mengendali sesebuah organisasi pertubuhan belia," katanya.

Selain itu, katanya, ia turut diadakan program 3K Bestari untuk melatih belia dalam bidang keusahawanan melalui pelbagai kemahiran.

Ini kerana, katanya, adalah menjadi hasrat jabatan untuk melahirkan lebih ramai belia terlibat dalam bidang keusahawanan dan menjadikan perniagaan adalah satu kerjaya mereka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penggunaan Internet di kalangan remaja perlu dipantau

Posted:

Penggunaan Internet di kalangan remaja perlu dipantau

Penggunaan Internet di kalangan remaja perlu dipantau

BACHOK 6 Mac - Penggunaan Internet di kalangan remaja perlu dipantau secara berterusan bagi mengelak mereka menggunakan kemajuan teknologi itu hanya untuk melayari laman sosial tertentu yang boleh mengikis keutuhan budaya dan jati diri.

Pengarah Penerangan Kelantan, Ramly Yusoff berkata, golongan remaja perlu didedahkan mengenai kebaikan dan keburukan Internet supaya mereka tidak terpengaruh dengan pemikiran serta budaya tidak sihat yang cuba disebarkan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, remaja seharusnya memanfaatkan kemudahan Internet untuk mendapatkan pelbagai maklumat yang boleh membantu percambahan ilmu secara sihat, bukan sebaliknya.

"Ibu bapa dan guru mesti mendedahkan perkara ini termasuk menjelaskan fungsi sebenar Internet dan kesan buruk sekiranya ia disalahgunakan.

"Tidak semua laman sosial, blog dan media dalam Internet bermanfaat untuk dilayari," katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Khemah Kerja Kelab Setia 1Malaysia Kelantan 2011 di Permai Chalet, Telong, dekat sini hari ini.

Program selama tiga hari berakhir hari ini disertai oleh 100 peserta mewakili 73 Kelab Setia Sekolah-Sekolah seluruh Kelantan dalam usaha memantapkan kefahaman berkaitan konsep 1Malaysia, Rukun Negara dan Pengukuhan Jati Diri di kalangan generasi muda.

Ramly berkata, Internet yang disifatkan pembangunan hebat dalam teknologi komunikasi maklumat, perlu dianggap sebagai satu ancaman minda kepada remaja masa kini.

Katanya, usaha mengekang pengaruh buruk Internet kepada generasi muda perlu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan semua pihak, khususnya sekolah dan ibu bapa.

"Tidak dinafikan sebahagian masalah sosial yang melanda remaja sekarang disebabkan pengaruh Internet terutama laman sosial. Penggunaannya perlu dipantau dengan ketat," katanya.

Mengenai peranan jabatan dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar Kerajaan Pusat, Ramly berkata, pihaknya melaksanakan program penebusan minda rakyat Kelantan yang turut melibatkan masyarakat keturunan Thailand dan Orang Asli.

Beliau berkata, pihaknya juga mengadakan Forum Jati Diri melibatkan 75,000 penjawat awam daripada 117 jabatan Kerajaan Persekutuan di negeri ini dalam tempoh terdekat.

Rakyat Kelantan, katanya, perlu disedarkan mengenai komitmen Kerajaan Pusat dalam membawa pembangunan dan kemajuan di negeri ini sungguhpun ia diperintah oleh pembangkang.

"Jabatan Penerangan bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan untuk mendedahkan usaha dan pelaksanaan pembangunan, kebajikan, peningkatan intelektual rakyat dan syiar Islam yang dilakukan Kerajaan Pusat di negeri ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan