Isnin, 28 November 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Usaha pencegahan diabetes

Posted:

Usaha pencegahan diabetes

Usaha pencegahan diabetes

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
utusanktn@gmail.com


Hoh Khai Mun mendengar penerangan tentang pemakanan sihat sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat negeri di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 28 Nov. – Diabetes atau juga dikenali sebagai kencing manis adalah penyakit kronik yang sering membawa masalah besar kepada kebanyakan negara.

Pada 2006, bilangan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes ialah seramai 1.5 juta orang dan angkanya semakin meningkat.

Keputusan awal Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 yang bakal diterbitkan pada Disember ini menunjukkan bahawa bilangan penduduk yang mendapat penyakit ini dijangka mencapai tiga juta orang.

Apa membimbangkan adalah meskipun mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi, namun kesedaran untuk mendapatkan rawatan adalah rendah.

Dianggarkan dua juta individu dewasa yang mempunyai masalah kandungan gula tinggi belum mendapatkan pemeriksaan doktor.

Perkara ini menunjukkan bahawa ramai yang tidak mengambil tahu mengenai penyakit mereka walaupun diabetes merupakan penyakit kronik dan boleh mengancam nyawa.

Di Pahang, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dalam aspek kawalan dan pencegahan diabetes.

Pada 2010, terdapat 64 klinik mengendalikan pesakit diabetes dengan 81,217 orang disaring untuk mengesan awal penyakit ini.

Walaupun JKNP mengadakan pelbagai program untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya penyakit ini, namun tanpa motivasi diri untuk berubah, ia tidak akan mendatangkan sebarang manfaat.

Bagaimanapun masih ada pesakit diabetes berjaya menurunkan paras gula dalam darah mereka melalui pelbagai cara termasuklah bersenam, menjaga pemakanan dan selalu berjumpa doktor.

Bagi seorang pesakit diabetes, Zabidah Awang Lah, 57, yang menghidap penyakit itu sejak 18 tahun lalu berkata, dia bersyukur penyakitnya itu kini boleh dikatakan pulih seperti sedia kala.

"Kekerapan berjumpa doktor dan mengambil ubat yang disyorkan merupakan salah satu faktor menyebabkan saya boleh menurunkan paras gula dalam darah," katanya ketika ditemui ketika Sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat negeri di Dewan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), di sini, baru-baru ini.

Majlis sambutan tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri, Datuk Hoh Khai Mun.

Seorang lagi pesakit diabetes, Norzalina Kamun, 44, berkata, dia berjaya menurunkan gula dalam darah dengan hanya makan nasi sehari sekali sahaja.

"Saya juga mengamalkan makan beras Taj Mahal yang boleh menurunkan gula dalam darah. Selain itu saya turut bersenam dan memakan ubat yang diberi oleh klinik," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesakit, Arbain Kochis, 51, berkata, dia banyak mengawal pemakanan terutamanya mengurangkan gula dalam makanan.

Dalam pada itu, Pengarah JKNP, Datuk Dr. Nooraini Baba berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan pesakit diabetes mendapat perkhidmatan kesihatan berkesan dengan bantuan kepakaran dan bekalan ubat-ubatan terbaik.

Katanya, orang ramai boleh mengelak penyakit ini dengan mengamalkan cara hidup sihat seperti menjaga pemakanan, mengamalkan gaya hidup aktif dan mengawal pengambilan gula berlebihan.

Full content generated by Get Full RSS.

Abdul Rashid terus berdakwah

Posted:

Abdul Rashid terus berdakwah

Abdul Rashid terus berdakwah

Oleh NOREHAN SALEH
utusanktn@gmail.com


Abdul Rashid Abdul Rahman menunjukkan anugerah yang diterimanya sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Auditorium Darul Makmur (ADAM) Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 28 Nov. - Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dikurniakan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di sini, semalam.

Anugerah tersebut diberikan sebagai mengenang jasa beliau dalam bidang dakwah agama Islam bagi mensejahterakan umat di seluruh negeri ini sepanjang perkhidmatannya sebagai Menteri Besar dan selepas bersara.

Abdul Rashid yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang selama 10 tahun berkata, beliau terharu kerana usahanya selama ini dihargai oleh kerajaan.

"Saya bersyukur kerana apa dilakukan selama ini diberkati oleh Allah SWT dan saya akan meneruskan perjuangan dakwah ini melalui Perkim.

"Terima kasih kepada mereka yang menyokong saya selama ini dalam usaha memberi dakwah kepada seluruh ahli masyarakat," kata beliau yang menjadi Menteri Besar Pahang pada tahun 1980-an.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Pada majlis itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenaan mengurniakan wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penghargaan kepada beliau.

Sementara itu, Imam Kampung Taman Sedia Cameron Highlands, Zainal Abidin Syafiee dianugerahkan Tokoh Pendakwah manakala Panglima Markas Wilayah Laut 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Datuk Mohd. Roslan Mohd. Ramli menerima anugerah Inovasi Jabatan.

Masing-masing menerima wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil penghargaan.

Full content generated by Get Full RSS.

Jangan lupa jasa Felda - Ahmad Shukri

Posted:

Jangan lupa jasa Felda - Ahmad Shukri

Jangan lupa jasa Felda - Ahmad Shukri


AHMAD Shukri Ismail (dua dari kanan) bersama Ahli Jawatankuasa MIC Jerantut sewaktu pertemuan dengan masyarakat India di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut kelmarin.


JERANTUT 28 Nov. - Masyarakat peneroka kaum India yang tinggal di tanah rancangan Felda di negeri ini diminta berfikiran matang dan bijak menyuarakan rasa tidak puas hati mengikut saluran ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, sebagai masyarakat peneroka, mereka tidak boleh melupakan tanggungjawab dan jasa Felda yang telah banyak mengubah kehidupan golongan itu sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, warga Felda kini mendapat kenikmatan hasil kebijaksanaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan kehidupan masyarakat itu berada dalam keadaan baik.

''Oleh itu, suara sumbang yang cuba memperlekehkan pengurusan Felda dan kerajaan negeri tidak sepatutnya dicetuskan, diambil kira atau pun sekurang-kurangnya termakan hasutan pembangkang.

''Masyarakat India diminta tidak mudah dikaburi dengan dakyah pembangkang kerana berdasarkan segala masalah dalaman mereka, pakatan pembangkang tidak menjamin perpaduan sebagaimana terbukti semangat kerjasama dalam komponen Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan peneroka India di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua MIC Jerantut, M. Villaithan.

Pada majlis itu, Ahmad Shukri melancarkan penubuhan cawangan MIC baru di Felda Kota Gelanggi Dua membabitkan penyertaan 60 ahli yang juga pengundi kaum berkenaan.

Menurut Ahmad, biasanya rasa tidak puas hati yang selalu dicetuskan segelintir peneroka kaum itu ialah mengenai isu bantuan pendidikan, rumah ibadat dan kebajikan warga emas.

''Gunakan saluran yang betul, iaitu menerusi MIC untuk menyelesaikan masalah dan wakil rakyat BN akan segera bertindak berasaskan aduan dan permohonan yang betul," kata beliau.

Tegasnya, kerajaan negeri akan meneruskan tradisi membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan