Rabu, 30 November 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Pas perlu terima hakikat

Posted:

Pas perlu terima hakikat

Pas perlu terima hakikat

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com


Ahli-ahli UMNO perlu memahami pesanan Muhyiddin Yassin bahawa apa yang diperjuangkan oleh mereka adalah satu jihad untuk agama, bangsa dan negara serta jihad untuk mempertahankan hak.


KETIKA berlangsung muktamar tahunannya baru-baru ini, Pas dengan penuh bersemangat menguar-uarkan kepada ahli dan penyokong parti itu bahawa mereka sudah bersedia menggantikan UMNO.

Pas berhujah UMNO kini semakin lemah dan tidak lagi berupaya membela nasib orang Melayu, oleh itu tanggungjawab berkenaan akan terpikul di bahu Pas.

Itulah impian Pas dan itulah mimpi Pas, tetapi kelmarin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jawapan kepada angan-angan Pas itu.

Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan, "apa yang berlaku hari ini bukan Pas Ganti UMNO seperti yang dicanang oleh mereka. Pas takkan boleh menggantikan UMNO kerana UMNO tiada galang ganti. Yang sebenarnya berlaku ialah DAP Ganti Pas.''

Seperti biasa sudah pasti Pas akan menganggap kenyataan Muhyiddin itu menunjukkan UMNO semakin takut dengan kekuatan Pas tetapi Pas tidak boleh menipu sendiri apatah lagi rakyat.

Semua orang tahu apa yang terjadi kepada Pas apabila mereka mengikat perjanjian politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Segala-galanya mereka gadai dan pertaruhkan demi memastikan mereka tidak ditinggalkan oleh kedua-dua parti itu dalam mengejar impian Putrajaya.

Oleh itu apa sahaja yang mereka lakukan, Pas tidak akan melihat ke hadapan, sebaliknya akan menoleh dahulu untuk melihat reaksi DAP dan PKR.

Ia kerana keyakinan diri Pas sudah semakin terhapus, Pas seolah-olah begitu lemah untuk berdiri sendiri dan semakin terpengaruh dengan janji-janji politik PKR dan DAP.

Atas sebab itulah demi kepentingan politik kekuasaan yang diburu, Pas sanggup mengorbankan perjuangan negara Islam dan menggantikannya dengan negara berkebajikan.

Pelbagai hujah dikeluarkan oleh parti itu bagi 'menghalalkan' tindakan mereka mengubah hala tuju perjuangan, mereka mendakwa kononnya apa yang dilakukan tidak lari daripada semangat Islam yang diperjuangkan.

Tetapi hakikatnya seperti mana kata Muhyiddin, Pas sudah tidak ada lagi keberanian untuk bersuara lantang memperjuangkan Islam, kesudahannya Pas dilihat hanyalah 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Pas perlu menerima hakikat, parti yang paling dominan dalam pakatan pembangkang bukannya mereka sebaliknya DAP, manakala PKR pula tidak peduli apa, matlamat mereka hanya satu untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Justeru Pas tidak boleh mendabik dada apatah lagi menyimpan impian untuk menggantikan UMNO kerana Pas tidak ada keberanian untuk menyanggah DAP.

Sebab itulah DAP begitu berani menyentuh pelbagai isu sensitif melibatkan orang Melayu dan umat Islam kerana mereka tahu Pas tidak akan berani menegur mereka.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Selangor, apabila Pas tidak mampu bertindak apa-apa apabila kerajaan negeri pimpinan PKR dan didokong kuat oleh DAP menghalang hasrat Pas untuk mengharamkan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka.

Pas hanya tunduk dan terpaksa akur dengan kehendak rakan sekutunya itu, malahan Pas juga diam membisu apabila DAP tanpa segan silu menyatakan bahawa apa pun berlaku, mereka mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, kalau pembangkang memerintah.

DAP membuat kenyataan seumpama itu tanpa mempedulikan hati dan perasaan pemimpin-pemimpin Pas yang sepatutnya perlu diberi keutamaan kerana bukankah dari segala segi, pemimpin Pas lebih layak.

Pas ditubuhkan lebih awal daripada PKR, pemimpin Pas dilihat jauh lebih bermoral berbanding pemimpin PKR tetapi kenapa tidak ada sekelumit pun kenyataan daripada DAP untuk melantik pemimpin Pas sebagai Perdana Menteri?

DAP hakikatnya tidak pernah menghormati Pas sebaliknya hanya mahu menjadikan parti yang dianggotai seratus peratus orang Melayu sebagai 'kuda tunggangan' bagi mencapai cita-cita politiknya.

DAP tahu mereka tidak boleh bergantung kepada PKR kerana parti itu tidak ada kekuatan di kalangan orang Melayu tetapi Pas mempunyai keupayaan untuk 'mencairkan' orang Melayu dengan pendekatan agama yang dibawa.

Pas bukannya tidak sedar tentang niat serong DAP itu, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh Pas kerana Pas hanya mahu kuasa.

Sebab itulah DAP tidak pernah peduli apa pun yang Pas kata kerana mereka tahu Pas 'kemaruk kuasa', kalau Pas mahu menentang DAP maka DAP akan bertindak menyingkirkan mereka daripada pakatan pembangkang.

Pas sudah tentu tidak mahu keadaan itu berlaku, oleh itu apa yang boleh Pas lakukan hanya menurut sahaja.

Kalau benar Pas mahu menafikan kenyataan Muhyiddin atau tafsiran pelbagai pihak bahawa mereka hanya 'pak turut', Pas perlu membuktikan dalam pilihan raya umum akan datang mereka bertanding lebih banyak kerusi daripada DAP dan PKR.

Ia kerana hanya cara itu Pas akan dominan, tetapi kita percaya Pas tidak akan mempunyai keberanian sedemikian, justeru janganlah orang Melayu mengharapkan apa-apa kepada Pas.

Orang Melayu sebenarnya meletakkan masa depan mereka dalam bahaya jika mereka percaya jika kuasa pemerintahan diberikan kepada pakatan pembangkang, Pas akan mampu membela nasib mereka.

Percayalah Pas tidak ada kekuatan apatah lagi keberanian untuk menjadi wira dan pejuang kepada orang Melayu seperti mana apa yang dilakukan oleh UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

Ini kerana parti komponen dalam BN mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada UMNO dan yakin bahawa apabila UMNO menjadi tonggak pemerintahan negara, semua kaum mendapat pembelaan, sejarah sudah pun membuktikan fakta ini.

Tetapi ini berbeza jika pakatan pembangkang memerintah, segalanya ditentukan oleh DAP manakala PKR dan Pas hanya mengikut sahaja. Melalui pendekatan pemerintahan seumpama itu mampukah seluruh rakyat mendapat pembelaan sewajarnya manakala nasib dan kepentingan orang Melayu akan terbela dan terpelihara?

Sudah pasti tidak! Atas sebab itulah ahli-ahli UMNO perlu memahami pesanan Muhyiddin bahawa mereka perlu yakin bahawa apa yang diperjuangkan adalah satu jihad untuk agama, bangsa dan negara, jihad untuk keadilan dan jihad untuk mempertahankan hak.

Bagaimanapun jihad tersebut tidak akan mampu dilaksanakan jika ahli-ahli UMNO tidak meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya.

Justeru dengarlah nasihat Muhyiddin, bahawa pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati dan pilihan raya itu bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah parti.

Rakyat terutamanya orang Melayu perlu dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan politik kekuasaan pembangkang dan kononnya Pas mampu menggantikan UMNO.

Sebaliknya mereka perlu diyakinkan hanya UMNO sahaja mampu menjadi tonggak kekuatan politik orang Melayu, hanya UMNO sahaja mempunyai keberanian mempertahankan kepentingan umat Islam di negara ini dan hanya UMNO sahaja yang tidak akan menggadaikan segala-galanya demi meraih kuasa.

Full content generated by Get Full RSS.

Apabila Wanita UMNO sudah menyingsing lengan

Posted:

Apabila Wanita UMNO sudah menyingsing lengan

Apabila Wanita UMNO sudah menyingsing lengan

Oleh FAUZIAH AROF
rencana@utusan.com.my

MENYINGSING lengan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Bagai hendak runtuh Dewan Tun Dr. Ismail dengan sorakan gemuruh ahli-ahli perwakilan pergerakan tersebut yang sambil berdiri penuh bersemangat mendengarkan ucapan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu yang disifatkan sebagai luar biasa.

Sememangnya, ucapan Ketua Wanita UMNO adalah antara yang dinanti-nantikan dalam pembukaan persidangan tiga sayap parti UMNO itu semalam.

Selain ucapan Wanita yang memang sering mendapat perhatian setiap kali perhimpunan agung parti keramat Melayu ini berlangsung, tumpuan lebih diberikan kepada Shahrizat kerana beliau diheret oleh pembangkang dalam isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Pun begitu, beliau yang telah lama menabur khidmat dalam UMNO, menyedari bahawa meletakkan kepentingan perjuangan parti pada kedudukan yang paling tinggi adalah lebih utama.

''Saya sudah 30 tahun dalam UMNO dan sebagai seorang ketua, setiap langkah saya diuji. Saya bukan ketua pada zaman senang parti, saya juga ketua pada zaman susah kita," tegas Shahrizat.

Sebagai pemimpin setiap langkah sentiasa diperhati, sama seperti pemimpin-pemimpin parti lain. Tohmahan dan fitnah datang dari segenap arah, depan, belakang, kiri dan kanan. Serangan peribadi adalah lumrah dalam berpolitik.

Mengakui hakikat itu lagi, Shahrizat dalam ucapannya menegaskan, pergerakan itu tidak akan mudah terpenjara dan terperangkap dalam persepsi musuh-musuh parti. Yang lebih penting bagi beliau ialah Wanita UMNO mesti berjuang untuk mencapai matlamat menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Katanya, dengan kekuatan lebih 1.3 juta ahli, Wanita UMNO mesti melipatgandakan usaha, memantapkan jentera parti, melebarkan sayap terus menjadi pemain utama dalam meraih kemenangan.

Sewajarnya, itu adalah fokus utama yang sepatutnya diberikan perhatian pada saat yang genting pada parti. Untuk memuaskan hati parti pembangkang dan menutup terus mulut mereka, ia hanya kerja sia-sia, yang sampai bila pun tidak akan ada habisnya.

Katalah apa sahaja, atau buatlah apa jua, pembangkang akan tetap mencari buruknya. Ia hanya kerja yang membuang masa.

Dan yang terima kesannya bukan sahaja pemimpin yang difitnah tetapi rakyat yang sudah tentunya muak dengan pelbagai isu yang dibangkitkan.

Shahrizat sendiri mengakui, dalam keadaan pembangkang yang semakin 'meliar' sekarang, tiada jalan mudah untuk melawan mereka kecuali bergerak bersama dalam satu semangat setia kawan yang tinggi.

Justeru, Wanita UMNO tidak seharusnya hilang fokus dengan acahan pembangkang. Isu-isu yang dibangkitkan pembangkang tidak perlu diberi respons dengan melatah.

Sebaliknya, cabaran yang dihadapi ini perlu ditangani secara bijak melalui gerak kerja yang tersusun selain memberi penjelasan yang secukupnya terhadap mana-mana isu berbangkit kepada rakyat termasuk di kampung-kampung, tanpa terlepas pandang pada mana-mana kawasan.

Yang penting, hati nurani rakyat perlu diselami, masalah rakyat perlu diatasi, kesengsaraan rakyat perlu ditangani dan kesakitan rakyat perlu dirawati agar rakyat terus menikmati kemakmuran negara yang sejati.

Wanita UMNO perlu sedar bahawa mereka kini perlu berusaha lebih kuat lagi. Ini kerana perkembangan iklim politik negara kini bukan hanya menuntut pergerakan itu menjalankan kerja-kerja 'tradisi'.

Kerja mereka kini tidak lagi terbatas di peringkat akar umbi di mana peranannya lebih memberi sokongan kepada parti yang dianggotai sebagai pengundi, perayu undi sewaktu pilihan raya dan melakukan kerja-kerja membantu parti.

Mereka kini turut bertindak sebagai pemberi maklumat kepada parti dan rakyat dan pada masa sama boleh menjawab isu-isu yang disuarakan oleh rakyat.

Hakikat itu dipersetujui oleh seorang perwakilan dari Perak, Fazilah Mohd. Mohamed yang menyifatkan ucapan dasar Shahrizat yang 'meremangkan' bulu roma itu wajar diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Katanya, isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang harus ditangani segera melalui sesi penjelasan di dalam dan luar bandar.

Menurut beliau, setiap orang mempunyai penilaian dan persepsi yang berbeza dan sewajarnya mereka didekati agar tidak dipengaruhi secara terus melalui saluran popular pembangkang iaitu Internet.

''Ini adalah perjuangan yang besar bagi Wanita, sambil kita meraih undi, kita juga perlu dibekalkan dengan maklumat secukupnya untuk menangkis tohmahan pembangkang ini," katanya.

Sementara itu, perwakilan dari Langkawi, Mariyam Othman berkata, sokongan gemuruh yang diberikan oleh perwakilan tidak seharusnya berakhir di dewan.

''Ucapan ini satu 'wake up call' untuk menghadapi pilihan raya, yang bermakna kita harus bekerja lebih keras untuk meraih kemenangan yang baik,'' katanya.

Umum mengetahui PRU13, adalah penting bagi UMNO dan BN. Dengan pembangkang yang agresif dengan pelbagai tohmahan di alam maya terhadap UMNO, percayalah ini adalah PRU yang sengit.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan