Utusan Online - Rencana |
Posted: Bukan medan untuk beretorikoleh ZULKIFLEE BAKAR Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada perhimpunan Agung pergerakan wanita, pemuda dan puteri UMNO di PWTC, tahun lalu. MALAM esok, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan tradisi merasmikan serentak persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra (PWTC). Bagaimanapun perwakilan daripada tiga sayap itu perlu memahami bahawa persidangan kali ini biar pun diadakan di tempat yang sama, namun ia mempunyai misi yang berbeza. Kehadiran mereka di Perhimpunan Agung UMNO kali ini bukan untuk memberi peluang melihat tudung siapa yang paling cantik di kalangan Wanita, songket siapa yang paling mahal di kalangan Pemuda dan baju kurung siapa yang paling menawan di kalangan Puteri. Sebaliknya apa yang ingin dilihat ialah sejauh manakah perwakilan ketiga-tiga UMNO itu mampu memberikan impak dan sumbangan kepada persiapan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Mereka semua sudah sedia maklum bahawa perhimpunan agung kali ini dianggap perhimpunan terakhir sebelum pilihan umum diadakan. Oleh itu, sudah pasti ahli-ahli UMNO dan juga rakyat terutamanya orang Melayu ingin melihat apakah hujah-hujah dan idea yang akan dilontarkan oleh perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri bagi membantu memperkukuhkan persiapan parti menghadapi pilihan raya. Atas sebab itulah, kesemua perwakilan sama ada Wanita, Pemuda dan Puteri perlu memahami kehadiran mereka ke PWTC bukan sekadar mahu bergaya atau bertemu kawan-kawan sahaja atau lebih buruk lagi untuk melobi menjadi calon. Sebaliknya, sebagai barisan paling hadapan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) mereka perlu hadir untuk mendengar amanat dan mengumpul sebanyak mungkin ilmu serta bertukar-tukar strategi bagi membolehkan mereka bertempur dalam pilihan raya umum nanti. Perwakilan dan ahli Wanita, Pemuda dan Puteri tidak harus memandang remeh perhimpunan kali ini kerana dalam pilihan raya umum akan datang peranan mereka cukup penting bagi memastikan kemenangan BN. Ketiga-tiga sayap itu perlu memikirkan bagaimanakah hendak menangkis serangan pembangkang yang sudah pasti akan melakukan apa sahaja cara dan tindakan bagi meraih undi termasuklah melakukan fitnah dan memutar belitkan fakta. Sekarang ini pun mereka sudah rancak berbuat demikian sehinggakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menjadi sasaran fitnah jahat mereka. Selain itu, pembangkang sudah pun membuat pengumuman bahawa mereka akan meletakkan lebih ramai golongan muda dan wanita dalam pilihan raya kali ini. Kita tahu matlamat mereka ialah untuk meraih undi di kalangan pengundi muda dan wanita kerana kelompok inilah bakal menjadi penentu dalam pilihan raya umum nanti. Namun janganlah pula Wanita, Pemuda dan Puteri menjadikan alasan ini untuk mendesak pucuk pimpinan parti turut berbuat demikian.Kita masih ingat saban tahun dalam perhimpunan agung ada sahaja permintaan-permintaan yang dibuat oleh sayap-sayap UMNO agar wakil mereka diletakkan sebagai calon pilihan raya. Bagi mereka, seolah-olah kuota yang diberikan masih belum mencukupi sedangkan pucuk pimpinan parti membuat sesuatu keputusan itu berdasarkan pertimbangan semasa dan mengambil kira segala faktor. Begitulah juga dalam pilihan raya umum akan datang, pucuk pimpinan parti sudah pasti memahami apa yang bakal mereka lakukan dalam soal calon. Lagi pula seperti kata, Presiden UMNO itu, parti merumuskan untuk setiap kerusi, BN akan tampilkan calon yang ada peluang terbaik untuk menang. ''Tapi winnable candidate kita ini bukan sahaja kita lihat daripada segi kebolehan dan rekod kerja yang baik, tetapi juga penerimaan daripada sudut masyarakat tempatan termasuk jentera parti,'' kata Najib, kelmarin. Oleh itu perwakilan dan ahli Wanita, Pemuda dan Puteri tidak perlu menghabiskan masa di Kuala Lumpur sehingga Sabtu ini untuk 'bergossip', melobi atau menjadi broker dengan matlamat mereka atau orang yang mereka sokong menjadi calon. Tumpuan utama perhimpunan kali ini ialah melontarkan idea kepada parti bagaimana untuk menghadapi pilihan raya dan bukannya macam mana hendak menjadi calon pilihan raya. Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri perlu faham bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menyakinkan rakyat terutamanya orang Melayu sepanjang perhimpunan agung berlangsung bahawa UMNO dan BN adalah parti terbaik. Jika pemimpin dan ahli ketiga-tiga sayap itu masih leka untuk melihat kain yang cantik, gelang paling besar, rambut yang berwarna, tudung bergemerlapan dan songket termahal sepanjang perhimpunan berlangsung maka ia seolah-olah mengiakan pandangan sayap UMNO tidak berubah. Peluang membahaskan usul seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk melontar idea yang bernas dan mengemukakan cadangan, bukannya sekadar untuk 'syok sendiri'.Perbahasan pula perlulah padat dengan fakta dan nada yang menyakinkan, bukannya bila bagi salam sahaja sudah ada orang yang menguap. Ingatan ini diberikan kerana kita ingin melihat perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri kali ini benar-benar memberikan kesan dalam menyediakan UMNO menghadapi pilihan raya. Kita mahu melihat ketiga-tiga sayap itu ikhlas sesama mereka dalam melayari bahtera perjuangan dan bukannya hanya bijak beretorik di hadapan pemimpin-pemimpin utama parti. Tetapi apabila pulang ke kawasan masing-masing bak kata orang utara 'habuk tarak' -masing-masing leka dengan memburu impian masing-masing, sama ada mencari projek atau berusaha menjadi calon. Malahan ada pula yang mungkin benar membuat persiapan menghadapi pilihan raya tetapi bukan untuk mengalahkan parti lawan tetapi untuk 'menumbangkan' rakan dalam parti yang sama. Atas sebab itulah, segala janji , ikrar, sumpah atau apa sahaja yang dilafazkan di PWTC di hadapan kepimpinan parti harus ditaati dan bukannya hanya omong kosong. Pemimpin dan ahli ketiga-tiga sayap itu perlu benar-benar menunjukkan ketelusan dan keikhlasan bahawa, kehadiran mereka ini akan memberikan keyakinan kepada pucuk pimpinan, mereka bersedia menghadapi pilihan raya dan meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. Ingatlah nasihat Najib dalam wawancara dengan Bernama iaitu: ''Kita mesti memperlihatkan iltizam kita untuk melakukan sedikit pengorbanan dan tidak membiarkan perasaan atau perhitungan peribadi kita mengatasi pertimbangan yang lebih besar iaitu kepentingan parti. Ini satu daripada prinsip kita berparti.'' Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Persefahaman dari HijrahOleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menemui rakyat Kelantan pada Rabu lalu membayangkan betapa indahnya jika UMNO dan Pas boleh bersatu menjadi satu pasukan. Percantuman ini akan memudahkan urusan kerajaan negeri dan Persekutuan kerana perselisihan faham dapat diminimumkan, program pembangunan dapat ditingkatkan untuk kepentingan masyarakat Melayu-Islam sendiri. Pandangan Muhyiddin itu mempunyai kaitan rapat dengan kegusaran pelbagai pihak tentang rapuhnya hubungan sesama Islam yang berlaku di Malaysia apabila perbezaan fahaman politik mengheret bukan Islam semakin keras membuat pelbagai tuntutan dan desakan. Ada pemimpin politik bukan Melayu mempersoalkan peruntukan terhadap pengurusan masjid yang diberikan oleh kerajaan, penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pelbagai program yang melibatkan orang Islam sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap pemeluk agama lain. Namun demikian dalam desakan dan tuntutan itu ramai juga pemimpin yang kononnya berusaha mendaulatkan Islam menjadi goyah sehingga sanggup melenturkan asas perjuangan asal. Perubahan ini bukanlah sesuatu yang boleh membantu memperkukuhkan Islam bahkan dalam sebuah tulisan terbaru, ada yang menyindir bahawa penyatuan orang Melayu bukan menggambarkan perpaduan Islam. Pandangan kabur itu sebenarnya hadir dalam pemikiran segelintir manusia yang lupa diri dan asal usulnya, kerana tidak dapat memahami watak Melayu itu sendiri diikat kuat dengan agama Islam. Tema sambutan Hijrah pada tahun ini, Persefahaman Asas Perpaduan memberikan kita gambaran betapa pentingnya hubungan erat antara umat Islam perlu dibina semula bagi membangkitkan sebuah kehidupan lebih baik dan sejahtera. Islam memandang berat tentang persaudaraan bahkan sentiasa mengecam sikap sesebuah kelompok yang terlalu menganggap keyakinan politik dan pemikirannya sahajalah yang terbaik. Peristiwa hijrah oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat - dari Mekah ke Madinah - merupakan detik kemenangan umat Islam. Ia berlaku di bawah 'payung persaudaraan' yang sewajarnya menjadi ikutan kepada kita dalam menempuh hidup yang kini semakin didorong arah persengketaan dan pertikaian tidak berpenghujung. Terlalu banyak untaian ayat suci dan hadis tentang persaudaraan dilontarkan tetapi ia bagaikan angin lalu. Ramai yang lebih pentingkan diri dan membanggakan puak masing-masing. Lantas bahasa apakah yang paling memukau dan dapat menggerakkan jiwa untuk memahami dan bertindak sedangkan hakikatnya banyak lagi persoalan belum selesai? Prinsip jemaah yang berdiri di atas tiang tafaahum (saling memahami), takaful (saling bertanggungjawab), ta'awun (saling tolong menolong) dan tawa'azum (timbang rasa), kini hanya tinggal kenangan. Jiwa kita kini di nista oleh gaya berfikir yang jauh daripada prinsip Islam. Kalau merenung secara mendalam dengan hati seorang mukhlis (ikhlas), apalah erti kehadiran parti-parti Islam dan organisasi Islam kalau bukan membangun persaudaraan Islam? Bahkan para ulama Islam terdahulu yang kemudiannya dikatakan sebagai pembawa aliran mazhab sentiasa membuat pengakuan, jika ada pendapat lebih baik, maka ikutlah pendapat itu. Ini tidak diambil iktibar oleh umat Islam di Malaysia, sebaliknya terus mempertahankan seseorang sehingga kesalahan pemimpin itu seolah-olah tidak berlaku, lebih bersifat maksum. Dalam zaman Rasullullah SAW, baginda tetap mengutamakan seseorang yang mahir dan pakar dalam bidang tertentu mengetuainya. Mencontohi cara Rasullullah SAW menguruskan manusia adalah contoh terbaik bagaimana pengaruh kepimpinan, visi dan membentuk struktur sosial yang mantap sehingga kini terus dikaji sebagai model masyarakat pelbagai agama yang paling berjaya. Ia bukanlah sekadar iltizam politik bersifat retorik, ia melangkaui setiap tahap kehidupan dan dipandu dengan hemah dan bijaksana. Dalam konteks itulah tema hijrah pada tahun ini boleh dijadikan penunjuk arah atas kesedaran bahawa pergolakan dalam kalangan orang Melayu banyak bersangkutan dengan permasalahan politik kepartian. Telahan Muhyiddin itu membawa makna besar, tetapi malangnya sesetengah pemimpin melihatnya sebagai negatif. Dalam semangat menyambut hijrah adalah perlu diketengahkan semula semangat persaudaraan, kerjasama itulah memberikan kekuatan kepada Islam sehingga mampu lahir sebagai sebuah tamadun yang paling besar dan lama sepanjang sejarah manusia. Tetapi, malangnya kelunturan semangat penyatuan turut menyumbang kepada kehancuran tamadun Islam. Kekuatan Islam di Malaysia tentunya lebih besar terletak di tangan orang Melayu. Maka dakwaan perpaduan Melayu tidak dapat menjamin kedaulatan Islam adalah pemikiran yang tercabut dari akar budaya, kerana tidak memahami orang Melayu terikat dengan Islam, meskipun mereka tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Menghayati peristiwa hijrah sebenarnya membawa kepada kelahiran semangat yang kental bagi menyucikan jasmani dan rohani. Islam melihat fitrah ciptaan manusia mempunyai dua sisi utama, iaitu jasmani dan rohani. Islam tidak mengiktiraf konsepsi manusia berdasarkan aliran pemikiran behaviorisme psikologi barat, bahawa manusia sebenarnya menuju ke pencapaian material dan kemantapan psikologi, tetapi hakikat psikologi tidak mengarahkan kepada keyakinan beragama. Psikologi hanyalah satu usaha memahami aspek kejiwaan. Ia tidak merangkumi bagaimana jiwa yang tenang itu sebenarnya terlahir daripada kekentalan iman dan dedikasi diri kepada Allah SWT serta bergerak seirama dengan kepentingan masyarakat, visi bangsa dan matlamat negara. Jika kedatangan tahun baru Islam pun kita tidak memanfaatkannya sebagai saat untuk "memanggil kembali" semangat keagungan ukhuwah Islam daripada keeratan persaudaraan Muhajirin dan Ansar, maka siapakah kita ini sebenarnya? PENULIS ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan