Ahad, 20 November 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Islam perlu bersatu

Posted: 19 Nov 2011 11:21 AM PST

ISLAM amat mementingkan konsep penyatuan ummah dan kesederhanaan dalam membina negara bangsa. Pendekatan itu digunakan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno dalam menerajui pentadbiran negara sejak 54 tahun lalu hingga membawa kejayaan besar kepada negara, terutama dari segi pembangunan ekonomi dan sosial.

Namun, mutakhir ini, agama Islam seolah tercabar dengan pelbagai isu yang dibangkitkan pihak tertentu, termasuk isu murtad, seksualiti merdeka dan mempersoalkan ibadah korban yang diadakan di tempat awam seolah-olah mencabar kekuatan dan kesatuan umat Islam.

Sehubungan itu, konsep terbabit perlu dihayati dan diterap semula oleh semua pihak, terutama ahli Umno bagi memastikan tiada pihak yang berani mempertikaikan keistimewaan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Ikuti wawancara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan sekumpulan wartawan di pejabatnya di Putrajaya untuk mengupas isu berkenaan.

WARTAWAN (W): Apakah komitmen Umno untuk memastikan kesucian agama Islam tidak diganggu gugat?

Jamil Khir (JK): Saya melihat sejak kita merintis kemerdekaan 54 tahun lalu, ramai yang mungkin 'take for granted' iaitu hanya sekadar sambil lewa. Kita lihat betapa parti keramat Umno mempertahankan agama sejak dulu dengan mengambil pendekatan penuh hikmah. Kalau tidak masakan lahirnya institusi agama di seluruh Malaysia kalau tidak ada perancang atau mereka yang mentadbir pengurusannya hingga adanya 14,000 imam yang dibayar elaun setiap bulan atau 34,000 guru Kelas Fardu Ain (Kafa) yang bertanggungjawab mendidik anak kita.
Ini adalah usaha berterusan daripada Umno sebagai peneraju politik di negara ini dan semua yang dinikmati ketika ini juga hasil usaha dan pemikiran serta kebijaksanaan dilakukan parti keramat yang mentadbir negara. Sebagai contoh Tabung Haji (TH), ia bukan saja entiti yang menghantar orang pergi haji setiap tahun sehingga mendapat pujian daripada kerajaan Arab Saudi. Dunia melihat TH contoh unggul di dunia dalam melaksanakan ibadat haji hasil daripada garapan kepimpinan Umno selaku pemerintah yang menjadi tulang belakang kepada negara hari ini. TH tidak hanya setakat menghantar orang pergi haji tapi bergerak lebih lagi merentasi bidang ekonomi sampai hari ini digelar 'syarikat bilion'...tahun lalu saja TH menjangkau keuntungan RM 1.3 bilion dan dividen serta bonus sebanyak 5.5 peratus ditambah 2.5 peratus untuk zakat. Kalau campur dua-dua kita dah capai lapan peratus, di mana institusi perbankan mungkin tak mampu nak menjangkau sebanyak itu. Itu satu contoh, begitu juga institusi lain yang boleh dibanggakan seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Persekutuan (Yapeim), perbankan Islam dan takaful. Semua ini hasil kebijaksanaan mengurus dan mentadbir yang didokong parti keramat Umno bersama Barisan Nasional (BN).
Orang tidak boleh menolak fakta dan kebenaran ini.

W: Secara keseluruhannya, Umno banyak berjasa untuk mempertahankan agama, tetapi dalam senario politik sekarang dilihat ada pihak tertentu yang meremehkan perkara ini dan melabelkan Umno sebagai tidak mengikut agama sebenarnya, bagaimana Umno nak pertahankannya?

JK: Orang 'take for granted'...orang hanya lihat seorang anak yang lahir sudah ada terhidang makanan di depannya, sudah ada kenderaan dan rumah yang dimiliki ayahnya dan pakaian untuk dipakai tanpa menyorot atau melihat ke belakang.
Sebenarnya ayahnya membangunkan keluarga dengan kekuatan tulang empat kerat, jadi daripada kegigihan itulah dia dapat membina kekuatan keluarga. Hari ini kita kena menyedarkan balik anak bangsa kita bermula daripada sejarah kemerdekaan...sejak kita dijajah hampir ratusan tahun dulu atau kira-kira 446 tahun daripada 1411 hingga 1957 tetapi dalam tempoh 54 tahun kita berjaya membangunkan negara. Ini yang orang terlupa dan hasil daripada keterlupaan itu orang meremehkan pembangunan serta sumbangan Umno. Saya tak dapat melihat alasan meremehkan itu sebagai konkrit melainkan yang kita nampak adalah usaha untuk merebut kuasa politik semata-mata tanpa memikirkan soal negara. Dalam perebutan ini, tanpa menilai usaha yang sudah dilakukan sebelum ini, akhirnya kuasa umat Islam dan orang Melayu akan terpisah, sekali gus akan menghadapi kesusahan seperti berlaku di beberapa negara di Timur Tengah, akhirnya yang rugi umat Islam sendiri.

W: Kenapa sebelum ini ibadah korban di tempat terbuka diterima kaum lain tetapi sekarang sebaliknya ini berlaku?

JK: Kata orang tua, bila pokok tumbang kura-kura akan panjat pokok. Mengikut hukum akalnya, kura-kura tak boleh panjat pokok tetapi apabila pokok itu sudah tumbang dapat dilihat pokok kesatuan umat Islam sudah mulai condong. Kalau pokok ini tidak diperkemaskan dan perkukuhkan balik, kita bimbang bidalan Melayu yang saya sebutkan tadi akan menjadi kenyataan. Maka kesimpulannya, orang lain sudah berani menyentuh soal agama dan ibadah umat Islam kerana melihat pokok kesatuan umat Islam sudah mula condong. Memang bunganya kita tidak nampak hingga tak banyak pihak yang berani bercakap untuk mempertahankan suara sumbang.

W: Adakah ia berlaku disebabkan perpecahan di kalangan orang Melayu itu sendiri yang berada dalam Umno, Pas dan PKR?

JK: Tentunya dalam konteks politik kita tak boleh menafikan inilah puncanya berlaku perpecahan di kalangan umat Islam.

W: Cabaran untuk menyeru kepada kebersamaan dan perpaduan itu di kalangan politik, mungkin memerlukan komitmen atau landasan baru?

JK: Cabaran ini mula terserlah ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008, ia nampak begitu ketara, jadi kita memerlukan satu komitmen baru dan kesepakatan baru daripada seluruh ummah, termasuk mandat di kalangan umat Islam supaya akan lahirnya satu komitmen, kesungguhan dalam kita nak memacukan gagasan besar yang sedang disusun. Mudah saya nak sebutkan mana ada di dunia yang mengatur gagasan perjalanan negara dia...kita ada satu 'milestone' yang ditetapkan hingga 2020 yang diletakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dilalui perjalanan itu oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga Datuk Seri Najib Razak. Apa kita nak buat dalam menuju negara maju...mesti ada pendapatan perkapita pada 2020 nanti hingga RM48,000 setahun. Pada masa sama pertumbuhan ekonomi kita harus bergerak pada landasan enam peratus untuk memastikan kita mencapai apa yang dihasratkan. Sebab itu Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Strategic Reform Inisiative (SRI) yang diatur kerajaan semuanya untuk kita menuju landasan 2020, negara maju berpendapatan tinggi. Saya juga selalu sebutkan kepada umat Islam dan agensi agama, jangan nanti pada 2020 orang sudah menuju ke arah berpendapat tinggi tetapi umat Islam masih lagi terkapai-kapai mencari teluk dan tebing untuk berehat sedangkan dia belum mencapai pendapatan tinggi. Sebab itu kita harus bersedia daripada sekarang, termasuk agensi agama, majlis agama bagi mencari inisiatif untuk menggerakkan agensi agama bagi mencapai matlamat sama pada tahun itu.

W: Bercakap mengenai penyatuan dan wasatiyyah, bagaimana Umno merancang untuk menyatukan umat Islam, sedangkan ramai yang melihat Umno terlalu sederhana dan tidak melakukan yang sepatutnya untuk melindungi agama, sebab itu ada pihak yang berani menimbulkan isu sensitif?

JK: Sebenarnya ini juga persepsi, bukan kata kita terlampau 'moderate'. Tak salah kalau bersederhana, tapi pada masa sama kita juga menjaga Islam dengan cara yang cukup 'wisdom' (kebijaksanaan) dan hikmah. Punca perkara ini adalah ada kelompok orang Islam sendiri yang bila orang bercakap mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT), dia pun bercakap mengenai LBGT, tapi bila bercakap mengenai halang korban di kawasan awam, tak berani pertahankan.
Jadi pada masa sama orang lihat kita lebih banyak bercakap retorik daripada berbuat sesuatu. Sebab itulah orang berani sentuh isu itu. Bukan kerana kita dilihat moderate tetapi kerana dilihat inilah peluang ketika umat Islam tidak bersama (bersatu)...inilah masa mereka dapat mencari peluang dan ruang untuk mengambil alih kuasa.

W: Jadi adakah perlu Umno patut lebih tegas dan lantang dalam perkara ini?

JK: Dalam ketegasan ada kelembutan, dalam kelembutan ada usaha ke arah yang lebih konkrit untuk bersama, tetapi masakan kita dapat bersama kalau kita sesama umat Islam kita tidak bersatu. Maknanya dalam lingkungan ini tidak hanya berhenti kepada geografi politik semata-mata tetapi kita mengajak umat Islam bersatu. Kalau kita diajar mengikut waktu solat sama, menghadap kiblat sama, tawaf yang sama, azan yang sama, kenapa di sini kita tidak boleh bersatu. Tetapi dalam konteks politik kita terlampau membezakan hingga ibadah haji Perdana Menteri pun nak dipolitikkan.

W: Mungkinkah calon pada PRU akan datang mesti seorang yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi?

JK: Kita perlu selalu berpegang apa yang Perdana Menteri dan kepimpinan sentiasa sebut iaitu 'winnable candidate'. Dalam konteks ini, dia merangkumi semua sudut, bukan dalam pengertian calon itu mesti seorang yang mempunyai pengetahuan yang mendalam, kalau ada baguslah. Tapi hal seperti ini boleh diperkemaskan lagi...sebab itu Umno sudah mempersiapkan contohnya untuk tujuan nasihat agama kita ada mufti, nak laksana program bersifat agama, kita ada majlis agama Islam. Di peringkat negara kita ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Yapeim dan banyak lagi agensi agama. Bila saya ambil tugas menteri kita tak suka kaedah komen orang, menidakkan orang...tetapi apa yang perlu kita buat, macam soal filem, kita wujudkan TV Hijrah, sebagai alternatif hiburan yang menepati syiar Islam, bukan kita nak mengata orang.

W: Apakah mesej Datuk kepada perwakilan yang akan menyertai Perhimpunan Agung Umno akhir bulan ini?

JK: Mesej kita adalah untuk melihat bagaimana kita nak sampaikan balik. Dalam hal ini, saya harap bukan hanya sekadar kritik atau melemparkan bahan perbincangan semata-mata tapi kali ini kita nak bawa pendekatan membawa balik 'report card' (kad laporan). Kita mesti maklumkan apa usaha yang sudah berjalan selama ini dan ke arah mana lagi peningkatan yang dapat dilakukan. Kita nak mereka melaporkan usaha, kesungguhan dan kebaikan yang sedang dilakukan. Kalau kita tengok dengan usaha Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersungguh membina negara, kita rasa kad laporan juga harus memberikan penambahbaikan untuk menggerakkan Umno.

Full content generated by Get Full RSS.

Guru lempar wang

Posted: 19 Nov 2011 11:21 AM PST

PAGOH: "Saya terkejut kerana guru besar sanggup melemparkan wang RM26 di depan kami dan melayan seperti pengemis, sedangkan kami ke sekolah kerana mahu menuntut hak anak mendapat RM100 seperti mana diterima pelajar lain," kata Azman Salleh, 38, bapa seorang murid yang kecewa wang pemberian kerajaan kepada anaknya dipotong tanpa alasan munasabah.

Menurut Azman, anaknya, Ainul Akmal, 8, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.


Potongan itu memeranjatkan Azman dan isteri, Norizan Mohd Mustafa, 38, kerana apa diketahui mereka, tiada sebarang hutang buku yang masih belum dilunaskan.

Azman berkata, Selasa lalu dia pergi ke sekolah untuk mengambil wang seperti diarahkan tetapi terkejut apabila hanya menerima separuh daripada jumlah asal.


Katanya, dia ada bertanyakan guru mengenai hutang dimaksudkan tetapi tidak mendapat jawapan meyakinkan. "Pengurusan sekolah memaklumkan hutang buku rampaian Ainul tahun ini belum dijelaskan sedangkan saya dan isteri sudah membayarnya.


"Lebih pelik, anak saya juga tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan sehingga tamat persekolahan tahun duanya.

"Jika benar kami masih mempunyai hutang, mengapa pengurusan sekolah tidak mengeluarkan sebarang surat untuk memaklumkan perkara itu sebelum ini?" katanya.


Tidak puas dengan penjelasan itu, Azman berkata, dia sekali lagi pergi ke sekolah berkenaan, semalam, namun kecewa apabila guru besar melayannya seperti pengemis selain mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka sekeluarga.

Katanya, kejadian berlaku di pejabat itu turut disaksikan isteri, kerani dan kakitangan sekolah berkenaan.


"Saya meminta secara elok baki duit anak kerana Ainul tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan.


"Namun, guru besar itu tiba-tiba melenting dan mengeluarkan duitnya sendiri sebanyak RM26 sebelum melemparkannya kepada kami.


"Saya begitu terkejut dengan tindakannya itu. Inikah sikap seorang guru yang selama ini diagungkan sebagai pendidik bangsa?" katanya yang membuat laporan polis pada hari sama.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan