Ahad, 27 November 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Umat Islam harus berani lakukan penghijrahan, transformasi - Najib

Posted:

Umat Islam harus berani lakukan penghijrahan, transformasi - Najib

Umat Islam harus berani lakukan penghijrahan, transformasi - Najib


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengaminkan doa dibaca oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad (kiri) pada Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat sempena sambutan Maal Hijrah di Masjid Negara, malam tadi. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 26 Nov. — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umat Islam harus berani melakukan penghijrahan dan transformasi di dalam negara bagi memastikan bangsa tidak ketinggalan.

Perdana Menteri berkata, penghijrahan dengan melaksanakan agenda transformasi negara menerusi beberapa pelan tindakan yang kukuh, meletakkan Malaysia di landasan tepat dalam pelbagai bidang terutama ekonomi.

"Penghijrahan besar yang kita lakukan apabila memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) menjadikan negara terus aktif dan berdaya saing walaupun berdepan dengan krisis ekonomi global yang semakin mencabar," katanya dalam perutusan Maal Hijrah 1433H yang akan disambut esok di sini, hari ini.

Menurut beliau, bagi tahun ini, sejak Januari sehingga September, kadar pertumbuhan purata dicatatkan negara ialah 5.1 peratus, manakala kadar pertumbuhan bagi suku ketiga tahun ini ialah sekitar 5.8 peratus.

Katanya, agenda penghijrahan ekonomi dan pembangunan negara selama ini telah membuktikan falsafah kesederhanaan dan keseimbangan adalah satu pencapaian hebat dan mesej dakwah Islamiah yang besar di tahap global.

"Sama ada di peringkat Asia mahupun dunia, kita juga konsisten menyarankan pembentukan pergerakan kesederhanaan di peringkat global, hakikatnya kita telah merujuk kepada semangat ajaran al-Quran dan as-Sunnah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya mengingatkan seluruh umat Islam di negara ini memulakan lembaran baru 1433 Hijrah dengan iltizam yang jitu untuk memperkukuh dan mempertingkatkan ilmu serta keupayaan dalam setiap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, agar dapat melaksana transformasi dan pembaharuan dengan cekap dan efektif.

Katanya, susulan itu, hasil daripada sesuatu tugas dan pekerjaan yang dilaksanakan akan menjadi lebih baik, berkualiti, produktif di samping menjana manfaat sepenuhnya kepada diri, keluarga dan masyarakat.

"Saya juga percaya dan yakin transformasi konsep hijrah ini sesuai dijadikan model dan panduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini, khususnya dalam usaha kita bekerjasama bagi memperkasakan kekayaan ekonomi dan memakmurkan kesejahteraan serta menguatkan lagi kesepakatan rakyat di negara yang kita cintakan ini," katanya.

Muhyiddin menambah, hijrah memerlukan pengorbanan yang besar dalam melaksana perubahan bagi mencapai sesuatu yang lebih baik dan cemerlang.

"Oleh itu, di dalam konteks globalisasi hari ini, setiap dari kita dituntut menanam sikap ingin melaksana pembaharuan dan kemajuan dengan semangat dan azam yang tinggi berlandaskan prinsip dan syariat Islam," katanya.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1433 Hijrah/2011 Masehi adalah bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah". - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera dilancar

Posted:

Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera dilancar

Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera dilancar

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera iaitu program khusus bagi memperkukuhkan penyertaan bumiputera dalam bidang ekonomi negara yang sekali gus manfaatnya akan turut dikecapi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sambil menyifatkan ia merupakan titik permulaan kepada lonjakan ekonomi negara dan bumiputera, Perdana Menteri berkata, tiga fokus strategik telah ditetapkan dalam hala tuju tersebut dan kesemuanya berperanan menangani ketidakseimbangan sedia ada terutama dalam konteks tahap pendapatan dan pemilikan kekayaan di kalangan bumiputera.

Ujarnya, fokus strategik pertama ialah pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan bumiputera dan salah satu inisiatif di bawahnya adalah penubuhan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

''Yayasan ini merupakan satu dana amanah pendidikan swasta yang bertujuan menggembleng dan memanfaatkan pembiayaan swasta bagi meningkatkan tahap pendidikan bumiputera.

''Yayasan ini menyasarkan pembiayaan seramai 12,000 pelajar dalam tempoh lima tahun. Tumpuan juga akan diberikan kepada pembiayaan kursus latihan dan profesional bagi tenaga kerja bumiputera untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengamalan kerja mereka,'' katanya ketika berucap melancarkan program tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, para peneraju korporat dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh.

Mengenai sumber dana yayasan berkenaan, Perdana Menteri berkata, ia termasuk sumbangan daripada kerajaan sebanyak RM30 juta, golongan korporat serta individu.

''Dalam tempoh lima tahun yayasan itu menyasarkan dana berjumlah RM500 juta dan setakat ini yayasan telah menerima pengakuan dana sebanyak RM158 juta daripada 21 syarikat serta institusi,'' katanya.

Ujarnya, yayasan itu akan mula beroperasi pada tahun depan.

Najib berkata, fokus strategik lain di bawah hala tuju itu ialah pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian bertujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya.

''Salah satu inisiatif yang telah dikenalpasti di bawah strategi ini ialah mewujudkan pusat sehenti di peringkat koridor dan negeri. Ia akan menyelaras semua program daripada pelbagai agensi dalam satu lokasi sama ada di peringkat negeri atau wilayah.

''Dengan adanya pusat sehenti itu, usahawan tempatan boleh mendapatkan sokongan yang diperlukan tanpa perlu berkunjung ke setiap agensi berkenaan secara berasingan daripada sokongan kapasiti dan keupayaan hinggalah akses kepada pembiayaan,'' ujarnya.

Untuk itu, katanya, pusat sehenti yang pertama terletak di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan dijangka beroperasi suku pertama tahun depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, golongan bumiputera merupakan sebahagian besar penduduk negara, oleh itu aspirasi untuk mencapai tahap negara maju serta berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai dengan penglibatan bersama golongan berkenaan.

Full content generated by Get Full RSS.

Syarikat bumiputera laksana projek wajar diberi margin munasabah

Posted:

Syarikat bumiputera laksana projek wajar diberi margin munasabah

Syarikat bumiputera laksana projek wajar diberi margin munasabah

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan badan korporat memastikan syarikat-syarikat bumiputera yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek mereka, diperuntukkan margin munasabah.

Tegas beliau, pihak GLC dan swasta jangan sesekali bertindak seumpama 'melepaskan batuk di tangga' dalam konteks mengagihkan projek kepada syarikat-syarikat bumiputera.

Sebaliknya, beliau sekali lagi mengingatkan pihak terbabit bahawa pelaksanaan projek itu hendaklah benar-benar memberi manfaat kepada syarikat bumiputera.

''Inisiatif itu termasuk dalam penumpuan kepada pemerolehan, pewujudan dan pembangunan berskala besar yang juga merupakan fokus strategik ketiga Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

''Di bawah strategi ini, kita akan mewujudkan ekosistem bumiputera lebih meluas di mana syarikat bumiputera berskala besar akan dapat membantu penyertaan syarikat bumiputera yang lain dengan membangunkan lebih banyak vendor bumiputera,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri di bawah fokus strategik itu telah mengumumkan pengagihan 43 peratus daripada keseluruhan projek Projek My Transit Aliran Massa (MyMRT) kepada bumiputera,

Katanya, projek itu antara projek terbesar negara dan ia boleh digunakan sebagai pemangkin kepada peningkatan penyertaan bumiputera dalam setiap rantaian nilai berkenaan.

''Sukacita saya umumkan satu Unit Bumiputera telah ditubuhkan di bawah MRT Corporation yang merupakan pemilik projek. Unit ini dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan menguruskan proses pemilihan, pengagihan dan pembangunan keupayaan bumiputera di dalam projek MyMRT,'' katanya.

Di bawah fokus strategik itu katanya, pelaburan melalui institusi akan diberi penekanan bagi memastikan pemilikan ekuiti korporat syarikat bumiputera dapat dikekalkan secara mapan dalam jangka masa lebih panjang.

''Ini termasuklah inisiatif untuk melabur dalam syarikat berprestasi tinggi sama ada di dalam atau di luar negara oleh institusi-institusi bumiputera.

''Kaedah ini akan dilaksanakan oleh beberapa institusi pelaburan bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas),'' katanya.

Najib berkata, institusi-institusi tersebut akan menggembleng dana dan aset bumiputera bagi tujuan memastikan pemilikan secara kekal dan berterusan di dalam syarikat-syarikat berprestasi tinggi.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan