Isnin, 28 November 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Anak bunuh ibu lumpuh

Posted: 27 Nov 2011 12:43 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang ibu berusia 75 tahun yang uzur dan lumpuh maut 'disembelih' anak lelakinya ketika dia tidur nyenyak di banglo di Taman Bukit Serdang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, suspek berusia 35 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental mengambil pisau di dapur rumah mereka dan mengelar leher ibunya yang tidur di atas katil di ruang tamu.

Difahamkan, ketika kejadian hanya mereka berdua berada di rumah dan suspek yang menerima rawatan di Unit Psikiatri, Hospital Serdang (HS), di sini, diberi tanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh memandangkan suspek tidak bekerja.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 10.45 pagi.


"Hasil soal siasat seorang anak mangsa iaitu kakak suspek mendakwa dia datang ke rumah berkenaan untuk berjumpa ibu dan adik lelakinya namun terkejut apabila mendapati ibunya terbaring berlumuran darah.


"Sebaik menyedari kehadiran kakaknya, suspek cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya sebelum rebah ke lantai dan kakak membawanya ke HS untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Ibu tanam mayat bayi baru lahir

Posted: 27 Nov 2011 12:41 PM PST

TAMPIN: Status kesihatan seorang ibu yang mencurigakan ketika dia menjalani pemeriksaan di Hospital Melaka (HM) membawa kepada penahanan wanita itu kerana disyaki menanam mayat bayi lelakinya yang lahir tidak cukup bulan di kawasan semak sekitar Jalan Batu Belang, dekat sini.

Difahamkan, suspek berusia 25 tahun pergi mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada malam Jumaat lalu sebelum ditahan polis bagi membantu siasatan jam 1 pagi kelmarin.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, sejurus menerima laporan daripada HM, sepasukan polis diketuai Cif Inspektor Azmi Abdul Salam bergegas ke hospital itu untuk menahan wanita berkenaan.

"Selepas disoal siasat, suspek membawa anggota polis ke tempat mayat bayinya ditanam di kawasan semak di Jalan Batu Belang. Bayi itu dipercayai ditanam pada sebelah petang.


"Polis mengambil masa hampir setengah jam untuk menggali dan mengeluarkan mayat bayi lelaki yang sudah reput dan berkecai itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurut beliau, mayat bayi itu dibawa ke Hospital Tampin sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Kata Wooi, suspek dari Taman Indah, dekat sini, direman tiga hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurutnya, bayi itu dipercayai dilahirkan pada 22 November dan suspek kini dikatakan dalam proses bercerai dengan suaminya. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Cif Inspektor Azmi Abdul Salam di talian 06-4411221/ 06-4411222 bagi membantu siasatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan