Sabtu, 26 November 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kotai hangus

Posted: 25 Nov 2011 03:42 PM PST

KUALA LUMPUR: Puluhan rumah kongsi (kotai) tapak projek pembangunan di Kampung Kerinchi, di sini, hangus terbakar dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam dan api yang marak dengan cepat hampir merebak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai hanya beberapa meter dari lokasi kebakaran.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Zakaria Syed Yusof, berkata bomba lambat menerima maklumat kebakaran itu dan setibanya di tempat kejadian hampir 70 peratus kawasan rumah kongsi berkenaan sudah terbakar.


Menurutnya, tidak kurang 25 rumah kongsi didirikan di kawasan itu namun tiada sebarang kecederaan ataupun kehilangan nyawa kerana kawasan itu dikosongkan ekoran kerja pembinaan selesai sebulan lalu.

"Kami menerima panggilan kecemasan jam 12.16 tengah hari dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian. Ketika jentera pertama tiba, kebakaran merebak hampir di keseluruhan kawasan rumah kongsi berkenaan dan kami percaya kebakaran itu terjadi lebih awal sebelum dimaklumkan kepada bomba.


"Api dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran 15 minit selepas itu, bagaimanapun semua rumah kongsi itu musnah," katanya yang ditemui di tempat kejadian.


Katanya, punca kejadian belum dikenal pasti dan pihaknya menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana api tercetus di kawasan itu sedangkan ia sudah lama tidak didiami.

Full content generated by Get Full RSS.

‘Kami bukan penceroboh’

Posted: 25 Nov 2011 03:40 PM PST

GOMBAK: "Kami diusir seperti pendatang sedangkan tanah ini hak kami lebih 40 tahun lalu," kata penduduk, Zakaria Abu Bakar yang dipaksa berpindah dari rumahnya di Bukit 10, Kampung Tengah, di sini, sebelum Selasa ini.

Zakaria, 53, bersama 10 keluarga lain yang tinggal di kawasan berkenaan diarahkan berpindah oleh sebuah syarikat pemaju perumahan kerana dikatakan menceroboh tanah itu.


Katanya, penduduk diberi notis perpindahan yang berkuat kuasa serta-merta minggu lalu dan diberitahu kawasan rumah mereka akan dirobohkan.

"Saya terkejut apabila diberitahu kami perlu berpindah dari kawasan ini secepat mungkin kerana tanah yang didiami dibeli pemaju melalui lelongan bank.


"Kami diberi tempoh hingga Selasa ini untuk berbuat demikian tanpa perbincangan dan rayuan, malah mereka turut meminta setiap keluarga membayar denda RM600 atas alasan menceroboh tanah mereka," katanya.


Bagi Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Abd Halim Idris, 10 keluarga yang diusir keluar itu penduduk asal Kampung Tengah sebelum mereka dipindahkan.

"Pada 1983, semua penduduk dipindahkan di tanah ini berikutan kawasan penempatan mereka perlu dijadikan jalan utama ke taman perumahan yang baru siap dibina.


"Ekoran itu, pemaju perumahan terbabit menyediakan tanah dan wang pampasan kepada kami sebagai ganti rugi," katanya.

Bagaimanapun, Abd Halim berkata, pihaknya tidak menyangka pemaju pertama yang membeli tanah mereka itu mencagarkan geran tanah kepada bank sewenang-wenangnya tanpa pengetahuan pemilik.


"Kami bukan menentang pembangunan, tetapi sekiranya kawasan ini terbabit projek itu, pemaju seharusnya bersemuka dan berbincang terlebih dulu.


"Semua penduduk bukan penceroboh atau penduduk setinggan sebaliknya pemilik asal yang diwarisi sejak turun-temurun, jadi mengapa perlu tanah kami dirampas, malah cagaran yang dibuat bukan atas persetujuan," katanya.


Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Said Anuar Said Ahmad, berkata pihaknya tidak akan membenarkan pemaju meroboh rumah penduduk terbabit selagi tiada perbincangan kedua-dua pihak.


Beliau berkata, penduduk hanya mahukan penjelasan pihak pemaju yang sengaja mengambil kesempatan dan enggan bertanggungjawab apabila dihubungi.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan