Utusan Online - Muka Hadapan |
Posted: Hanya UMNO jalan penyelesaian
KUALA LUMPUR 29 Nov. - UMNO adalah jawapan kepada penyelesaian segala keresahan orang Melayu akan kemungkinan kuasa politik mereka kekal jika pembangkang secara berterusan menyerang institusi-institusi Melayu. Menegaskan komitmen itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO telah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008. Berikutan itu, kata beliau, parti yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN) itu tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan dalam membela orang Melayu. "Inilah komitmen UMNO. Kita mengambil pendekatan seimbang dan bijaksana supaya umat Melayu diperkasa dan Islam dimartabat. Ini jugalah tekad politik UMNO dalam memastikan umat Melayu semakin maju dan berwibawa dalam segala bidang dan lapangan. "Namun sebagai parti tunjang di dalam Barisan Nasional, UMNO telah membuktikan komitmen mensejahterakan rakyat merentasi batas kaum. Dengan konsep perkongsian kuasa, UMNO telah membuktikan keikhlasannya memimpin dalam kepelbagaian bangsa," kata beliau. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini. Muhyiddin berkata, ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap mereka dalam sektor ekonomi, kerajaan BN tanpa rasa apologetik telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden selaku Perdana Menteri. "MTAB bertanggungjawab untuk memastikan penyertaan orang Melayu dan bumiputera dalam sektor ekonomi terus diperkasa. "Lantaran itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) juga ditubuhkan untuk menyelaraskan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi yang semakin kompetitif," katanya. Terkini, kata beliau, Perdana Menteri telah melancarkan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada tiga fokus strategik. "Iaitu pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan bumiputera, pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian dan penumpuan kepada pemerolehan, penciptaan dan pembangunan perniagaan berskala besar," katanya. Kata Muhyiddin, begitu juga ketika orang Melayu resah memikirkan sama ada pendidikan anak-anak mereka akan terus terbela, pemimpin UMNO tegas mempertahankan hak pelajar Melayu dan bumiputera yang berkelayakan untuk mendapatkan biasiswa dan lain-lain bantuan pendidikan daripada kerajaan. "Terbaru, kita telah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk membantu anak-anak bumiputera mendapatkan pembiayaan pendidikan. "Dengan dana sebanyak RM500 juta, kita mensasarkan 12,000 pelajar Melayu dan bumiputera akan menerima manfaat dalam tempoh lima tahun akan datang," kata beliau. UMNO juga, kata Muhyiddin, akan terus mempertahankan institusi-institusi agama dari terus dipersenda dan diperleceh. "Kedudukan raja sebagai Ketua Agama akan dijunjung. Kewibawaan institusi mahkamah syariah, agensi penguat kuasa agama dan undang-undang Islam akan terus dibela. "Pendidikan Islam akan diperkasakan lagi. Kerajaan Pusat komited untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri dari segi pembangunan infrastruktur, kurikulum, latihan guru dan sebagainya," katanya. Kata beliau, bantuan akan diberikan kepada semua sekolah agama melangkaui batas ideologi politik. "Ini adalah keikhlasan UMNO untuk memastikan pendidikan Islam terus bermartabat di negara kita," katanya. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Buktikan kata-kata – Muhyiddin Posted: Buktikan kata-kata – MuhyiddinMuhyiddin Yassin berucap di hadapan para perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri pada perasmian perhimpunan ketiga-tiga sayap parti UMNO di Dewan Merdeka, PWTC semalam. KUALA LUMPUR 29 Nov. – Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO dicabar membuktikan kata-kata mereka untuk berjuang mempertahankan parti dengan memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Sambil mengingatkan yang 'ibu' segala pilihan raya itu akan menentukan jatuh bangun umat Melayu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperturunkan peringatan khusus kepada ketiga-tiga sayap agar menggerakkan seluruh kekuatan untuk menghadapi situasi kritikal tersebut. Dalam ucapannya ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan pergerakan tersebut malam ini yang bernada semboyan perang, beliau turut meniupkan semangat juang srikandi, panglima perang dan permata UMNO itu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai benteng parti. "Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabotaj. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan `mandikan' calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. "Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti," tegasnya. Sebagai sebuah organisasi, Muhyiddin mengakui UMNO ada kekurangan, namun parti itu sentiasa melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadaikan prinsip perjuangan. Justeru, beliau berharap ketiga-tiga sayap itu tidak membiarkan parti bersendirian dalam meneruskan perjuangan yang juga jihad untuk agama, bangsa dan negara. Untuk menjamin kekuatan parti, tegasnya, mereka perlu bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) serta pada masa sama, mengetepikan perbezaan dan persengketaan sesama sendiri. "Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7,470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita," katanya. Beliau mahu Pemuda, Wanita dan Puteri memberi tumpuan kepada masalah rakyat dan melunaskan tanggungjawab moral sebagai pejuang UMNO dengan membantu mereka. "Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita. "Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan," tegas Muhyiddin. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Benar berhimpun tanpa senjataOleh METRA SYAHRIL MOHAMED KUALA LUMPUR 29 Nov. – Dewan Rakyat hari ini meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 membabitkan enam pindaan yang bermatlamat membenarkan orang ramai berhimpun secara aman dan tanpa senjata. Namun, rang undang-undang yang disambung perbahasannya untuk bacaan kali kedua itu mendapat tentangan ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan sebelum Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggulung perbahasan mengenainya. Mendakwa kerajaan tergesa-gesa dalam mengusulkan rang undang-undang berkenaan sambil 'mengagung-agungkan' beberapa negara luar seperti Myanmar dan Zimbabwe yang dikatakan lebih baik dari segi pengurusan perhimpunan aman, hujah pembangkang terutama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun 'dipatahkan' oleh Mohamed Nazri. Ujar Mohamed Nazri, apa yang dilakukan kerajaan berhubung rang undang-undang berkenaan tidak melanggar Perlembagaan negara dengan intipati pentingnya adalah untuk memberi nafas baru kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan elemen-elemen kebebasan berhimpun secara aman iaitu hak berhimpun tanpa senjata. "Berkaitan dengan notis pula, Ketua Pembangkang dalam perbahasan merujuk kepada memorandum atau satu draf rang undang-undang disediakan oleh Majlis Peguam. Majlis Peguam tak setuju dengan notis. Tapi, apa yang menghairankan, ketika berhimpun pagi tadi depan bangunan Parlimen, Majlis Peguam sudah bagi notis. Kita bagi notis, dia marah pula. "Kalau tak suka beri notis, mengapa perlu beri notis kepada polis untuk mengadakan perhimpunan tadi? Satu Malaysia tahu. Maknanya, mereka mahu perlindungan polis kalau ada usaha provokasi kumpulan lain. "Oleh itu, beri notis ini bukan nak sekat tetapi nak jaga mereka. Memang dulu 30 hari dan turun kepada 10 hari. Ini tunjukkan kita dengar pandangan rakyat. jadi, jangan perasanlah pembangkang. Perangai pembangkang, kalau kita tak dengar cakap rakyat, dia kata kita zalim. Kalau kita dengar, mereka kata lain. Merekalah penipu besar. Cakap benda yang tak benar kepada rakyat," katanya. Jelasnya, undang-undang sedia ada di negara luar memperuntukkan tempoh masa yang berbeza mengenai pemakluman notis kepada pihak berkuasa. "Dalam perkara ini, fasal 9(1) hendaklah dibaca dengan fasal 14 iaitu polis perlu beri respons dalam masa lima hari. Jika polis gagal beri respons, hendaklah diteruskan (perhimpunan). Jadi, buatlah. Apa masalahnya? "Dalam masa lima hari, ada perkara-perkara tertentu perlu dilakukan seperti perjumpaan dengan polis hendaklah dilakukan. Ni tadi Bagan (Lim Guan Eng, DAP-Bagan) merayu dan merintih kata di Pulau Pinang tiap-tiap minggu ada perhimpunan haram. Inilah yang kita nak bantu. Sebab itu perlu bagi notis. Dia cakap tapi tikam diri sendiri," tegasnya. Terdahulu, ketika sesi perbahasan tengah hari, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegur beberapa wakil pembangkang yang cuba mempertikaikan kredibiliti beliau dalam pembahagian masa untuk berbahas. Beliau berkata, penentuan masa serta perkara berkaitan peraturan mesyuarat yang melibatkan anggota Parlimen, semuanya adalah bergantung kepada budi bicara Speaker yang mempengerusikan persidangan di dalam dewan. "Soal masa adalah budi bicara Speaker. Sama ada seorang wakil rakyat melanggar atau tidak peraturan mesyuarat atau apabila diminta Yang Berhormat yang lain untuk tarik balik hujah, itu budi bicara Speaker. Sejak bila pula budi bicara Speaker boleh dicampur aduk oleh ahli Yang Berhormat sekalian? "Jadi, saya mohon kepada Yang Berhormat, kalau budi bicara itu tolonglah jangan campur aduk," katanya yang menegur Tian Chua (PKR-Batu) dan R. Sivarasa (PKR-Subang) yang mempertikaikan pembahagian masa tersebut. Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut meluluskan empat lagi rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) 2011; Rang Undang-Undang Pencen (Pindaan) 2011; Rang Undang-Undang Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2011 dan Rang Undang-Undang Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2011. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan