Jumaat, 25 November 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bertongkat curi kereta

Posted: 25 Nov 2011 03:07 AM PST

SERDANG: Biarpun terpaksa bertongkat kerana kecacatan kaki, ia tidak menghalang seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) berusia 30-an menjadi dalang sindiket curi kenderaan di sekitar Seri Kembangan, di sini.

Suspek dipercayai menggunakan kekurangan itu sebagai sebahagian daripada modus operandi iaitu bagi mengalihkan perhatian orang ramai manakala rakannya mencuri kenderaan di tempat awam.


Bagaimanapun, kegiatan suspek bersama dua lagi rakannya yang digelar 'Geng Waja' ditumpaskan polis selepas ditahan dalam Ops Lejang pada jam 2 petang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata ketika kejadian, polis ternampak sebuah Proton Waja dinaiki dua daripada suspek dalam keadaan mencurigakan di satu persimpangan sebelum mengekori kenderaan itu.


"Menyedari kereta mereka diekori, suspek memberhentikan kenderaan mereka di bahu jalan sebelum didatangi anggota polis berkenaan.


"Bagaimanapun, suspek enggan keluar walaupun diarahkan berbuat demikian, malah suspek cuba memecut kenderaan itu untuk melarikan diri.

"Akibat hilang kawalan, kenderaan suspek terbabas sebelum merempuh penghadang di bahu jalan dan polis menangkap kedua-dua suspek terbabit," katanya.


Berdasarkan pemeriksaan, kenderaan digunakan suspek ialah kereta curi yang dilaporkan hilang di Kajang.

Selain itu, polis menemui pelbagai peralatan untuk aktiviti pecah kereta dan menerusi semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah, samun dan curi.


"Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek terbabit, polis kemudian membuat intipan di sebuah kawasan perumahan suspek dan menahan seorang lagi rakan mereka berserta sebuah lagi kenderaan curi.


"Sebuah lagi kenderaan ditemui selepas suspek menunjukkan di mana kereta berkenaan disimpan," katanya.


Menurutnya, seorang daripada suspek OKU dipercayai berperanan sebagai 'mata-mata' manakala dua lagi bertindak sebagai pencuri kereta dan pembekal dadah.


Berdasarkan saringan air kencing, semua suspek positif dadah jenis syabu dan direman sehingga Isnin depan.

Full content generated by Get Full RSS.

1.3 juta MyKad hilang

Posted: 25 Nov 2011 12:54 AM PST

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,358,197 kad pengenalan dilaporkan hilang sepanjang tempoh lima tahun sehingga Mac tahun ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor berkata daripada jumlah itu, sebanyak 56,059 kad pengenalan dilaporkan hilang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Berdasarkan statistik, berlaku penurunan kes kehilangan kad pengenalan sepanjang 2007 hingga 2011. Sebanyak 387,951 kes dilaporkan pada 2007 dan jumlah itu berkurangan sebanyak 50 peratus pada 2010 iaitu 198,105 kes kehilangan.

"Namun jumlah itu masih dianggap tinggi apatah lagi ia membabitkan dokumen yang penting bagi setiap individu," katanya ketika dihubungi Harian Metro (HM), di sini semalam.


Ketika diminta mengulas mengenai penyalahgunaan kad pengenalan yang hilang oleh sesetengah pihak termasuk penipuan dalam membuat pinjaman bank, Jainisah berkata masalah itu berada di luar kawalan JPN.


"Memang JPN tidak dapat mengawal masalah penipuan seperti yang dilaporkan dalam HM hari ini kerana semua urusan itu dilakukan oleh individu berkenaan dengan pihak bank.

"Bagaimanapun JPN sentiasa mengemaskini maklumat yang dikenali Agency Link-Up System (ALIS) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pihak bank membuat semakan terhadap pemegang kad pengenalan termasuk alamat serta gambar sebenar," katanya.

Tambahnya, sebelum meluluskan pinjaman, bank komersial dalam negara ini boleh membuat semakan identiti individu yang membuat pinjaman kewangan dalam sistem ALIS melalui BNM.

"Selain itu, bank komersial juga boleh membuat semakan terus kepada Bahagian Kad Pengenalan JPN bagi mengenalpasti pemilik kad pengenalan yang sah.

"JPN menggalakkan agensi kewangan membuat pemeriksaan terperinci status seseorang sebelum meluluskan pinjaman bagi mengelakkan penipuan berlaku seperti yang dilaporkan dalam akhbar," katanya.

Akhbar ini, kelmarin melaporkan seorang pemandu lori, Zilah Mahmood yang terpaksa menanggung hutang lebih RM100,000 selepas mendakwa kad pengenalannya yang hilang pada 2001 digunakan individu lain membuat pinjaman bank untuk pembelian dua buah kereta pada 2003.

Berikutan gagal 'melunaskan' pinjaman itu, Zilah kini diisytiharkan muflis selain terpaksa melunaskan tunggakan kereta tersebut walaupun tidak pernah membelinya.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata setiap pembeli kereta perlu datang berjumpa sendiri dengan pihak bank untuk menandatangani surat perjanjian pinjaman dan bukannya melalui orang tengah.

"Sekiranya berlaku masalah seperti ini, orang ramai boleh menghubungi BNM dan mengemukakan bukti kehilangan kad pengenalan melalui laporan polis atau pengesahan JPN," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi BNM di talian 1300885465 atau datang sendiri ke pejabat dan cawangan BNM seluruh negara untuk membuat aduan berkaitan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan